Hukuman pukul bukan untuk menyeksa, tetapi sekadar memberi peringatan kepada pelajar

Hukuman pukul bukan untuk menyeksa, tetapi sekadar memberi peringatan kepada pelajar

"Pukul anak saya jika dia nakal, tapi jangan sampai luka dan patah sudahlah.” Jika dahulu, inilah dialog selalu diucapkan oleh ibu bapa kepada guru selepas mengamanahkan anak masing-masing untuk menuntut ilmu. Namun, dialog itu semakin dilupakan dan diabaikan oleh sesetengah ibu bapa sebagai satu kaedah dalam pendidikan anak.

Terbaharu, heboh seluruh negara apabila pelajar didenda duduk atas tar kerana datang lewat sehingga sekolah dikecam, begitu juga guru ditegur oleh ibu bapa kerana menyuruh anak murid memadam papan hitam.

Hakikatnya masyarakat terutama ibu bapa perlu sedar bahawa mendidik anak juga memerlukan pengetahuan mencukupi. Ini kerana ibu bapa akan menjadi contoh kepada anak untuk mengenal kehidupan, dalam erti kata lain, menjadi ‘role model’ kepada anak-anak.

Tidak kira guru, pensyarah mahupun pakar motivasi mereka semua adalah manusia biasa. Tiada satu formula yang dijamin berkesan sepenuhnya dalam usaha membentuk seseorang murid menjadi pelajar cemerlang.

PERINGKAT 
MENDIDIK ANAK

Kaedah terbaik sebagai panduan dalam mendidik anak boleh dirujuk kepada fitrah dan sunah Rasulullah SAW. Islam menetapkan empat tahap:

0 hingga 6 tahun

- Rasulullah SAW menggalakkan ibu bapa agar memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan penuh kasih sayang.

- Ibu bapa perlu bersikap adil dalam memberikan perhatian terhadap anak-anak. Elakkan merotan ketika usia kecil ini sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

- Dikhuatiri menjadikan anak-anak takut untuk mendekati ibu bapa. Suasana yang dipupuk dengan perasaan kasih sayang menjadikan mereka lebih aman dalam meniti usia kecil ini kerana mereka tahu bahawa ibu bapa akan selalu berada di sisi.

7 hingga 14 tahun

- Boleh mula menanamkan nilai kerohanian, disiplin dan rasa tanggungjawab kepada anak, masa terbaik membentuk sahsiah serta akhlak mengikut acuan Islam.

- Elakkan memanjakan dengan harta benda dan wang ringgit.

- Sabda Rasulullah: “Perintahlah anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkan tidur antara mereka (lelaki dan perempuan).” - Riwayat Ahmad

- Hukuman pukul itu bukan untuk menyeksa, tetapi sekadar menggerunkan mereka. Bagaimanapun, elak daripada memukul pada bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang kerana Allah memuliakan muka Nabi Adam a.s.

- Kesannya, anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap arahan, suruhan terutama dalam mendirikan solat.

15 hingga 21 tahun

- Fasa sikap memberontak. Ibu bapa seeloknya ‘berkawan’ dengan mereka, perbanyak berbual dan berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi.

- Ibu bapa seharusnya menjadi tempat rujukan segala permasalahan termasuk hal peribadi.

- Selami perasaan mereka, jadi pendengar setia. Jangan mudah kecewa, terburu-buru menghukum atas kesilapan dilakukan.

- Gunakan pendekatan diplomasi, berhemah di samping mewujudkan suasana mesra, ceria di rumah.

21 tahun ke atas

- Ibu bapa sudah boleh memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak dalam membuat keputusan mereka sendiri. Biarlah mereka menjalani kehidupan sendiri, cuma ibu bapa perlu memantau dan memberi nasihat serta diiringi doa 
agar setiap hala tuju yang 
di ambil mereka adalah betul.

SAYANG 
BERPADA-PADA

Kasih sayang hendaklah bermula dari rumah dan perlu dipupuk sepanjang masa. Kurangnya kasih sayang akan menimbulkan masalah dalam keluarga sehingga mewujudkan masalah sosial lebih besar. Bagaimanapun, kasih sayang yang diberikan secara berlebihan juga akan membawa kesan negatif terhadap anak-anak.

Umumnya, anak banyak menghabiskan masa di sekolah bersama rakan, justeru pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan unsur-unsur yang salah.

Rakan yang baik adalah rakan yang boleh memberi teguran apabila tersalah arah. Selalunya rakan-rakan terdiri daripada orang yang sebaya dan bersependapat dalam banyak hal. Oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengawal pergerakan mereka di luar rumah.

Sumber MAJLIS AGAMA ISLAM PAHANG

 
Chatroom