Home » » Rsiko kencing tak lawas, tanda-tanda

Rsiko kencing tak lawas, tanda-tanda

Anda pasti terganggu dengan sikap rakan atau orang tersayang yang kerjanya asyik berulang-alik ke tandas selang beberapa minit. Setiap kali diajak keluar, mereka begitu cerewet terutama dengan lokasi tandas awam. Bagi yang tidak memahami, ia memang menyakitkan hati, namun itu antara profil biasa pesakit yang mengalami penyakit kencing tidak lawas atau Inkontinens Urinari (UI).

Ramai beranggapan Inkontinens Urinari (UI) atau kencing tidak lawas adalah masalah yang lazim dialami golongan lebih berusia, hakikatnya sesiapa saja pernah mengalami pengalaman ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup tidak kira berapa pun usia mereka.

Perbezaan anatomi

Pakar Perunding Urologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Lo Hwa Loon menjelaskan, UI merujuk kepada pembuangan air kecil secara tidak terkawal yang dua kali ganda berlaku lebih kerap di kalangan wanita berbanding lelaki disebabkan oleh perbezaan anatomi di kawasan pelvis.

"Hampir 30 peratus wanita Malaysia mengalami penyakit ini. Bagi kedua-dua jantina, UI mungkin disebabkan oleh faktor fizikal manakala bagi wanita pula, kehamilan, melahirkan dan menopaus adalah antara punca penyakit ini," katanya.

UI adalah satu kebenaran yang pahit buat pesakitnya, oleh itu Persatuan Urologi Malaysia (MUA) sentiasa menerajui usaha untuk memberi kesedaran mengenai UI kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan menekankan kepentingan bantuan perubatan bagi menguruskan penyakit itu dengan lebih berkesan.

Jelas Dr Lo, ada tiga jenis UI utama iaitu inkontinens tekanan, inkontinens desakan dan inkontinens campuran. Inkontinens tekanan ialah pembuangan air kecil secara tidak terkawal apabila tekanan dikenakan pada pundi kencing ketika ketawa, bersin atau batuk. Inkontinens desakan ialah desakan kuat untuk membuang air kecil yang berlaku secara tiba-tiba dan disusuli pembuangan air kecil secara tidak terkawal.

Gabungan inkontinens

"Dalam sesetengah kes, pesakit juga mengalami inkontinens campuran iaitu gabungan inkontinens tekanan dan inkontinens desakan," katanya.

Walaupun UI bukanlah keadaan yang boleh membawa maut, ia mempunyai kesan fizikal dan psikologi kepada pesakit. Jangkitan bakteria biasanya berlaku dan turut menyebabkan kurang keyakinan diri akibat kehilangan kawalan pundi kencing. Jika ini berlaku, pesakit amat dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan profesional pengamal perubatan sekiranya mereka mengalami gejala UI seperti kebocoran kecil atau air kencing meleleh.

Bagi pesakit yang disyaki mengalami UI, langkah pertama ialah penilaian sejarah perubatan mereka untuk mendiagnosis jenis UI yang dialami. Kemudian, satu ujian fizikal akan dijalankan untuk mengesan tanda masalah kesihatan yang mungkin menyebabkan inkontinens.

Pengurusan penyakit

Rawatan tingkah laku ialah strategi pengurusan penyakit yang biasanya dijalankan ke atas pesakit. Rawatan ini membabitkan latihan otot pelvis, latihan semula pundi kencing, pengurangan berat badan, perubahan diet dan berhenti merokok.

Disebabkan jenis rawatan yang berkesan adalah berbeza mengikut individu, maka pilihan rawatan pesakit adalah bergantung kepada jenis dan betapa serius malah UI yang dialami serta gaya hidup dan pilihan pesakit.

Antara kaedah rawatan yang disediakan mengikut keperluan individu termasuk rawatan tingkah laku, ubatan, pembedahan, alat khas yang dimasukkan ke dalam vagina untuk mengurangkan tekanan dan lelehan, maklum balas bio (biofeedback), stimulasi saraf dan kateter (catheterization).

Kempen kesedaran

Sejak MUA ditubuhkan pada 1974, ia berusaha membantu pesakit untuk menjalani kehidupan yang lebih berkualiti melalui pendidikan mengenai cara pengurusan penyakit urologi seperti UI secara berkesan melalui kempen kesedaran. Selain mendidik khalayak umum, MUA memperluas inisiatif pendidikan kepada profesional pengamal perubatan untuk membantu mereka mengetahui perkembangan terbaru dalam bidang urologi supaya ia dapat berkembang maju.

