Home » » Tip Menghadiri Temuduga

Tip Menghadiri Temuduga

Anda akan menghadiri temuduga? Bagi yang sudah berpengalaman, tentu anda faham apa yang perlu disediakan dan situasinya. Bagaimanapun, ada yang akan berasa kecut perut untuk mengadap penemuduga, terutama yang pertama kali dipanggil menghadiri sesi berkenaan.

Pelbagai tanggapan akan bermain di kepala calon sama ada mampukah mereka menjawab soalan dengan baik atau adakah bakal majikan tidak gemar dengan jawapan yang diberikan.

Perasaan kurang selesa itu membuatkan seseorang tidak dapat memberikan fokus yang baik kepada sesi yang akan ditempuh. Soalan yang mudah juga mungkin sukar dijawab jika situasi tidak boleh dikawal.

Lebih malang jika penemuduga dingin dan tidak mesra atau bersikap kasar menyebabkan keadaan lebih teruk yang seterusnya membantutkan peluang calon mendapat tempat di syarikat berkenaan.

Calon mungkin tertekan dengan situasi ini dan tidak mustahil mereka gagal menonjolkan kualiti diri dengan baik. Ambil masa belajar cara menghadapi temuduga dengan baik terutama bagi yang pertama kali dipanggil temuduga.

Ada penemuduga yang sengaja menampilkan sikap kasar semata-mata untuk menguji ketahanan dan keupayaan calon menghadapi tekanan. Jadi jangan jadikan sikap kasar penemuduga sebagai halangan kepada anda untuk meneruskan sesi temuduga. Siapkan mental anda agar dapat menangani situasi sebegini.

Ketika berhadapan dengan sikap penemuduga yang kasar, tarik nafas dan bersikap tenang serta berfikir secara positif. Fikirkan bahawa sikap penemuduga tidak mewakili keseluruhan syarikat.

Anggap sikap kasar penemuduga kemungkinan satu ujian sama ada seseorang calon itu mampu bekerja dalam tekanan kerja yang tinggi serta bijak berhadapan dengan orang yang pelbagai ragam.

Calon perlu berfikiran terbuka dan tidak memberi perhatian pada sikap negatif penemuduga sebaliknya menjawab soalan dengan baik dan tonjolkan kebolehan diri. Cara menjawab yang penuh yakin dan tidak terganggu walaupun berhadapan dengan situasi sukar akan membantu penemuduga melihat calon sebagai seorang yang profesional, matang dan boleh diharap.

Calon perlu mengekalkan sikap bersopan-santun sepanjang sesi temuduga biarpun mungkin diasak dengan komen yang kasar. Apa yang penting, anda perlu membuat persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai jenis sikap penemuduga terutama yang cerewet.



 
Chatroom