Home » » Badan pear atau epal?

Badan pear atau epal?

KITA sering melihat bentuk tubuh manusia yang berbeza-beza. Ada orang yang besar di dada dan lengan. Ada pula mempunyai dada dan lengan yang kecil namun saiz punggung lebar dan besar

Seorang sahabat saya mempunyai punggung yang serta paha yang besar walaupun jika dipandang daripada saiz tubuhnya di bahagian atas dia tampak kecil sahaja. Badan yang sebegini dinamakan bentuk pear. Ia seolah-olah buah pear yang kecil daripada tangkainya namun lebar di bawah.

''Saya terpaksa memakai skirt atau kain kembang bagi menutup kekurangan ini,'' kata kawan saya itu lantaran menurut beliau memakai seluar memang tidak sesuai kerana punggung yang terlalu lebar. Keadaan itu mendatangkan masalah kepada sahabat saya apabila mahu membeli baju. Jika bajunya muat sudah tentu kainnya ketat lantaran saiz tubuhnya yang mengembang di bahagian punggung. Seorang sahabat yang lain pula mempunyai tubuh yang berbentuk epal. Tubuhnya besar dan lebar di bahagian dada dan belakang (atas), manakala paha dan kaki pula kecil. Punggungnya juga kecil. Namun beliau kelihatan sangat gemuk kerana bahagian belakang badan dada dan pinggangnya berlemak. Dengan kata lain bentuk tubuh seperti ini diberikan gelaran bentuk epal lantaran bentuknya yang gempal di atas dan menguncup pula di bahagian bawah..

Seorang sahabat saya pula mengadu perutnya buncit. Walaupun dia tidaklah terlalu gemuk namun perutnya tidak dapat disembunyikan. Puas dia mencuba pelbagai jenis jamu dan ubat-ubatan tradisional bagi menurunkan saiz perut namun tidak berjaya. Masalah perut buncit sering berlaku kepada lelaki.

Seorang sahabat pula mengadu anaknya terlalu gemuk dan rendang sahaja. Tubuhnya seimbang dari atas ke bawah dipenuhi lemak sahaja. Dia turut berasa hairan apakah masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Apabila berdiet berat tidak boleh turun dengan mudah. Anaknya juga tidak makan terlalu banyak namun berat badannya sentiasa sama sahaja meskipun menjaga pemakanan dengan ketat.

Mengapakah ini berlaku? Mengapakah seseorang tidak serupa bentuk tubuhnya berbanding orang lain?

Jawapannya adalah kerana di dalam tubuh kita terdapat kelenjar hormon yang berbeza-beza keaktifannya. Kelenjar hormon yang aktif akan menjadi kelenjar yang dominan di dalam tubuh seseorang dan akan merembes lebih banyak hormon berbanding kelenjar yang kurang aktif.

Kelenjar hormon bukan sahaja mempengaruhi bentuk tubuh seseorang malah juga mempengaruhi perangai seseorang, corak pemakanan, kecenderungan terhadap cuaca dan suhu persekitaran dan sikap seseorang dalam menangani kehidupan sehariannya. Hal sebegini sangat unik. Justeru itu jika kita tahu kelenjar hormon yang dominan dalam tubuh adalah lebih mudah bagi untuk menangani masalah kesihatan kita.

Kelenjar utama dalam tubuh kita adalah kelenjar pituitary yang terletak di otak, kalenjar insulin di pankreas, kelenjar tiroid di leher dan juga kelenjar adrenal di buah pinggang kita. Kesemua kelenjar ini memainkan peranan yang berbeza, berfungsi membentuk tubuh dan menjadikan tubuh berbeza-beza bentuknya.

Tubuh kita akan terbentuk mengikut rangsangan hormon yang dominan. Jenis hormon yang dominan ditentukan oleh genetik seseorang di mana setiap daripada kita mempunyai kelenjar yang berbeza aktivitinya. Seseorang yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai kelenjar tiroid yang dominan akan mempunyai bentuk tubuh yang tinggi lampai dan berbadan kurus. Mereka ini mempunyai kadar metabolik tubuh yang amat tinggi dan mampu membakar lemak dengan mudah dan cepat. Oleh kerana itu mereka tidak mudah gemuk melainkan jika wujudnya masalah yang membuatkan kerosakan pada kelenjar tiroid mereka. Mereka yang mempunyai kelenjar adrenal sebagai kelenjar dominan akan mempunyai tubuh berbentuk epal. Bahagian atas tubuh besar dan berlemak manakala bahagian yang lain kecil saja. Kumpulan ini mempunyai tenaga yang tinggi sepanjang hari. Mereka tidak mudah merasa letih dan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti fizikal sepanjang hari. Mereka juga mempunyai semangat yang tinggi dan amat tekun dalam urusan pekerjaan.

Mereka yang mempunyai punggung lebar dan dikatakan berbentuk pear pula mempunyai hormon gonad sebagai kelenjar mereka yang dominan.

Sara ialah seorang gadis berusia 35 tahun dan bertubuh gemuk. Dari zaman kanak-kanak lagi tubuhnya besar dan tidak pernah turun beratnya meskipun Sara mengamalkan diet yang ketat. Sara telah mencuba pelbagai kaedah diet namun tidak juga berhasil. Perubatan tradisional dan moden juga dia telah dicuba namun tidak juga berhasil.

Sara cepat berasa letih. Dia cuba melakukan senaman namun tubuhnya terasa berat sekali. Dia juga berasa tangan dan kakinya agak sejuk. Apabila teman-teman mengajak berenang di kolam maupun pantai Sara enggan masuk ke dalam air kerana dia berasa sejuk. Sara hairan kerana dia mempunyai lemak yang banyak dalam badan namun kenapa asyik berasa sejuk. Sejak akhir akhir ini Sara berasa berat badannya naik mendadak lagi. Dia juga melihat perubahan pada struktur kulitnya yang tampak kasar dan dan di bawah matanya kelihatan agak lebam.

Rambutnya menjadi agak kasar dan gugur dengan banyak. Sara mengagak mungkin hal ini disebabkan oleh usianya yang meningkat.

Masalah yang dihadapi oleh Sara adalah kekurangan hormon tiroid di dalam tubuhnya. Ini membuatkan Sara menjadi perlahan pergerakannya dan lemak mudah berkumpul. Hormon tiroid adalah hormon yang menjana metabolik tubuh. Ia membolehkan tubuh kita menjana tenaga yang digunakan bagi aktiviti tubuh kita. Apabila usia meningkat hormon ini semakin berkurangan dan menyebabkan kita semakin lesu. Memang benar ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini namun setelah dibuat analisis barulah kita faham masalah sebenar.



Affiliates

 
Chatroom