Home » » Pasifik diserang obesiti

Pasifik diserang obesiti

Dengan perubahan gaya hidup moden, kebanyakan penduduk di Kepulauan Pasifik tidak lagi pergi menangkap ikan atau bercucuk tanam. Semuanya kini diperoleh di pasar raya.

DUA lelaki memancing ikan di pintu masuk pelabuhan Nauru di Kepulauan Pasifik. Ikan kini tidak lagi menjadi pilihan utama menu harian penduduk di kepulauan itu.GAMBAR menarik dalam brosur pelancongan yang memaparkan seorang lelaki sedang menangkap ikan menggunakan lembing dari kenu di sebuah lagun yang indah dan lambaian pohon kelapa menyembunyikan kebenaran yang sedia ada.

Kebenarannya ialah penduduk di Kepulauan Pasifik kini berada dalam krisis terhadap obesiti yang mendedahkan mereka kepada penyakit berbahaya seperti diabetes, strok dan jantung.

Diet yang biasa digunakan seperti ikan, tanaman berakar, daun-daun hijau, kelapa dan buah-buahan kini telah diganti dengan makanan import seperti daging, beras, gula dan snek yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Kebanyakan penduduk kepulauan itu kini menjadi semakin moden dan lebih senang memandu ke kedai untuk membeli daging lembu, minyak masak dan beras daripada menangkap makanan segar dari laut di kawasan lagun.

"Apa yang ada di negara ini ialah wabak yang teruk. Kami kini mempunyai 6,000 hingga 8,000 kes diabetes daripada jumlah 53,000 penduduk," kata Carl Hacker, Pengarah Polisi Ekonomi, Perancangan dan Statistik Marshall Island.

"Apa yang berkembang di sini ialah bencana fizikal," katanya.

Perkara ini sentiasa berulang di sekitar Pasifik. Data dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan negara di Kepulauan Pasifik berada di kedudukan kelapan daripada 10 negara paling banyak kes obesiti di seluruh dunia.

Nauru, salah sebuah negeri yang maju menerusi hasil eksport kini mengetuai senarai dengan 94.5 peratus daripada penduduk berusia lebih 15 tahun ditakrifkan sebagai obesiti.

Ia turut mengetuai carta dunia untuk kadar diabetes yang mana dianggarkan 45 peratus daripada orang dewasa di Nauru mengalami penyakit itu.

Wad-wad di hospital dari Marshall Islands ke Nauru dan Tonga dan daerah sekitarnya dipenuhi dengan pesakit yang menderita penyakit non-communicable (NCDs) akibat obesiti yang membawa kepada penyakit diabetes, strok dan sakit jantung.

Mengikut statistik, individu yang berusia 20-an dan 30-an sudah mengalami strok.

Menurut Hacker, merawat seorang pesakit berusia antara 15 hingga 30 tahun boleh menyebabkan negara kerugian ratusan ribu dolar.

Simptom lain akibat diabetes termasuklah kegagalan fungsi buah pinggang, separa buta dan kes paling teruk ialah pemotongan anggota badan seperti kaki atau tangan.

Kos untuk pemulihan jangka panjang untuk mangsa strok turut menjadi beban kepada negara, kata Dr. Jan Pryor yang merupakan Pengarah Penyelidikan di Sekolah Perubatan Fiji.

"Dahulu, jarang ditemui sesiapa yang mengalami serangan strok di bawah usia 50 tahun. Tetapi, kini dalam usia 20-an dan 30-an, seseorang sudah mengalaminya. Anda boleh melihatnya setiap hari," kata Pryor.

Perjuangan melawan kesihatan yang teruk dibelenggu oleh persepsi tradisional iaitu obesiti merupakan tanda kecantikan dan status di Kepulauan Pasifik.

Satu ketika dahulu, diet tradisional dan gaya hidup memastikan bahawa secara umum hanya ketua atau orang dewasa dalam keluarga 'membesar dengan sihat' (gemuk).

"Ketika saya masih kecil, tiada makanan yang diimport. Kami akan memakan makanan tempatan yang tinggi kandungan karbohidrat dan serat tetapi rendah gula," kata Dr. Malokai Ake, Ketua Pegawai Perubatan Kesihatan Awam di Tonga.

"Biasanya, kami hanya menikmati daging khinzir atau ayam pada hari Ahad dan ikan segar merupakan diet utama kami bersama makanan laut yang lain.

"Kemudian, kami akan melakukan aktiviti seperti berjalan atau menunggang kuda untuk bekerja di ladang dan menghabiskan banyak masa memancing, berenang atau menyelam.

"Gaya hidup kami itu membolehkan kandungan kalori yang ada dalam badan berkurangan setiap hari,"ujarnya.

Proses perbandaran bermakna lebih sedikit orang membesar dengan diet yang diamalkan nenek moyang mereka.

Selain itu, perkembangan populasi juga bermakna terdapat lebih banyak tekanan terhadap sumber semula jadi terutamanya makanan.

Di Marshall Islands contohnya, lebih kurang 70 peratus daripada jumlah populasi penduduk seramai 53,000 orang tinggal di dua bandar yang sesak.

Justeru, penduduk di Kepulauan Pasifik mengambil langkah mudah mendapatkan makanan yang diimport sebagai menu harian mereka. - AFP



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom