Home » » Graduan pilihan majikan

Graduan pilihan majikan

Graduan glokal pilihan majikan
Setiap tahun pada sepanjang Ogos hingga November, semua institusi pengajian tinggi di negara ini akan menganjurkan majlis konvokesyen bagi meraikan kejayaan graduan mereka yang berjaya menamatkan pengajian.

Keseluruhannya mereka adalah insan yang cemerlang dalam pengajian sama ada pada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah dalam bidang masing-masing.

Sebahagian mereka ada yang berjaya mendapat tawaran bekerja dan berkhidmat di sektor kerajaan, swasta dan industri. Ada dalam kalangan graduan ini masih lagi menunggu untuk diberikan peluang bekerja.

Dapatkan ebook Teknik Menjawab Soalan Temuduga

Pembangunan insan terbilang ini juga meliputi usaha ke arah melahirkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan yang sewajarnya. Peluang menuju kecemerlangan juga sentiasa terbuka dan menanti.

Pembangunan modal insan

Malah, kejayaan dan pencapaian dalam mencintai hikmah atau kebijaksanaan ini amat penting untuk direkodkan kerana berkait rapat dalam menobatkan jati diri generasi muda dengan pembangunan modal insan yang dilahirkan oleh universiti.

Bak kata pepatah 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan'. Tidak dinafikan kekuatan ilmiah dan kemahiran glokal akan menjana kekuatan mahasiswa untuk lebih bertenaga dalam perjuangannya.

Universiti juga menyediakan semua input penting bagi melahirkan tenaga kerja yang profesional dan sentiasa relevan dengan kehendak industri dan majikan. Ia termasuk penelitian dalam aspek pembangunan kurikulum, pendekatan pengajaran dan pembelajaran kepada suasana kerja yang sebenar dan sebagainya.

Lengkap diri input positif

Mahasiswa juga perlu melengkapkan diri mereka dengan input yang positif berpaksikan kebijaksanaan dengan pemikiran yang berasaskan nilai suci, nilai kebitaraan, nilai logik dan nilai lateral yang cemerlang. Justeru, sudah pasti lahirnya modal insan yang berilmu, berperibadi unggul dan berketrampilan glokal.

Mereka yang dahulunya mahasiswa dan mahasiswi, kini sudah bergelar graduan dan sumber modal insan terbilang yang akan memberikan satu kekuatan kepada pembangunan negara. Mahasiswa sebenarnya adalah golongan terpilih untuk memenuhi dunia kebitaraan dan profesional di samping mendalami pelbagai bidang keilmuan secara formal.

Secara automatik golongan graduan inilah disandarkan harapan oleh masyarakat untuk memimpin dan membimbing mereka.

Sedar atau tidak, setiap mahasiswa wajib memikul amanah ini, sekurang-kurangnya dengan menjadikan menara gading sebagai tempat persediaan ke arah mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang meliputi elemen penting kemahiran insaniah yang bersifat glokal untuk mereka terjun ke dalam masyarakat dan industri selepas tamat pengajian.

Dalam tradisi keilmuan, universiti atau menara gading hendaklah didaulatkan dengan penuh kegemilangan dan keunggulan. Malah, universiti juga menjadi medan untuk mahasiswa membina keilmuan dengan pelbagai bentuk perbincangan secara ilmiah dan tertib.

Di universiti inilah juga, sewajarnya mahasiswa mempersiapkan diri dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti kelebihan dan kemahiran tertentu yang ada pada diri mahasiswa dan graduan.

Peranan universiti bukan sahaja tertumpu pada penghasilan sumber tenaga, tetapi meliputi aspek utamanya iaitu aspek pengajaran, penyelidikan dan inovasi, perundingan, penerbitan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pusat kecemerlangan pendidikan

Dari sudut perkembangan ekonomi negara, Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. Kita juga perlu berbangga dengan perkembangan pengajian tinggi dalam negara ini yang sudah menjangkau sebanyak 22 IPTA.

Malah, kerajaan juga menggalakkan pendemokrasian pendidikan tinggi melalui penubuhan IPTS dengan tujuan membuka peluang dan ruang pendidikan untuk rakyat.

IPT atau menara gading ini ialah gedung ilmu atau sebagai tempat untuk menjana minda dan merevolusikan pemikiran glokal. Mahasiswa menjadikan IPT sebagai medan untuk mencari dan mempelajari sesuatu yang mana dapat mengusulkan suatu anjakan paradigma.

Mahasiswa atau graduan glokal ini adalah kumpulan yang menjadi tonggak kepada aspirasi bangsa, agama dan negara. Hal ini bermakna mahasiswa golongan intelek yang bakal melakarkan sejarah kepemimpinan negara pada masa akan datang.

Miliki 'soft skills' dan 'hard skills'

Mereka juga berpeluang menjalinkan jaringan rangkaian (network) kenalan dari pelbagai jurusan tidak kira sama ada bidang kemanusiaan, keagamaan, teknikal, sains dan teknologi maklumat. Oleh itu, secara keseluruhannya mereka mesti mempunyai nilai positif sama ada 'soft skills' dan 'hard skills' yang diperlukan dalam konteks pembangunan sains dan teknologi demi mencapai kejayaan dan keseimbangan hidup di dunia dan di akhirat.

Berbekalkan pengiktirafan akademik diterima pada majlis konvokesyen baru-baru ini dan berbekalkan semangat jati diri yang teguh, ia bakal melahirkan graduan pilihan majikan yang cemerlang lagi terbilang di dalam negara dan di pentas dunia. Semoga mereka yang bergraduat baru-baru ini akan menjadi pilihan terbaik oleh pihak majikan sama ada di sektor kerajaan, swasta dan industri.

Oleh Norliah Kudus
* Penulis ialah Pensyarah Kanan dan Motivator Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

 



 
Chatroom