Home » » Atasi ancaman kepupusan terumbu karang

Atasi ancaman kepupusan terumbu karang

Laporan akhbar berhubung fenomena pelunturan terumbu karang di perairan Teluk Sepanggar, Sabah pada penghujung bulan lepas pastinya menggusarkan kita. Ini memandangkan ekosistem tersebut begitu penting dalam memastikan kelangsungan bekalan sumber makanan yang berterusan kepada penduduk di seluruh dunia.

Sumbangan ekosistem marin tidak dapat kita nafikan memandangkan sejak bermulanya kehidupan manusia di atas muka bumi ini, kita banyak bergantung kepada sumber tersebut. Misalnya, bekalan ikan yang menjadi sumber protein utama kepada seluruh masyarakat dunia terutamanya bagi penduduk di negara kepulauan seperti Malaysia.

Kepentingan ekosistem marin telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT (surah an-Nahl: ayat 14).

Alangkah malangnya jika kita tidak mensyukuri nikmat yang tidak ternilai ini dan terus-terusan melakukan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada berlakunya ancaman ke atas ekosistem terumbu karang. Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh para saintis, antara faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan ini ialah disebabkan oleh perubahan cuaca global.

Jika keadaan ini masih berterusan, ia boleh menggugat masa depan dan kemandirian ekosistem terumbu karang serta jutaan spesies yang ditampung olehnya dek kerana suhu laut yang menjadi semakin hangat.

Dalam fenomena pelunturan karang, ia kebiasaanya berlaku apabila terumbu karang tidak dapat bersimbiosis dengan zooxantela, iaitu sejenis alga mikro lantaran perubahan suhu persekitaran.

Dari sudut ini, karang berperanan sebagai perumah yang menyediakan tempat tinggal kepada zooxantela. Manakala, kehadiran zooxantela pula memberi pelbagai manfaat. Antaranya untuk tujuan pemakanan karang, proses pengapuran dan pengitaran semula bahan kumuh serta bekalan oksigen yang begitu penting bagi tujuan respirasi dan juga pertumbuhan organik terumbu karang.

Alangkah ruginya jika kita tidak cuba memahami hakikat saling bergantungan ini sehinggakan kita terus-terusan melakukan kerosakan terhadap ekosistem terumbu karang tanpa memikirkan dampak negatif yang menanti kita di kemudian hari. Sedangkan kita sepatutnya sedar dan insaf bahawa spesies-spesies dalam ekosistem ini saling memerlukan antara satu sama lain.

Ini bagi membolehkan setiap komponen di dalam sesebuah ekosistem menjalankan fungsi masing-masing sebagaimana yang telah diprogramkan oleh Allah mengikut sistem ketetapan tertentu atau sunnattulah yang begitu hebat dan tak terjangkau oleh pemikiran manusia. Dalam kesinambungan ini, sekiranya bilangan suatu spesies terjejas, maka keseimbangan bilangan spesies hidupan lain yang berinteraksi dengannya juga akan turut terganggu.

Proses pemendapan dan keasidan laut juga tidak ditolak sebagai antara punca yang membawa kepada pelunturan dan kepupusan karang. Malahan, ia turut menjadi penyebab kepada kehancuran sistem terumbu karang pada hari ini.

Lebih membimbangkan lagi apabila kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mendapati bahawa ekosistem terumbu karang telah menyusut lebih pantas daripada jangkaan saintis akibat daripada gabungan beberapa ancaman seperti perubahan cuaca global, pencemaran dan penggunaan bom dinamit secara haram untuk tujuan penangkapan ikan.

Selain itu, faktor sampingan daripada aktiviti pelancongan seperti scuba, snorkeling dan sebagainya juga turut menyumbang kepada kesengsaraan ekosistem terumbu karang. Kemerosotan ekosistem ini pastinya turut akan menjejaskan sektor pelancongan yang sangat bergantung kepada keseimbangan dan keindahan ekologi.

Malah, lebih menggerunkan lagi apabila ia memungkinkan kita kehilangan sumber protein utama (ikan) jika tiada langkah proaktif bagi menyelamatkan ekosistem unik ini. Seterusnya apabila sektor perikanan terjejas, pastinya ia akan memberi implikasi yang besar ke atas ekonomi negara.

Justeru, sudah tiba masanya langkah drastik diambil bagi tujuan memulihara kelangsungan hidup terumbu karang. Usaha bersepadu perlu dilakukan dengan mengambil kira kesemua faktor yang menyumbang kepada ancaman kepupusan ekosistem ini.

Dalam usaha ini, para penyelidik perlu menjalinkan kerjasama antarabangsa untuk sama-sama mengembeleng tenaga mengkaji isu ini sehingga ke akar umbi dan lebih menyeluruh agar dapat mencapai penyelesaian terbaik bagi menangani permasalahan yang melanda ekosistem terumbu karang.

Usaha tersebut perlu diperhalusi dan dilakukan baik pada peringkat tempatan, mahupun peringkat global. Mungkin pada peringkat tempatan, kita boleh tumpukan kepada usaha mengurangkan tekanan terhadap ekosiostem marin dan kawasan pantai dengan mempercepatkan proses mewujudkan kawasan marin yang dilindungi.

Pada peringkat global pula, kata sepakat semua negara diperlukan bagi memastikan pengurangan secara drastik pelepasan gas karbon dioksida dapat dilakukan dengan berkesan. Ia merupakan kunci utama bagi memastikan matlamat menentang kesan perubahan iklim global dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sudah tiba masanya kita merenung kembali segala kealpaaan kita selama ini sehinggakan kita telah mengabaikan nikmat dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Mudah-mudahan ia dapat memberi sinar baru kepada kita dalam merobah diri agar menjadi insan yang lebih bertanggungjawab ke atas alam dan ekosistem seluruhnya.

Sudah tiba masanya kita kembali ke jalan yang diredhai dengan menyahut seruan Allah SWT agar kita sentiasa menjaga dan memakmurkan alam sebagaimana firman-Nya (surah Hud, ayat 61) yang bermaksud "...Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya..."

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia.



 
Chatroom