Home » » Sihat Sejahtera Di Usia Tua

Sihat Sejahtera Di Usia Tua

Kesejahteraan hidup bermula daripada tubuh badan sihat dan sempurna yang datangnya daripada amalan penjagaan kesihatan yang baik. Amalan penjagaan pula harus bermula seawal kelahiran hingga meningkat usia. Bagi merealisasikan tahap kesihatan terjamin, makanan, minuman dan hidup gaya sihat mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Proses penuaan atau menjadi tua bermula dari seseorang itu dilahirkan. Setiap saat dan hari kita menjadi tua. Bagaimanapun, tidak semua orang menjadi tua dengan cara dan kadar yang sama.

Di Malaysia, peringkat umur 60 tahun ke atas tergolong sebagai warga tua dan warga emas. Bagaimanapun, penuaan seseorang bergantung pada persepsi masing-masing melalui pengalaman yang dilalui.

Ada orang kelihatan tua pada usia 60 tahun, tetapi ada juga yang berumur 80 tahun masih nampak muda dan sihat.

Sesetengah pendapat mengatakan, wajah tua atau muda tidak penting. Perkara yang lebih penting adalah badan sihat dan tidak berpenyakit.


Tekanan hidup menyebabkan seseorang itu lebih cepat nampak tua selain penyakit berbahaya yang dihidapi seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Proses penuaan berjalan sejak bayi kepada kanak-kanak melewati remaja, dewasa dan masuk ke alam tua. Setiap orang tidak harus berasa takut dan bimbang melalui proses ini. Ini disebabkan semua orang akan melalui dan mengalaminya dalam hidup. Jadi, hiduplah dengan penuh riang dan sejahtera.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tua boleh dikategorikan kepada peringkat umur berikut. Pertama, awal tua berumur 65 hingga 74 tahun. Kedua, pertengahan tua berumur 75 hingga 84 tahun. Ketiga, akhir tua berumur 85 tahun ke atas.

Perubahan yang berlaku meliputi kedut di muka, sendi tulang dan otot lemah serta sendi menjadi kaku. Mata rabun dekat dan penglihatan menjadi kabur. Pendengaran, deria rasa dan bau makin berkurangan.

Selain itu, terdapat perubahan fisiologi iaitu rambut beruban, gigi longgar, fungsi buah pinggang atau hati berkurangan, tulang rapuh dan mudah patah atau arthritis dan sakit pinggang berterusan, serta keupayaan seks berkurangan.


Dari segi psikologi antara perubahan yang sering berlaku kepada warga emas adalah perasaan keseorangan dan kesunyian disebabkan kehilangan pasangan hidup, kehilangan teman, tidak ada minat dan hobi tertentu, berjauhan dengan anak dan kurang upaya untuk bergerak.

Seseorang itu harus memahami secara psikologi dan putaran alam. Kesihatan adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Proses menjadi tua adalah semula jadi dan berterusan yang dialami semua insan.

Cepat atau lambatnya seseorang itu menjadi tua adalah berbeza. Cara yang baik untuk terus menjadi sihat dan cergas, walaupun usia sudah meningkat adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif. Bersenam, berenang dan berjoging adalah langkah terbaik untuk kekal muda.

Ramai wanita melakukan pembedahan untuk mengekalkan kesihatan diri, tetapi semua kecantikan itu akan merosot disebabkan proses penuaan berlaku secara berterusan. Sementara itu, ramai wanita maut dan menderita selepas menjalani pembedahan kecantikan. Justeru, penjagaan kesihatan lebih baik dan berkesan berbanding pembedahan.

Bagi mengekalkan kesihatan, pemakanan warga tua mesti seimbang, mudah dihadam dan lembut untuk dimakan. Minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari. Empat komponen dalam pemakanan warga tua seperti bijirin (karbohidrat), protin, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Makanlah makanan bijirin dan hasil bijirin (pilihan yang baik adalah bijirin mil penuh) ubi-ubi adalah sumber tenaga utama.

Selain itu, makanan yang membekalkan karbohidrat, protein, vitamin B, mineral dan serat.

Sayur-sayuran dan buah-buahan membekalkan vitamin A, vitamin C, asid folik, mineral dan serat. Daging (pilihan yang baik adalah daging tanpa lemak), ayam, ikan dan kekacang yang membekalkan protein, vitamin B dan mineral.

Minum susu dan hasil tenusu (pilihan yang baik adalah susu dan hasil tenusu rendah lemak), membekalkan protein, kalsium, vitamin D, vitamin B2 dan magnesium. Elakkan makanan berlemak, berminyak dan terlalu manis.

Sebagai warga tua perlu selalu mengadakan pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengetahui taraf kesihatan, mengesan penyakit lebih awal, mendapatkan rawatan dan mengelakkan penyakit lebih teruk dan peluang berbincang dengan doktor bagi memahami kesihatan.

Elakkan daripada penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, kanser, katarak, glaukoma, masalah pendengaran dan masalah gigi yang boleh menjejaskan kesihatan. Lakukan pemeriksaan seperti ujian tekanan darah, jantung, paru-paru dan sebagainya. Lakukan ujian darah, penglihatan, pendengaran dan kesihatan secara menyeluruh.

Senaman seperti berjoging, berenang dan sebagainya dapat meningkatkan kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri selain menguatkan otot jantung dan paru-paru.

Melakukan senaman mesti mengikut kemampuan dan keupayaan diri. Cukup rehat dan tidur sangat penting bagi mengekalkan kesihatan.

Kajian menunjukkan 30 peratus daripada kecederaan yang dirawat di hospital kerajaan akibat kemalangan di rumah. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan, 25 peratus kemalangan warga tua membabitkan kemalangan kecil seperti luka, terseliuh dan bengkak, 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat seperti patah, luka, melecur dan sebagainya.

Oleh itu, elakkan kemalangan menimpa yang mungkin sukar untuk sembuh.

Oleh Dr Awinuddin Mansor
* Penulis berkelulusan PhD Persuratan.



 
Chatroom