Home » » Risiko gaya hidup bermalas-malas (sedentari)

Risiko gaya hidup bermalas-malas (sedentari)

Gaya hidup bermalas-malas (sedentari)

Cuba tanya diri sendiri, apakah yang menyebabkan anda malas untuk bersenam? Adakah alasan tidak ada masa, terkejar-kejar, banyak perkara lebih penting yang perlu dibuat dan diselesaikan boleh diterima?. Jika ditanya kaum ibu, ada yang mengatakan mereka sibuk melakukan kerja rumah, daripada menyapu, mengelap lantai dan memasak dan itu semua dianggap satu senaman kerana mengeluarkan banyak tenaga.

Apakah yang akan terjadi jika anda membiarkan tubuh 'dimanja' tanpa sebarang pergerakan? Antara punca utama kematian di hospital kerajaan pada 2007 ialah penyakit jantung dan penyakit berkaitan pengedaran pulmonari, penyakit serebrovaskular (gangguan pada pembuluh darah otak dan membran yang menyelaputinya), penyakit berkaitan masalah pencernaan dan pneumonia.

Faktor risiko penyakit jantung koronari ialah faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Antara faktor risiko tidak boleh ubah ialah usia, sejarah keluarga, jantina dan etnik manakala faktor risiko boleh ubah iaitu boleh dikawal atau dicegah ialah diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi, obes, merokok dan gaya hidup sedentari iaitu gaya hidup tidak aktif.

Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr Haizal Haron Kamar, berkata kurang amalan aktiviti fizikal atau gaya hidup bermalas-malas seperti duduk, menonton televisyen atau bermain permainan komputer dan tidur membunuh lebih tiga juta orang setiap tahun.

Gaya hidup sedentari ialah faktor risiko keempat di seluruh dunia yang mengakibatkan kematian, selepas tekanan darah tinggi, merokok dan tinggi kandungan gula dalam darah.

Menurutnya, sebanyak 43.7 peratus penduduk negara ini mengamalkan gaya hidup sedentari membabitkan lebih ramai wanita iaitu 50.5 peratus (%) berbanding lelaki (35.5 %).

Katanya, kurang amalan aktiviti fizikal di kalangan penduduk Malaysia lebih tinggi di kawasan bandar (59.4%) dan pertambahan gaya hidup seperti ini lebih ramai membabitkan mereka yang berusia, mencecah 80.35% di kalangan mereka yang berusia sekurang-kurangnya 80 tahun.

"Jantung perlu dijaga dengan baik bagi memastikan ia dapat mengepam darah yang beroksigen ke seluruh bahagian tubuh. Caranya ialah dengan bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat, menjadikan jantung lebih dinamik.

"Bersenam membantu melancarkan peredaran darah badan, membantu mengeluarkan gumpalan dalam salur darah, menurunkan kadar kolestrol jahat dalam darah, meningkatkan kolestrol baik, menyusutkan lemak badan dan mengatasi stres," katanya pada forum awam Senaman Untuk Kehidupan Yang Sihat, di TMC, baru-baru ini.

Sempena program berkenaan, Ketua Fisioterapi, Brandon Lee, menunjukkan cara senaman memanaskan badan yang betul.

Dr Haizal berkata, senaman disarankan bagi mencegah sakit jantung ialah secara kerap tiga hingga lima kali seminggu selama 20 hingga 60 minit dan dipergiatkan daripada sederhana kepada senaman lebih berat.

Menurutnya, senaman aerobik seperti berjalan, berlari, menunggang basikal dan berenang baik untuk kesihatan jantung selain latihan menguatkan badan kerana ia menyebabkan penurunan lemak badan dan tahap kolestrol. Degupan jantung yang normal ketika rehat ialah 70 kali seminit dan jantung berdegup sebanyak 100,000 kali sehari.

"Jantung ialah otot dan ia menjadi lebih kuat dengan bersenam, sama seperti otot lain pada tubuh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan golongan dewasa bersenam sekurang-kurangnya 150 minit daripada sederhana hingga aktiviti yang lebih berat dalam seminggu.

"Amalkan juga bersenam di tempat kerja seperti berjalan kaki ke tempat kerja atau menunggang basikal seperti yang diamalkan penduduk sesetengah negara maju. Di pejabat, sesekali buat kerja dengan berdiri dan selepas lama duduk, buat senaman ringan bagi melancarkan peredaran darah. Anda juga tidak sepatutnya melepaskan peluang bersenam di gimnasium yang disediakan di pejabat selepas waktu kerja," katanya.

Oleh Norainon Othman



Affiliates

 
Chatroom