Kebaikan Sayur Kubis
Rupa bentuknya begitu sederhana, malah ia mudah didapati pada harga yang agak murah.
Meskipun murah, kubis menyimpan pelbagai khasiat kesihatan lantas ia cukup popular di serata dunia, sama ada dimasak atau dimakan mentah.
Kubis dulunya terkenal di kalangan masyarakat Yunani dan Rom kuno. Ketika itu, kubis yang dibakar dijadikan bahan untuk membunuh kuman pada luka.
Diet masyarakat Asia memang kaya dengan kubis yang boleh didapati dalam pelbagai jenis. Kajian mendapati lelaki yang tinggal di China dan Jepun mempunyai masalah barah prostat yang lebih rendah berbanding lelaki yang tinggal di Amerika. Data serupa dicatatkan membabitkan kadar barah payudara di kalangan wanita.
Antara manfaat kesihatan kubis termasuk membantu rawatan sembelit, ulser perut, sakit kepala, reumatisme, artritis, gout, masalah mata, sakit jantung dan penuaan.
Sayuran ini juga banyak manfaatnya di kalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan. Bayangkan, secawan kubis hanya mengandungi 15 kalori.
Kubis kaya dengan serat yang membantu untuk mengekalkan air, justeru, ia baik untuk menangani sembelit dan masalah berkaitan.
Kubis sememangnya kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A, C, E dan B.
Vitamin A membantu untuk melindungi mata dan kulit manakala vitamin C adalah antioksidan penting serta banyak membantu untuk membakar lemak.
Kita mungkin tidak menyangka kandungan vitamin C di dalam kubis lebih tinggi daripada oren. Vitamin C, salah satu antioksidan terbaik, mengurangkan radikal beas dalam tubuh yang menjadi punca asas penuaan.
Sains moden menunjukkan kubis memainkan peranan penting dalam menghalang jangkitan dan ulser, kemurungan serta membantu melawan batuk dan demam.
Ekstrak kubis terbukti membantu untuk membunuh beberapa jenis virus dan bakteria manakala kubis merangsang sistem ketahanan tubuh untuk menghasilkan lebih banyak antibodi.
Kandungan besi dan sulfurnya yang tinggi bertindak sebagai agen pembersihan untuk sistem penghadaman. Sulfur adalah nutrien yang sangat berguna untuk melawan jangkitan. Kekurangan sulfur mengakibatkan jangkitan mikrob dan menyebabkan luka lambat sembuh.
Kehadiran vitamin C dan sulfur itu juga membuatkan kubis baik sebagai bahan untuk menyah toksin daripada tubuh.
Ini kerana ia membantu untuk membersihkan darah dan menyingkirkan toksin termasuk radikal bebas dan asid urik yang menjadi punca utama masalah reumatisme, gout, artritis dan seumpamanya.