Home » » Biodata Profile Ustaz Hj Asraff Ayob Al-Hafiz

Biodata Profile Ustaz Hj Asraff Ayob Al-Hafiz

Biodata Profile Ustaz Hj Asraff Ayob Al-Hafiz

Ustaz Hj. Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz merupakan pemegang B.A (Hons) Al-Quran & Qira’at, Universiti Al-Azhar, Mesir dan juga Masters (Psychology I.O), U.K.M. Memiliki pengalaman 20 tahun dalam dunia hafazan dan ilmu Al-Quran.



Selama lebih 20 tahun, Ustaz Hj. Mohammad Asraff Ayob telah menghabiskan masanya dengan 3 'passion' : pertama adalah tentang Bacaan Al-Quran. Beliau mahu mantapkan para pelajarnya di dalam ilmu tajwid hingga ke tahap pakar seperti para Qari Al-Quran dari tanah Arab. Atas desakan itu, beliau berusaha ke Mesir (Universiti Al-Azhar) kerana di sanalah berhimpunnya pakar-pakar Al-Quran. Alhamdulillah beliau sempat bertalaqqi dengan 3 orang masyayikh terkemuka & tersohor iaitu Syeikh Hassan Rajab, Syeikh Sayyid & Syeikh Nabil Mohd hingga mendapat ijazah & sanad Al-Quran yang diiktiraf & bersambung terus hingga ke Rasulullah s.a.w. Kesempatan berada di bumi Mesir itu tidak disia-siakan olehnya lantas beliau mendalami lagi ilmu Qiraat Al-Quran, yang bukan hanya Qiraat Hafs 'An A'sim atau Qiraat tujuh tetapi hingga Qiraat sepuluh di Mesir. Di sana juga, beliau berpeluang menguasai kebanyakan ilmu lain berkaitan Al-Quran ini seperti : Dabtul Quran, Fawasil, Rasm Al-Quran, Tarikh Qurra', Hifzul Mutun dan lain-lain.

Perkara yang kedua adalah berkaitan Hafazan Al-Quran. Setelah menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah, beliau telah mula menghafaz AL-Quran. Hafazan yang kuat hasil latihan berterusan telah dibuktikan dengan kemampuan beliau dilantik sebagai imam jemputan solat tarawih 30 juz di masjid terkenal dan pencapaian terbaik beliau ialah ketika diberi kepercayaan untuk digandingkan bersama Syeikh Jibril, imam terkemuka antarabangsa dari Mesir untuk mengetuai solat tarawikh 30 juz di Masjid Wilayah pada tahun 2007. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Syarikat Furqanworks Sdn Bhd yang sedia berkhidmat khusus dalam pembangunan manusia dan Al-Quran.

Fokus beliau yang ketiga adalah di dalam Kefahaman Al-Quran.Subjek tafsir Al-Quran memang menjadi minat beliau sejak awal lagi. Segala poin induk tafsir telah dipelajari dari kitab induknya seperti Al-Itqan Fi Ulumil Quran, Usul tafsir, Tafsir Ibn Katsir, Tafsir Tabari dan berbagai lagi. Kini, beliau lebih asyik meneroka cabang baru tafsir : Melihat Al-Quran sebagai kumpulan 6,236 ayat hikmah dan positif dari Tuhan. Turut bersama ialah pengkajiannya di dalam Al-Quran sebagai satu buku yang penuh dengan 'tips & teknik' untuk menjadikan manusia lebih kaya, berjaya, bahagia dan hidup luarbiasa. Ilmu psikologi yang beliau pelajari di peringkat Masters sangat membantu kerana ia adalah satu ilmu penting mengenal manusia agar segala inputnya memberi lebih kefahaman untuk menyatukan Al-Quran dengan kita : manusia sekaligus makhluk Allah berstatus mulia iaitu hamba & khalifah. Semuanya itu perlu dikongsikan agar manfaatnya tersebar ke serata alam.

Ustaz Hj Asraff Ayob Al-Hafiz
Pengarah Urusan
Furqanworks

Kredit: Richwork



 
Chatroom