Home » » 30 Peratus Rakyat Malaysia Dijangka Alami Obesiti 2011

30 Peratus Rakyat Malaysia Dijangka Alami Obesiti 2011

Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) menjangkakan 30 peratus atau 8.1 juta rakyat negara ini akan mengalami masalah obesiti pada tahun ini akibat gaya hidup mereka yang tidak sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif LPKM Dr Yahya Baba berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini, dan jika tahap kesedaran mengenainya tidak dilakukan secara serius, peratusannya mungkin lebih daripada itu.

"Kajian oleh Kementerian Kesihatan pada 2006 menunjukkan sebanyak 14 peratus penduduk negara ini mengalami masalah obesiti dan ia menunjukkan peningkatan pada setiap tahun.

"Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak 250 peratus dalam tempoh 10 tahun dari 1996 hingga 2006," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Pantai, Sihat Tanpa Obesiti anjuran Persatuan Rekreasi Negeri Kelantan di Pantai Sri Tujuh di sini pada Jumaat.

Yahya berkata daripada jumlah itu, 16 peratus membabitkan pelajar sekolah.

Beliau berkata jika tabiat gaya hidup sedemikian terus diamalkan, bilangan penduduk yang menghidap penyakit berbahaya akan terus bertambah.

LPKM, katanya, akan mengadakan pelbagai program untuk memupuk kesedaran rakyat negara ini terhadap mempromosikan gaya hidup sihat tanpa obesiti, termasuk menyalurkan geran kepada 54 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi mengadakan program untuk menurunkan berat badan.

Yahya berkata geran itu hanya akan diberikan kepada NGO berdaftar bagi mengadakan program kesihatan.

"Tumpuan utama adalah kempen anti rokok dan alkohol," katanya.

Lembaga itu ditubuhkan pada 2007 dan merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan khusus untuk mengadakan aktiviti bagi mempromosikan kesihatan.

-- BERNAMA



 
Chatroom