Home » » Gangguan Pemakanan - Penyakit mental remaja

Gangguan Pemakanan - Penyakit mental remaja

Kebanyakan gadis remaja atau lelaki yang menghadapi gangguan pemakanan kerana tidak berpuas hati dengan diri dan prestasi kehidupan mereka.

Gangguan pemakanan telah lama menjadi masalah yang serius di pelbagai peringkat umur. Penyakit ini biasanya menunjukkan simptom-simptom awal dalam peringkat permulaan kehidupan seseorang remaja.

Walaupun tidak kurang juga remaja lelaki yang menderita masalah serupa, keadaan ini nampaknya lebih cenderung menyerang gadis remaja.

Kebiasaannya, mereka yang menderita gangguan pemakanan akan menyalahkan faktor luaran seperti pengaruh rancangan televisyen atau gaya hidup keluarga yang tidak sihat.

Meskipun keadaan-keadaan ini turut mempengaruhi gangguan pemakanan, pada dasarnya, punca masalah ini terletak pada individu yang mengalami masalah itu sendiri.

Kebanyakan gadis remaja atau lelaki yang menderita masalah gangguan pemakanan adalah mereka yang tidak berpuas hati dengan diri dan prestasi kehidupan mereka.

Bagi gadis remaja, lazimnya masalah ini berkemungkinan berpunca daripada kegagalan mereka dalam sesuatu aktiviti kegemaran termasuk gagal menarik perhatian lelaki.

Keinginan untuk mengecapi berat badan ideal ataupun tanggapan bahawa 'kurus itu cantik' sekali gus mendorong gadis remaja mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat.

Adakalanya, pengaruh rakan sebaya menyebabkan remaja-remaja ini tertekan dengan realiti kehidupan dan terpaksa akur kepada kehendak trend.

Bagi remaja lelaki pula, puncanya mungkin berasal daripada suka berorientasikan berat seperti gusti.

Terdapat dua jenis gangguan pemakanan iaitu anoreksia nervosa dan bulimia nervosa. Remaja yang mengalami anoreksia akan mengamalkan diet yang disifatkan 'tegas' dan melibatkan pengurangan jumlah kalori yang diambil sehingga mencecah tahap yang tidak masuk akal.

Biasanya, jumlah kalori harian yang disyorkan untuk setiap orang adalah sekitar 1,500 kalori. Sebaliknya, remaja yang mengalami anoreksia nervosa pula hanya mengambil kurang daripada 100 kalori sehari.

Remaja yang menderita masalah bulimia nervosa pula biasanya akan cuba mengehadkan dietnya. Apabila mereka merasakan diri sudah terlebih makan, mereka akan berusaha mengeluarkan makanan sama ada melalui pengambilan ubat julap mahupun muntah.

Jika dibiarkan berterusan, keadaan ini akan bertukar menjadi satu corak pemakanan tidak terkawal.

Terdapat cara untuk mencegah anak remaja anda daripada mudah terpengaruh kepada masalah gangguan pemakanan ini.

Sebagai ibu bapa, anda boleh membenarkan anak berdiet tetapi pastikan pelan pemakanannya dipantau dari semasa ke semasa.

Jika anda mengenal pasti simptom-simptom awal anak yang begitu mengambil berat terhadap berat badannya, jangan ingat ini hanya satu tempoh peralihan yang tidak payah diambil peduli.

Sebaik-baiknya, duduk dan berbincang dengan anak mengenai pelan pemakanan serta senaman yang betul.

Anda boleh membantu dengan membeli makanan yang menyihatkan seperti buah-buahan, sayuran mentah dan salad. Buktikan kepada anak remaja anda bahawa tidak salah memakan tetapi sekurang-kurangnya berhati-hatilah dengan pilihan makanan yang diambil.

Fahamilah bahawa ia adalah sejenis penyakit mental dan menghukum anak remaja anda tidak mungkin dapat memperbaiki keadaan.

Jika anda percaya anak remaja anda menderita gangguan pemakanan, segera dapatkan bantuan pakar profesional secepat mungkin. Dalam situasi seperti ini, ibu bapa mungkin rasa tidak terdaya tetapi fahamilah masalah ini jika dibiarkan hanya akan memudaratkan kesihatan anak remaja anda.




1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

kebanyakan remaja nak diet cepat sampai jadi begini...

Catat Ulasan

 
Chatroom