Home » Rukun Negara sebagai etika, falsafah dan ideologi

Rukun Negara sebagai etika, falsafah dan ideologi

Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya `kesatuan hati'. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna `konflik' yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.

Di negara kita, kerajaan menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.

Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa itu mendorong pemimpin negara daripada pelbagai kaum memikirkan formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.

Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Hasil perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN), lahirlah Rukun Negara. Ia digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat bersatu padu, adil dan harmoni.

Ideologi negara ini diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970, iaitu ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-13. Sejak diperkenalkan, Rukun Negara menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

Lima prinsip Rukun Negara pula ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan yang sangat mendasar dan ia mesti difahami dan dihayati dengan penuh komitmen, kesedaran dan penghayatan oleh setiap rakyat di negara ini.

Berikut penulis cuba memberikan huraian ringkas bagi setiap prinsip Rukun Negara.

Pertama, prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama adalah prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (ateis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama sudah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.

Dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangunkan 'pemikiran luhur' dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.

Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan.

Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

Kedua, prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Di negara kita, Raja dan negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.

Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warga negara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Pada peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada Raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah `payung negara' yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

Ketiga, prinsip Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau Perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian Perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

Keempat, prinsip Kedaulatan undang-undang. Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang diskriminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).

Oleh itu, keadilan adalah elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang. Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundangan yang paling tinggi, iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warga negara Malaysia.

Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa saja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan negara apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertian kebebasan dan hak asasi. Di dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Kelima, Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai murni.

Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agama yang dianutinya.

Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun Negara.

Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai `internal cohesion' atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih relevan untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat. Apa yang perlu ialah penghayatan terhadap Rukun Negara mesti disemarakkan kembali melalui gagasan 1Malaysia seperti disarankan kerajaan.

* Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan



Affiliates

 
Chatroom