Home » » » » Datuk Sarimah Ahmad jaga kecantikan,kesihatan

Datuk Sarimah Ahmad jaga kecantikan,kesihatan

Ulam-ulaman dan air zam-zam sudah memadai bagi primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad untuk kekal sihat dan bertenaga.

Mungkin sudah diajar dari kecil, pelakon veteran tersohor ini masih bertenaga meskipun usianya mencecah 70 tahun. Malah, Sarimah masih mampu melakukan kerja berat seperti dulu tanpa bantuan sesiapa.

Bersyukur dengan rahmat kesihatan yang diberikan kepadanya, Sarimah melakukan rutin harian seawal jam 4 pagi untuk bersolat dan melakukan senaman ringan.



Hanya bersarapan dengan madu dan sedikit garam, air zam-zam dan salad sudah cukup memberi tenaga kepada pelakon yang terkenal dengan filem Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dan Ibu Mertuaku ini.

“Saya tidak pernah makan ayam dan daging sejak kecil, bukan pantang, tetapi sebab tidak minat. Sayur-sayuran seperti ulam dan buah-buahan menjadi makanan ruji saya setiap hari dan mesti ada. Saya tidak percaya dengan suntikan Botox kerana bagi saya kesannya hanya sekejap dan menyakitkan. Lagi pula, saya jenis takut dengan jarum. Kita kalau nak kekal cantik dan muda, bermula dari dalam terutama hati,” katanya.

Bagi Sarimah, penjagaan dalaman amat penting termasuk dari aspek pengambilan makanan dan vitamin C serta multivitamin bagi mengekalkan kesihatan tubuh.

Keperitan hidupnya melawan barah empat tahun lalu sehingga doktor memberitahu hanya mampu bertahan tiga bulan saja, memberi kekuatan kepadanya untuk kembali sihat seperti usia muda.

“Ketika itu, saya tidak boleh bergerak, hanya mampu terlantar.Bahkan hendak solat pun perlu berbaring. Tetapi itu tidak melemahkan saya kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebalik ujian yang diberi.

“Berkat doa dan sokongan anak, saya gagahkan diri menunaikan umrah dalam keadaan sakit. Selepas pulang, kesihatan saya semakin pulih kerana sering mengamalkan minum air zam-zam,” katanya.

Meskipun sudah mempunyai 32 orang cucu dan empat cicit, ibu tunggal kepada enam anak ini mahu terus sihat untuk melihat cucu, cicit dan piut membesar di depan mata.

Tidak pernah menyembunyikan usianya, Sarimah berkongsi tip penjagaan kesihatan dengan wanita lain melalui produk kecantikan dalaman keluaran syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn Bhd.



 
Chatroom