Home » » Tip Bercuti Bersama Anak-anak

Tip Bercuti Bersama Anak-anak

Elak cuti jadi mimpi ngeri
Percutian bersama anak-anak kadangkala memeningkan. Tetapi ini bukan bermakna kita tidak boleh menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan. Tekanan pasti ada, maklum berdepan dengan anak yang masih kecil dan sukar dijangka. Persediaan rapi sangat penting.

Percutian seharusnya menjadi tali pengikat kasih sayang antara ibu dan anak-anak. Bagi mengelakkan percutian impian bertukar menjadi mimpi ngeri, panduan percutian yang praktikal bersama anak-anak perlu bagi menjayakannya.

Oleh itu, segala macam kerenah yang ditunjukkan anak-anak, terimalah dengan hati yang terbuka kerana hakikatnya percutian adalah masa yang paling ideal untuk ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan kerjaya masing-masing mengenali personaliti sebenar anak kecil mereka yang semakin membesar.

Panduan berikut mungkin dapat membantu mengurangkan tekanan

- Cuba rancang waktu perjalanan yang hampir dengan waktu tidur anak untuk mengelakkan mereka meragam. Anak kecil mudah bosan duduk di dalam kenderaan untuk tempoh yang panjang. Jika tidak, kerap berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi menghilangkan kebosanan mereka.

- Selimut dan bantal boleh menjadikan perjalanan jauh lebih selesa dan kalau bernasib baik mereka akan tertidur. Bawa bekalan seperti snek, roti dan air kotak. Anak-anak akan lebih tenang apabila perut terisi.

- Bawalah DVD kegemaran mereka jika kenderaan punya pemain DVD kereta.

Biarpun ramai ibu bapa terpaksa melupakan saluran radio mahupun muzik kegemaran kerana terpaksa mengalah dengan anak-anak demi ketenangan dan kelancaran pemanduan.

Selagi mereka tidak bergaduh, ulang memasang DVD berkali-kali pun tidak mengapa.

- Benarkan mereka membawa hanya satu permainan setiap seorang. Anak-anak sebenarnya sangat kreatif, mereka tidak perlu membawa permainan sebaliknya apa saja yang ditemui boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu yang melekakan untuk bermain.

- Siapkan beg pakaian yang ringkas. Bukan saja memberi anda lebih kebebasan, menjimatkan masa mengeluarkan dan memasukkan pakaian tetapi juga lebih mudah dibawa. Kereta sorong juga kadang kala remeh dan menyusahkan.

Dukung anak kecil anda atau biarkan mereka berjalan terutama yang `baru saja dapat kaki'. Pasti ia menyeronokkan.

- Siapkan keperluan utama anak dalam beg yang mudah dicapai, seperti lampin pakai buang, changing mat, tisu lembap, tuala kecil, tisu poket, termos kecil, sebotol air mineral, susu formula yang siap disukat, makanan dan minuman. Ia memudahkan pergerakan terutama apabila menggunakan kenderaan awam. Malah, menggunakan beg sandang belakang adalah lebih praktikal untuk membawa keperluan utama ini.

- Bawa pakaian anak secukupnya sepanjang percutian. Jumlah yang perlu dibawa bergantung kepada keperluan, mungkin tiga pasang sehari sudah memadai.

Bawa juga bersama topi, kasut, stokin, tuala mandi, tuala kecil, tisu lembap, bantal kecil, tisu poket, set mandian (travel pack), putik kapas, ubat-ubatan, dan juga termometer untuk memudahkan memantau suhu badan anak. Perubahan cuaca mungkin boleh menyebabkan anak kecil anda mudah mendapat demam. Mungkin anda boleh mencuba petua tidak memandikan anak kurang tiga jam sesudah sampai.

- Bawa ubat asas seperti panadol, ubat demam dan minyak angin serta ubat luka. Dengan anak-anak yang cergas dan lasak, kecederaan boleh berlaku bila-bila masa saja.

- Utamakan waktu rehat anak. Berjalan bersama anak kecil memerlukan kita mengikut rentak mereka.

Elakkan daripada terus berjalan-jalan sedangkan anak kecil anda sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam. Anak yang mula membuat kerenah akan membangkitkan kemarahan dan tekanan kepada ibu bapa. Oleh itu, cuba rancang waktu anda dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak kecil sebelum memulakan aktiviti. Keletihan yang berterusan mungkin boleh mengganggu kesihatan anak anda.

  Oleh Suzan Ahmad



 
Chatroom