Home » » Wilayah Sanaa, Yemen : Warisan seni musnah akibat perang

Wilayah Sanaa, Yemen : Warisan seni musnah akibat perang

Wilayah Sanaa, Yemen : Warisan seni musnah akibat perang

Yemen adalah antara sebuah kawasan yang mempunyai warisan tamadun manusia sebelum dan selepas kedatangan Islam ke wilayah ini. Sehingga ke hari ini dilaporkan oleh media Barat lebih daripada 80 kawasan dan bangunan bersejarah di Yemen telah musnah.

Satu kawasan yang sangat terkenal dengan keunikan seni bina kediaman di Yemen sebelum perang ialah Sanaa. Ia mempunyai keunikan seni bina kediaman masyarakat negara itu yang terletak di kawasan bukit dan dibina dengan menggunakan batu-bata. Binaan kediaman menggunakan bahan sama dengan warna alam yang dikelilingi warna gurun memperlihatkan kesepaduan warna penuh harmoni. Kediaman dibina berhampiran antara satu dengan yang lain.

Wilayah Sanaa adalah sebuah kawasan penempatan manusia yang telah berusia sekitar 2,500 tahun. Kawasan ini merupakan satu daripada kawasan warisan dunia yang diwartakan dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)




Terdapat sekurang-kurangnya 6,000 kediaman di kawasan ini yang mengekalkan gaya seni binanya sejak berabad yang lalu. Wilayah Sanaa menerima kedatangan Islam sekitar abad ketujuh dan lapan Masihi serta berperanan sebagai pusat penyebaran Islam yang penting. Turut direkodkan mempunyai binaan masjid lama melebihi 100 buah dan hammam lama (tempat mandi awam) sebanyak 14 buah.

PENGGUNAAN MATERIAL ISTIMEWA

Bahan utama digunakan dalam seni bina kediaman di wilayah ini yang menonjol dan menghasilkan kesan mendalam ialah batu-bata yang dibakar. Terdapat dua jenis batu-bata yang digunakan:

1. Dikeringkan dengan matahari

2. Dibakar dalam ketuhar khas.

Batu-bata ini dibuat menggunakan teknik tradisional masyarakat tempatan di Sanaa iaitu menggabungkan bahan-bahan tempatan seperti tanah liat, jerami, bahan buangan haiwan dan air. Adunan bahan-bahan yang telah siap dibiarkan kering beberapa hari sebelum ia dibentuk dan seterusnya dibakar dalam ketuhar khas selama 10 hingga 12 hari.

Bentuk batu-bata yang dihasilkan ialah segi empat sama dan ia juga boleh dihasilkan mengikut bentuk yang digemari oleh pelanggan terutamanya bentuk geometri yang merupakan pilihan utama masyarakat di wilayah ini.

Satu lagi ciri utama yang menjadikan seni bina tradisional Yemen ini unik ialah penambahan gipsum putih pada beberapa bahagian bangunan seperti di bingkai tingkap, pintu dan lubang angin yang merupakan elemen utama dalam seni bina di sana. Bangunan kediaman dibina dalam bentuk rumah bertingkat seperti pangsapuri.

Masyarakat Islam pada hari ini perlu peka kepada kemusnahan warisan kepandaian tempatan dunia Islam akibat daripada persengketaan dan aktiviti peperangan. Warisan yang musnah pada hari ini mempunyai kebarangkalian tinggi untuk pupus selamanya jika para seniman mahir yang mewarisi teknik tradisional ini turut terkorban tanpa meninggalkan sebarang waris berkemahiran seperti mereka.

Kredit: Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria
Sumber: Utusan



 
Chatroom