Home » » Kawal pemakanan ikut keperluan tubuh

Kawal pemakanan ikut keperluan tubuh

Berat badan unggul memastikan tahap kesihatan yang optimum. Namun bukan semua orang bernasib baik kerana berjaya memiliki berat badan idaman disebabkan faktor lain seperti genetik dan penyakit.

Kelazimannya wanita sentiasa mahu kelihatan cantik dan anggun. Bagaimanapun apabila sudah berumahtangga dan beranak pinak, berat badan wanita mula meningkat dengan drastik lebih-lebih lagi apabila dia hamil dan selepas melahirkan anak.

Ini seterusnya menyumbang kepada obesiti dalam fasa kehidupan mereka yang seterusnya.

Obesiti bukan saja menjejaskan penampilan diri tetapi juga mengundang banyak masalah seperti kolesterol tinggi, mudah berasa penat atau mengah, masalah kencing manis, bengkak dan sakit kaki serta perut berlipat.

Masalahnya, hampir semua wanita berasakan sebaik saja dia disahkan hamil, dia perlu makan dengan berlebihan kerana menyangka dengan makan dalam kuantiti lebih banyak, lebih banyak zat dan khasiat dapat disalurkan kepada bayi dalam kandungan.

Sebenarnya, bayi hanya memerlukan kuantiti yang kecil zat untuk meneruskan tumbesarannya. Lebihannya menyumbang kepada kenaikan berat badan mendadak kepada si ibu, sedangkan kadar kenaikan berat badan ibu hamil seelok-eloknya dipastikan tidak melebihi 12 kilogram (kg) sehingga kandungan matang.

Kenaikan berat badan tidak dapat dielakkan kepada si ibu kerana apabila wanita hamil beberapa hormon dirembes termasuklah hormon progesteron dan prolaktin yang merangsang pengumpulan lemak di tubuh.

Ibu hamil juga digalakkan membuat senaman ringan sepanjang tempoh mengandung, Senaman ringan ini selain menguatkan jantung dan membekalkan lebih banyak oksigen kepada bayi dikandung, juga membantu memudahkan proses bersalin dan membakar kalori berlebihan yang tidak digunakan.

Bagaimanapun selepas melahirkan anak, rata-rata wanita amat kurang melakukan aktiviti senaman kerana masa diperuntukkan sepenuhnya kepada menjaga kerenah di kecil, suami dan rumah tangga yang tidak pernah habis sepanjang hari.

Ada juga berpendapat, pergerakan aktif selepas bersalin boleh menyebabkan luka lambat sembuh ataupun jahitan akan terbuka dan ini menyakitkan serta amat tidak selesa kepada si ibu. Senaman boleh dilakukan tetapi mestilah dibuat dengan berhati-hati.

Kaedah semula jadi yang membantu mempercepatkan penurunan berat badan selepas melahirkan anak ialah dengan menyusui bayi anda dengan susu badan sepenuhnya.

Penyusuan dengan susu badan mempercepatkan pengecutan rahim selepas melahirkan dan bayi juga mendapat khasiat yang diperlukan untuk tumbesaran dengan secukupnya.

Namun, ramai ibu yang menyusui bayi mereka berpendapat mereka lebih cepat berasa lapar. Untuk mengatasi masalah ini, ibu mestilah mengambil pemakanan seimbang dan bukannya pada kadar yang berlebihan. Makanlah dengan kerap tetapi dalam kuantiti sedikit-sedikit supaya penurunan berat badan berjalan dengan baik.

Wanita juga perlu ingat, pengambilan pemakanan dengan nutrisi yang lengkap amat penting bagi menjamin kesihatan anda pada tahap optimum pada perjalanan usia yang seterusnya.

Sebab itulah, anda sebagai wanita yang menjadi pengurus rumah tangga kena bijak memilih gaya pemakanan yang sihat untuk anda sekeluarga.



Affiliates

 
Chatroom