Home » » Rakyat Malaysia ramai gemuk

Rakyat Malaysia ramai gemuk

Rakyat Malaysia dikenal pasti sebagai antara paling gemuk di rantau Asia, dan ia satu trend membimbangkan kerana boleh menyumbang kepada peningkatan penyakit kronik di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan Malaysia menduduki tangga keenam mengalami masalah kegemukan selepas Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait dan Jordan.

"Malaysia menjadi negara yang mempunyai penduduk paling ramai mengalami masalah kegemukan di rantau ini (Asia) dan ini satu trend amat membimbangkan.



"Masalah ini semakin meningkat dan ia boleh mengancam nyawa rakyat di negara ini. Jika ia tidak ditangani, penyakit kronik seperti serangan jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan tahap kolestrol tinggi akan terus meningkat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan ke-9 di Kementerian Kesihatan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Rosnah Shirlin Rashid Shirlin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf.

Liow berkata, pada mesyuarat itu, MKMPK turut berbincang pendekatan terbaik menerapkan gaya hidup dan cara pemakanan sihat rakyat negara ini.

"Kalau kita lihat cara pemakanan rakyat kita sekarang ini, saya khuatir kerana lebih kepada minyak dan makanan bergoreng, semuanya bertambah lemak.

"Kalau makan daging lebih dari sayur atau buah-buahan, makanan ini semua menyebabkan kita bertambah gemuk setiap hari. Jadi, hari ini kita membincangkan panjang lebar termasuk bagaimana mengadakan program bulan nutrisi bagi memperkasa rakyat mengenai ilmu kesihatan dan kemahiran kesihatan...ini semua penting.

"Pada masa sama, saya mengalu-alukan usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan subjek kesihatan, bermakna kita mula dari muda sejak tingkatan satu belajar mengenai kesihatan," katanya.

Mengenai bakteria `superbug', beliau berkata Bahagian Keselamatan Makanan kementerian akan menerajui pasukan kerja berkaitan `superbug' di antara kementerian bagi memastikan bakteria itu tidak terdapat dalam makanan di negara ini.

"Kita akan mengadakan satu rangka kerja komprehensif untuk mengawal `superbug' dalam rantaian makanan dan semua agensi perlu mengkaji semula perundangan dan garis panduan berkaitan kelulusan dan penggunaan ubat veterina.

"Kita akan mengkaji dan bekerjasama dengan semua jabatan berkaitan, malah kita yakin dapat mengawal denan baik. Malah, sehingga kini tiada kes yang dilaporkan, tetapi pada masa sama kita kena mengawal dulu penularannya sebelum terlambat," katanya.

Oleh Hayati Ibrahim



 
Chatroom