Home » » Khasiat/manfaat sawit boleh ubati osteoporosis

Khasiat/manfaat sawit boleh ubati osteoporosis

Khasiat/manfaat sawit boleh ubati osteoporosis

Ramai mengetahui pokok sawit mempunyai banyak manfaatnya. Daripada batang sehinggalah ke buahnya, semuanya mampu memberikan manfaat kepada manusia dan haiwan serta alam semula jadi.

Kajian mendapati minyak sawit yang juga komoditi utama negara, mempunyai kandungan vitamin E tinggi yang sememangnya kaya dengan ciri antioksidan.

Vitamin E adalah vitamin larut lemak yang terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu tokoferol dan tokotrienol. Kajian mendapati bahawa aktiviti antioksidan bagi tokotrienol adalah lebih tinggi berbanding tokoferol dengan 50 kali ganda lebih kuat. Malah, keberkesanannya lebih tinggi daripada tokoferal sebagai ejen antiaterosklerosis, antikanser dan antihipertensi.

Tokoferol banyak terdapat dalam minyak sayuran seperti soya, manakala tokotrienol pula kaya dalam minyak sawit, selain pokok annatto atau inai keling yang berasal dari Amerika Selatan yang turut boleh didapati di Malaysia.

Menyedari kelebihan tokotrienol sawit sebagai ejen antioksidan, sekumpulan penyelidik diketuai Timbalan Dekan (Inovasi dan Penyelidikan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman menjalankan kajian kesan pengambilan tokotrienol terhadap penyakit osteoporosis.

Hasil kajian terhadap tikus makmal mendapati tokotrienol sawit mampu meningkatkan ketumpatan tulang tikus makmal yang mengalami osteoporosis, selain ia selamat digunakan termasuk ketika hamil.

"Osteoporosis adalah penyakit yang mengancam golongan warga emas. Mereka yang menghidap osteoporosis lazimnya akan mengalami masalah tulang nipis, rapuh dan mudah.

"Kita sering mendengar orang tua yang patah tulang pinggul atau pergelangan tangan, hanya kerana terjatuh atau tergelincir di rumah dan keadaan ini jarang berlaku kepada orang muda," katanya semasa membentangkan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Tokotrienol: Vitamin E Sawit untuk Merawat Osteoporosis, di UKM.

Antara penyebab utama osteoporosis adalah kekurangan hormon seks wanita iaitu estrogen yang berlaku ketika putus haid dan kekurangan hormon seks lelaki iaitu testosteron akibat penuaan semula jadi. Faktor lain penyebab osteoporosis termasuk lebihan hormon steroid dan hormon tiroid serta kekurangan kalsium dan vitamin D.

Metabolisme tulang membabitkan dua proses utama iaitu proses resorpsi (serap semula) tulang dan pembentukan tulang. Kedua proses ini berlaku serentak pada satu masa dan dikenali sebagai pemodelan semula tulang. Ostoporosis berlaku sekiranya kadar resorpsi tulang tidak diimbangi oleh kadar pembentukan tulang.

Ima Nirwana berkata, kumpulannya menjalankan penyelidikan terhadap tikus makmal yang diberi makan makanan tanpa vitamin E selama sembilan bulan dan mendapati kandungan mineral tulang tikus mengalami kemerosotan.

Menerusi siri kajian ke atas model osteoporosis tikus makmal, beliau menggunakan tikus betina yang dibuang ovari seolah-olah menjalani proses menopaus seperti wanita putus haid.

Haiwan ini diberi tokotrienol sawit sebagai makanan tambahan selama dua bulan. Hasilnya mendapati pemberian makanan tambahan itu mampu mencegah daripada kehilangan jisim tulang yang sekali gus mampu mengelakkan osteoporosis.

Selain itu, pihaknya turut menjalankan kajian terhadap tikus-tikus jantan yang diorkidektomi iaitu membuang testis bagi mengurangkan hormon seks lelaki iaitu testosteron daripada badan haiwan itu. Keadaan ini menyerupai osteoporosis pada lelaki yang lanjut usia. Kumpulan haiwan ini diberi tokotrienol selama dua bulan dan hasilnya, ia berjaya mencegah kemerosotan tulang mereka.

"Pengambilan steroid dalam jangka yang panjang juga menjadi punca osteoporosis. Justeru, menerusi kajian ini, organ kelenjar adrenal tikus model dibuang dan ia diberi sejenis dadah steroid, Dexamethasone selama dua bulan. Tikus itu turut diberi tokotrienol dan hasilnya ia mampu melindungi tulang daripada osteoporosis akibat pengambilan steroid.

"Selain itu, perokok tegar turut terdedah kepada osteoporosis berikutan kesan nikotin. Tokotrienol sawit didapati berupaya membaiki ketumpatan tulang tikus yang rosak akibat osteoporosis cetusan nikotin. Malah, ketumpatannya melebihi ketumpatan tulang tikus normal," katanya.

Bagi tikus normal pula, tokotrienol sawit tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat kepada ketumpatan tulang, malah meningkatkan kesihatan dan kekuatan tulang. Justeru, ia dianggap selamat digunakan.

Ima Nirwana yang juga Profesor dalam Farmakologi berkata, bagi kajian lanjutan pihaknya akan menjalankan kajian klinikal terhadap 80 pesakit osteoporosis lelaki dan wanita.

"Pada masa akan datang kami berharap dapat menjalankan kajian terhadap manusia dalam skala lebih besar dan seterusnya membuktikan bahawa tokotrienol sawit berfungsi sebagai rawatan bagi pesakit osteoporosis," katanya.

Harapannya, tokotrienol sawit mampu dikembangkan sebagai ubat bagi mencegah dan merawat osteoporosis serta menguatkan daya tahan tulang daripada patah, selain mempercepatkan penyembuhan fraktur osteoporosis serta meningkatkan kualiti tulang yang sembuh.

FAKTA

Apa itu osteoporosis?

Osteoporosis adalah penyakit degeneratif yang dicirikan tulang nipis, rapuh dan mudah patah. Ia berlaku sekiranya kadar resorpsi (serap semula) tulang tidak diimbangi oleh kadar pembentukan tulang. Ketidakseimbangan ini akan mengakibatkan kehilangan jisim tulang dan seterusnya tulang menjadi nipis, rapuh dan mudah patah.

Punca osteoporosis

* Proses penuaan

* Penyakit yang menjejaskan fungsi fisiologi testis (bagi lelaki)

* Pengambilan ubat mengandungi steroid atau riroid dan dadah lain secara berpanjangan

* Akibat putus haid (menapous)

* Tabiat merokok secara kronik

Kelebihan minyak sawit

* Kaya vitamin E seperti tokotrienol

* Anti oksidan

Oleh Mona Ahmad (BH)



 
Chatroom