Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menjadi pilihan AETN All Asia Networks dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ditampilkan dalam dokumentari biografi khas, yang bakal disiarkan menerusi saluran History (Astro 555) pada jam 10 malam, 20 Februari ini.
Penghasilan dokumentari terbabit tentu sekali dilihat antara penghargaan terbaik buat Penghibur Terbaik Asia itu, bagi mengenang semula pembabitan dan jasanya dalam dunia seni hiburan negara.
Dokumentari biografi yang ditayangkan selama satu jam ini bakal memaparkan kehidupan Sudirman daripada kecil hingga ke saat beliau menghembuskan nafas terakhir, pada 22 Februari 1992.
Dokumentari Sudirman di History Channel
* ANTARA penggiat seni dan rakan baik Sudirman yang ditemubual dalam dokumentari berkenaan ialah penulis lirik, Habsah Hassan; komposer, Fauzi Marzuki; wartawan veteran, Bahyah Mahmood; bekas pengurusnya, Daniel Dharanee Kannan; Beh Suet Pheng dan ramai lagi.
* DIAKUI, Sudirman seorang yang disenangi ramai dan insan berbakat besar. Beliau bukan saja seorang penghibur, malah seorang peguam, pengacara televisyen, penulis, kartunis, pelakon dan ahli perniagaan disegani.
* NAMUN, nama Sudirman Arshad lebih malar segar di pentas nyanyian. Sudirman ialah artis pertama dari Asia yang merekodkan lagu Inggeris di Studio Abbey Road, United Kingdom.
* SUDIRMAN mempunyai kira-kira 20 album (tidak termasuk album kompilasi) sepanjang 16 tahun bergiat di dalam bidang seni.
* BUKAN saja di Malaysia, Sudirman juga terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia. Walaupun beliau banyak menyanyikan lagu berbahasa Melayu, hakikat itu tidak menghalang untuk beliau mengadakan persembahan di luar negara seperti di Hawaii, Melbourne, Tokyo, Dubai, London dan Russia.
* PADA 1989, Sudirman diumumkan Penghibur Terbaik Asia pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London. Pada pertandingan itu, Sudirman mengalahkan penghibur hebat Asia lain seperti Leslie Cheung, Anita Sarawak dan Kuh Ledesma.
* ARTIS berbakat besar ini turut diminati peminat pelbagai bangsa, di mana beliau turut menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.
* DI sebalik kejayaannya, ada kisah sedih yang membelenggu peribadi juara Bintang RTM 1976 ini. Ibu Sudirman meninggal dunia pada usia muda dan rumah tangganya tidak berkekalan. Satu demi satu kontroversi yang melanda dihadapinya dengan tabah dan sehingga kini punca kematian Sudirman masih menjadi tanda tanya.
* UNTUK mengetahui lebih mendalam legenda seni sepanjang zaman ini, saksikan dokumentari Sudirman di saluran History pada 20, 22 dan 23 Februari, serta 1, 11 dan 13 Mac ini. Dokumentari ini juga disertakan sari kata Bahasa Malaysia dan Cina.