Home » » Kasih sayang kunci penyelesaian masalah

Kasih sayang kunci penyelesaian masalah

Kasih sayang kunci penyelesaian masalah

Kehidupan ini umpama pusingan roda, sekejap berada dalam kedudukan di atas dan sekejap berada dalam kedudukan di bawah – silih berganti. Demikian jugalah yang dilalui oleh kita sebagai hamba-Nya, ada masa kita bersemangat dan bahagia dengan kejayaan dan pada ketika yang lain kita diuji dengan kesedihan dan kekecewaan kerana kegagalan. Sesungguhnya kegagalan tidak berbahaya. Yang berbahaya adalah apabila berlaku kegagalan, kita semakin bersangka buruk kepada Allah SWT dan menjadikan akhlak kita rosak.

Ingatlah, orang yang sayang Allah sahaja yang akan ada perasaan sayang kepada orang lain. Oleh sebab itu kunci kepada semua masalah ialah kasih sayang. Orang yang tidak ada rasa kasih sayang kepada orang lain tidak akan ada kasih sayang, simpati dan empati kepada orang lain.

Binalah kasih sayang terlebih dahulu, jika kita hendak membina masyarakat prihatin. Ingat, tidak usahlah hendak membina masyarakat prihatin, kalau kita tidak berjaya bina hati masyarakat dengan rasa kasih sayang. Tentukan masa bersama-sama anak-anak digunakan oleh ibu bapa secara intraksi positif. Iaitu apa-apa yang dilihat, didengar dan dialami oleh anak-anak secara langsung, apatah lagi dalam situasi yang diulangi akan memberikan kesan besar kepada minda bawah sedar mereka.

Terutama bagi kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun akan menjadi paradigma hidupnya yang masuk ke dalam minda bawah sedar setiap apa yang dilihat, didengar dan dialaminya. Oleh sebab itu ibu bapa yang ada anak dibawah umur tujuh tahun tentukan bahasa digunakan untuk mereka bahasa membina minda, bukan bahasa meracuni minda anak kita.

Tentukan setiap interaksi anak-anak kita itu dengan kata-kata pujian, menyayangi, menghargai, membina minda positif, membina imej positif diri mereka, membuat mereka lebih yakin, menyayangi pada diri mereka. Yang lebih utama setiap apa-apa yang ibu bapa lakukan kepada anak-anak, pastikan membuat mereka berasa sudah cukup bagus dan membuat mereka berasa sangat disayangi. Sebab masalah besar manusia daripada psikologinya, yang menyebabkan akhlak manusia buruk, kasar dan tidak menyenangkan orang selalu berpunca daripada dua sebab utama.

Pertama, daripada pera­saan diri anak-anak bahawa tidak cukup bagus. Kedua, mereka berasa tidak cukup sayangi. Kanak-kanak yang membesar dalam perasaan per­tama, mereka berasa ti­dak cukup bagus membawa kepada berasa rendah diri atau putus asa.

Mereka sedaya upaya akan cuba dan berusaha untuk membukti dan menunjukkan kepada seseorang yang m­engutuk mereka atau du­nia bahawa mereka pun bo­leh capai kejayaan dan me­reka juga seorang yang bagus dan cemerlang, tidak seperti tanggapan orang yang meng­hina mereka.

Pandangan sisi positifnya, dari segi luaran bagus, apa­bila kita berasa miskin dan susah, kita akan berusaha mem­buktikan kita tidak akan hidup susah seperti ibu bapa kita. Tetapi, kena jaga niat, bukan untuk membuktikan kepada orang kehebatan kita mengubah corak hidup, sebaliknya menyedari hakikat bahawa Allah yang mengatur kejayaan hidup.

Tujuan

Kalau kita membuat sesuatu dengan tujuan untuk membuktikan kepada makhluk itu amalan sia-sia. Sebab di dunia ini kalau kita lakukan sesuatu untuk orang hargai kita akan jadilah kita seperti hemster. Kejar sana sini serba tidak kena. Begitulah hidup kita kalau tidak tetap tujuan – sasaran kita sentiasa berubah. Kalau kita bersekolah kita sentiasa hendak tunjuk kepada kawan-kawan kecemerlangan kita.

