Home » » Kasih ibu tidak ternilai

Kasih ibu tidak ternilai

Kasih ibu tidak ternilai

Terlalu banyak penerangan yang berkisar mengenai kewajipan mentaati, menyayangi dan menghargai ibu dan ini juga tercatat dalam sebuah hadis yang bermaksud dari Abu Hurairah r.a beliau berkata: "Seseorang datang kepada Rasulullah dan bertanya: 'Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti kali pertama?'

Rasulullah menjawab: 'Ibumu!' dan orang itu kembali bertanya: 'Kemudian siapa lagi?' Rasulullah mennjawab: 'ibumu!' Orang itu bertanya kembali: 'Kemudian siapa lagi?' Beliau menjawab: 'ibumu'. Orang itu bertanya kembali: 'Kemudian siapa lagi?' Nabi menjawab: 'Kemudian ayahmu'." (HR Bukhari 5971 dan Muslim 2548)

Imam al-Qurthubi menjelaskan: "Hadis itu menunjukkan bahawa kecintaan dan kasih sayang terhadap seorang ibu harus tiga kali lipat besarnya dibandingkan terhadap seorang ayah." Imam Adz-Dzahabi rahimahullaah berkata dalam kitabnya al-Kabaair: "Ibumu mengandungkanmu di dalam perutnya selama sembilan bulan, seolah-olah sembilan tahun.

"Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir saja menghilangkan nyawanya. Dia menyusukanmu, dan dia hilangkan rasa mengantuk kerana menjagamu."

Empangan air mata seolah-olah tidak mahu berhenti ketika saya membicarakan perihal ibu. Teringat ibu yang saya panggil mama, ibu yang gigih, membesarkan kami enam beradik seorang diri tanpa pekerjaan tetap.

Namun berkat kesabaran, pegangan agama yang teguh, kami anaknya berjaya dalam kehidupan. Berbicara dengan suami yang ibunya pergi ketika masih kecil juga membuatkan saya hiba.

Namun, mereka juga berjaya dalam kehidupan berkat usaha didikan arwah dan kasih sayang yang terus mekar. Begitu hebatnya kuasa seorang ibu, oleh itu sementara kita masih punyai ibu, sayangi mereka.

Anak-anak yang budiman, tidak dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya serta tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit.

Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, malah ada kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya serta melelapkan matanya kerana teringatkan anaknya dan ada ketika air mata berlinangan kerana mengenang serta merindui anak.

Bilakah kali terakhir kita bertemu mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka. Ambillah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu.

Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan, malah untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu.

Oleh itu, wajarlah Allah memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu dan kepada Akulah tempat kembalimu."

Oleh Amie Sofia Ahmad (Sumber: Petikan Metro)



 
Chatroom