Untuk mencapai matlamat itu, Persidangan Urologi MalaysiaScotland 2012 akan dianjurkan sebagai usaha kerjasama antara MUA dengan Persatuan Urologi Scotland untuk membincangkan perkembangan dan kemajuan terkini dalam bidang urologi. Persidangan ini akan berlangsung pada 22 hingga 25 November 2012 di Sunway Resort Hotel & Spa. Untuk keterangan lanjut, sila lawati www.muc2012.com.

Padah tahan buang air kecil

Kehidupan ketika menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh di Muar, Johor, banyak mengajar Murni Wahid, 35, (bukan nama sebenar) mengenai betapa peritnya derita seorang pesakit inkontinens urinari UI, atau kencing tidak lawas.

"Bagi anak kampung seperti saya, peluang bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh selepas mendapat keputusan yang baik selepas menduduki Peperiksaan Penilaian Darjah Enam, semestinya amat membanggakan keluarga. Ketika di tingkatan satu, bukan saja pencapaian akademik yang baik, tetapi saya juga seorang pelajar yang aktif dengan hoki dan mewakili sekolah," katanya.

Takut ke tandas

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, pengalamannya dengan inkontinens urinari bermula akibat rasa takutnya untuk membuang air kecil sendirian terutama pada waktu malam. Akibat sikap penakut itu, dia lebih sanggup menahan diri dari ke tandas sehinggalah hari menjelang siang.

"Bukan itu saja, malah setiap kali sesi latihan hoki berjalan, saya malas hendak ke tandas kerana bimbang mengganggu latihan. Tabiat menahan kencing ini lebih menjadijadi ketika saya terpilih untuk bermain hoki mewakili daerah," katanya juga yang kurang mengamalkan minum air masak ketika itu.

Dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada satu hari ketika menyertai perhimpunan sekolah. Sebagai pengawas sekolah, hari itu Murni perlu berdiri di pentas utama ketika Ketua Pengawas membacakan ikrar. Seperti biasa gesaan untuk kencing tiba-tiba datang dan dia terpaksa menahan diri kerana masih di pentas.

"Selesai sesi perhimpunan dia terus bergegas ke tandas, malangnya ketika membuang air hanya beberapa titis saja yang keluar. Malah dia terasa panas dan pedih serta sakit pada ari-ari.

Baru saja melangkah keluar, sekali lagi gesaan untuk buang air datang. Keadaan ini berulang selama beberapa bulan sehingga rakanrakan dan guru mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengannya.

Peka perubahan

"Saya jadi sangat tertekan, kerana hidup serba tidak kena, hinggakan ia menjejaskan persahabatan dan pembelajaran. Mereka tidak faham mengapa saya sering menjauhkan diri dan semakin kurang menyertai sebarang aktiviti sekolah. Saya hampir murung. Namun nasib saya baik kerana walaupun ibu bapa tiada bersama, mereka sangat mengambil berat dan peka dengan perubahan pada diri saya.

"Sebelum ibu bapa saya berprasangka yang bukan-bukan, saya kuatkan diri untuk menceritakan hal sebenar," jelasnya lagi yang terus dibawa berjumpa pengamal perubatan.

Dia disahkan mengalami inkontinens desakan ialah desakan kuat untuk membuang air kecil yang berlaku secara tiba-tiba dan disusuli pembuangan air kecil secara tidak terkawal. Bagi memastikan dia pulih sepenuhnya, Murni keluar dari asrama dan berulang ke sekolah dari rumah untuk memastikan rawatan lebih berkesan.

Doktor menyarankan rawatan tingkah laku ialah strategi pengurusan penyakit yang biasanya dijalankan ke atas pesakit. Berkat usaha dan rawatan membabitkan latihan otot pelvis, latihan semula pundi kencing dan perubahan diet, Murni akhirnya sembuh sepenuhnya.



Tanda-tanda kencing tidak lawas akibat jangkitan saluran kencing:

- Kerap ke tandas.

- Kencing tidak puas.

- Tidak dapat menahan kencing.

- Kencing terasa panas dan pedih.

- Sakit pada bahagian ari-ari.

- Kadang kala alami kencing berdarah.

- Demam.



Tanda-tanda pundi kencing lebih aktif (overactive bladder):

- Kencing tidak puas.

- Kencing tidak habis.

- Kerap berkunjung ke tandas hingga pada kadar lebih 10 kali sehari.

- Tidak dapat menahan kencing.

- Kadang kala berlaku kebocoran kencing jika ditahan lama.

Oleh Suzan Ahmad



 
Chatroom