Kalau kita di universiti kita hendak tunjuk kepada pensyarah. Kalau kita berkahwin pula kita hendak buat meriah besar-besaran, untuk tunjuk kepada kawan-kawan. Penat mesti penat hidup begitu, hidup semua tidak kena dan tidak berjaya sebab dalam lubuk hati mereka ada satu rasa kekurangan. Dari segi luarnya nampaknya berjaya tetapi dalamannya dia tidak puas.

Kedua, apabila kita berasa kita tidak cukup disayangi, kita tidak akan menyayangi orang lain. Ibu bapa jangan suka bandingkan anak-anak, biar anak kita jadi dirinya yang sebenar. Kita hendaklah berlapang dada kepada Allah SWT yang takdirkan segala kejadian dalam hidup kita sebagai satu pengalaman. Orang yang tidak cukup disayangi manifestasinya kita akan menjadi seorang yang cerewet dan hidup dalam stres.

Rawatan orang yang bermasalah begini adalah bersyukurlah kepada-Nya dan katakan kepada diri sendiri “saya sudah cukup bagus dan bersyukur” – puji diri kita dalam cermin. Tidak perlu kita mengatakan kepada diri kita, “saya mesti lakukan sesuatu supaya duduk sama rendah berdiri sama tinggi.”

Lihatlah kita semalam, dan ubah diri kita menjadi baik hari ini. Jadilah orang yang lebih baik daripada semalam. Kalau kita menjadi sama seperti semalam, rugi. Kalau kita menjadi lebih buruk dari semalam celakalah hidup kita.

Sebaliknya kejayaan akan lebih membawa kejayaan jika kita ada 7T (Tauhid/Taubat/Takwa/Tawakal/Tekad/Tahajud/Tawaduk). Dengan menggunakan prinsip 7T ini kita akan menjadi tenang. Orang yang tenang sentiasa menang kerana hanya ada Allah di hatinya. Akhirnya kita capai takwa dan dapat memupuk kasih sayang. Setiap hari audit kekuatan tauhid.

Apabila tauhid kuat kita akan senang bertaubat untuk pembersihan jiwa. Setelah tauhid kita mantap dan kita sudah bertaubat, barulah timbul ketakwaan dalam jiwa yang menjadi KPI kita. Dan tentunya apa-apa yang kita laku semuanya kita bertawakal dan berserah kepada Allah. Dengan kemantapan empat T (tauhid, taubat, takwa dan tawakal) kita akan dapat mencapai 3T lagi (tekad/tahajud/tenang).

Iaitu kita tekad kebergantungan kita hanya kepada Allah SWT, kerana kita yakin Yang Maha Berkuasa menentukan takdir hidup kita hanya Allah SWT. Dan kita akan ringan badan untuk bangun malam bertahajud pada malam hari untuk bermunajat kepada-Nya dan kita akan tenang.

Kalau hendak tahu hati kita dekat dengan Allah, lihatlah sikap kita dalam konsep memberi dan menerima. Orang yang banyak memberi tanda dekat dan bersyukur dengan Allah, sementara orang yang hanya ingin mendapat, sebenarnya gagal dalam kehidupannya di akhirat kelak. Carilah ketenangan itu melalui ketakwaan melalui terapi solat.

Siapa yang ada masalah banyak bermakna solatnya tidak bagus. Sebab tidak khusyuk – tidak faham apa yang dibaca dan membenarkan syaitan masuk mengganggu fikirannya. Cara hendak khusyuk solat: anggaplah ini solat terakhir dan bayangkan Allah ambil nyawa kita ketika tengah bersolat.

Setiap perkataan dan perbuatan ketika solat semuanya fokus untuk mengakui kebesaran Allah. Hakikatnya, setiap kali kita bersolat makin kurang waktu kita bersolat kepada Allah, sebab umur kita makin pendek.

Apabila kita bersolat, fikirkanlah ada atau tidak masa kita untuk bersolat lagi, sebab bila-bila masa kita mati dan ketika itu orang yang akan solatkan untuk kita. Apabila ada masalah tentu hati ada masalah, maka perbanyak bersolat.

By Dr. Muhaya Muhamad



 
Chatroom