Home » » Tip beli-belah dalam talian Internet

Tip beli-belah dalam talian Internet

Lelaki tidak suka shopping. Begitulah gambaran yang diberi setiap kali topik beli-belah diperkatakan. Dalam zaman moden sekarang, stigma lelaki tidak suka berbelanja atau menghabiskan masa berjam-jam di pusat beli-belah seolah-olah terus melekat apabila soal minat dan kecenderungan gender diperkatakan.

Namun, bukanlah semua lelaki tidak suka membeli-belah atau menemani isteri, adik mahupun buah hati ke kompleks beli-belah. Jangan pelik, ada juga lelaki ‘kaki shopping’ hingga mengalahkan wanita setiap kali berpeluang berbelanja. Bagaikan terapi - hobi membeli-belah bagi segelintir lelaki bagaikan pelengkap diari hujung minggu.

Lelaki yang tidak gemar membuang masa membeli-belah mungkin ada alasan tersendiri. Selain tidak mahu ‘pening kepala’ meredah lautan manusia, lelaki begini lebih cenderung memilih alternatif lain mendapatkan barangan daripada pergi ke kedai, pilih barang dan beratur di kaunter pembayaran. Bagi lelaki dari kelompok ini, tentulah kemudahan beli-belah melalui talian atau internet dianggap ciptaan paling cool buat mereka.

Sejak sedekad lalu, kemudahan beli melalui talian atau online shopping mula menarik perhatian golongan celik teknologi maklumat (IT) yang tentunya tidak gemar berkunjung ke pusat beli-belah untuk mendapatkan senaskhah buku atau sepasang kasut kasual.

Bagi mereka, kos pergi ke bandar, mengisi petrol kereta, parkir dan makan-makan sepanjang ‘sesi’ beli-belah lebih tinggi berbanding dengan hanya menekan tetikus dan menurunkan maklumat kad kredit dalam talian di rumah.

Lelaki yang cenderung berbelanja melalui talian amat praktikal dan tahu apa yang dihajati serta kaedah mendapatkannya. Lelaki sebegini sudah semestinya bijak IT serta cekap mengesan sumber di mana barangan dihajati mampu diperoleh. Jika sabar mencari, sudah pasti produk yang dimahukan ditemui biarpun jauh di bandar kecil di Lindau, Jerman mahupun dari penyimpan koleksi di pekan Pengkalan Hulu, Perak.

Kecenderungan membeli-belah dalam talian mungkin didorong faktor kepelbagaian atau variasi atau pilihan barangan yang banyak. Malah, dalam keadaan tertentu, sesetengah produk tidak boleh didapati di rangkaian kedai tempatan mahupun pasaran rantau ini. Ada barangan hanya dipasarkan di negara sumber seperti Amerika Syarikat (AS) atau Eropah. Jadi, untuk memilikinya sudah pasti beli melalui talian menjadi pilihan terbaik.

Jika bukan barangan eksklusif dan berjenama, banyak produk lain boleh dibeli dalam talian. Pengeluar produk termasuk peniaga bebas yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan melalui laman web yang dibangunkan sendiri, menawarkan pelbagai pilihan barangan kepada pengguna asalkan lelaki tahu apa yang dimahukan.

Namun sudah tentu banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum anda membuat pembelian dalam talian. Berbanding proses pembelian biasa di kedai, anda dapat melihat, memegang mahupun merasa produk yang dihajati sedangkan melalui pembelian di internet, anda hanya mampu melihat produk dihajati di skrin komputer selain memilih spesifikasi dimahukan.

Dalam keseronokan membeli-belah di internet sebagai alternatif lelaki urban, XY - Ikon Lelaki berkongsi tip kepada lelaki supaya pembelian dalam talian selamat dan produk yang dihajati selamat sampai di tangan anda.

Selamat membeli-belah dalam talian!

Tip beli-belah dalam talian:

# Komputer peribadi (PC) atau komputer riba mestilah dilindungi. Sebelum memasuki talian, pastikan PC dilengkapi perisian anti virus atau perisian keselamatan Internet yang dikemas kini untuk melindungi daripada perisian pengintip, virus, cecacing dan lain-lain ancaman.

# Jangan abaikan tabiat baik ketika membeli-belah. Disebabkan membeli-belah di dalam talian, tidak bermakna anda boleh lupakan tabiat biasa seperti membuat tinjauan atau membuat perbandingan harga terlebih dulu sebelum membeli.

# Ada baiknya anda menyemak latar belakang organisasi atau syarikat yang menjual produk dihajati. Anda boleh mengesahkan alamat perniagaan mahupun nombor lesen perniagaan dari Pendaftar Perniagaan (ROC) bagi mengesahkan ketulenan aktiviti perniagaan itu.

# Buat carian penilaian yang pernah dibuat oleh orang yang pernah membeli barang daripada syarikat yang sama. Ia bertujuan untuk mendapatkan idea terbaik mengenai kebolehpercayaan syarikat itu.

# Lakukan transaksi hanya menerusi laman web yang selamat dan boleh dipercayai. Sebelum membuat belian, pastikan pemilik laman terbabit memiliki ikon yang menunjukkan ia mengambil pendekatan program keselamatan tertentu.

# Jika membeli dari laman web asing atau syarikat luar negara, elok difikirkan soal kos dan nilai barangan mengikut mata wang tempatan. Ambil kira jumlah kos yang perlu ditanggung dalam proses penghantaran barangan terbabit ke rumah anda.

# Perhatikan juga terma dan syarat pembelian sama ada anda boleh memulangkan barang jika tidak berpuas hati atau produk berbeza dihantar ke rumah anda.

# Bayar gunakan kad kredit. Salah satu perkara yang sering diperkatakan ketika membeli di dalam talian ialah penyalahgunaan kad kredit. Secara ironiknya, membayar menggunakan kad kredit adalah kaedah paling selamat untuk melakukan trasaksi di laman web kerana teknologi enkripsi dan validasi yang digunakan adalah antara yang paling selamat.

# Cetak resit atau helaian pengesahan pembelian. Sewajarnya anda menerima pengesahan belian secara langsung dari laman web atau emel setiap kali selepas membuat belian. Jika belum dapat, ambil perhatian! Sentiasa pastikan pengesahan itu sehingga produk yang dibeli sampai ke tangan anda.

# Jangan lupa untuk menyimpan semua rekod, resit atau bukti pembelian anda. Semak dengan syarikat kad kredit atau bank bagi setiap transaksi yang dilakukan.

Oleh Shamshul Azree Samshir



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom