Home » » » Tanggungjawab pengkeranian

Tanggungjawab pengkeranian

SETIAP syarikat atau perusahaan memerlukan khidmat kerani dalam membantu menyusun atur pentadbiran sesebuah organisasi.

Khidmat perkeranian boleh dikatakan sebagai nadi utama sesebuah syarikat atau organisasi. Kerani yang bagus mempunyai kebolehan menyelesaikan tugasannya dengan cekap dan efektif.

Tanggungjawab mereka tidak hanya pada peningkatan produktiviti di tempat kerja tetapi pembentukan diri demi imej dan kejayaan organisasi.

Bidang pentadbiran yang turut merangkumi bidang perkeranian ini amat luas. Justeru, tidak hairan jika dibelek akhbar harian, banyak tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengisi kekosongan jawatan kerani di syarikat atau perusahaan. Dalam usaha melengkapkan diri menjadi kerani yang cekap dan bagus, seseorang itu boleh mengambil kursus asas pengurusan pejabat, pembangunan manusia, perakaunan perniagaan atau pembangunan sistem teknologi maklumat di kolej komuniti seluruh negara atau kolej swasta lain.

Kursus seumpama itu membekalkan mereka yang berminat dengan pelbagai ilmu serta kemahiran termasuk mengenai hala tuju kerjaya, asas komputer, cara menghadiri temu duga dan asas penampilan diri serta etika.

Bidang perkeranian ini juga bukan hanya terhad kepada mereka yang tidak melanjutkan pengajian ke menara gading tetapi graduan juga boleh terbabit dalam bidang ini untuk menimba pengalaman.

Mungkin mereka lebih sanggup menganggur daripada bekerja sebagai kerani atau jawatan lain yang dirasakan kurang setaraf walaupun sebenarnya lebih baik bekerja daripada menganggur. Pemikiran `lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai' perlu dibuang dari minda setiap graduan kerana ia bukan saja merugikan mereka, malah merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja.

Kerjaya sebagai kerani tidak boleh dipandang rendah kerana khidmat mereka sama penting dengan pekerja lain dalam sesebuah syarikat atau organisasi walaupun mereka bukan pembuat keputusan tetapi merekalah antara pihak yang membantu memastikan perjalanan pentadbiran sesebuah syarikat itu berjalan lancar.

Bagi yang berminat dengan kerjaya ini, peluang pekerjaan menanti dengan luas dan tawaran jawatan kosong sentiasa diiklankan dalam akhbar anda hanya perlu membeli akhbar dan memohon pekerjaan yang sesuai.

Panduan

* Lengkapi diri dengan ilmu pengurusan pejabat.

* Janganlah terlalu memilih kerja terutama graduan yang baru menamatkan pengajian.

* Penuhi dada dengan ilmu dan kemahiran menaip dan asas komputer.



Affiliates

 
Chatroom