Amalan urut tradisional merupakan amalan turun-temurun di kebanyakan negara di Asia malah kemampuan teknik itu kini mulai diterima di negara Barat berikutan keberkesanannya yang diiktiraf sains perubatan moden.
Urutan juga merupakan satu daripada cabang perubatan cara Islam manakala segelintir masyarakat menganggapnya sebagai perubatan alternatif.
Secara amnya, ia sesuai bagi merawat apa juga penyakit, sama ada penyakit baru atau sudah lama dihidapi, yang ringan mahupun yang kronik.
Selain mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah, teknik urut turut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki terutama bagi wanita selepas bersalin.
Bagaimanapun, urutan yang menggunakan tangan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana jika tidak mengikut prosedur, urutan boleh memudaratkan.
Namun, urutan menggunakan tangan sahaja tidak mencukupi kerana sentuhan itu kemungkinan kurang berkesan serta pesakit tidak merasa puas walaupun teknik yang digunakan betul.
Justeru, bagi seorang pengamal urutan tradisional dari Utara tanah air, Baharom Yunus berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut. Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.
Khasiat tanduk seladang
Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.
Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.
“Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat.
Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.
Tanpa menggunakan peralatan seperti yang ditunjukkan, proses urutan kurang berkesan dan tidak puas.
“Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas.
“Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali,” katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.
Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.
Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.
Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.
“Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut,” katanya.
Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.
Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.
“Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan,” katanya.
Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya ‘auta’ kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.
Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.
Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.