Home » » Bersenamlah setiap hari

Bersenamlah setiap hari

SHEIKH MUSZAPHAR menyarankan orang ramai supaya bersenam setiap hari, selain menjaga pemakanan mereka.

"Memang artritis tidak membunuh, tetapi ia penyakit degeneratif. Ia menjadi semakin teruk seiring dengan peningkatan usia. Saya pernah berjumpa dengan pesakit yang menghidap artritis dan sudah menjalani dua pembedahan lutut. Kini dia tergolong dalam kelompok OKU. Baru dia pelajari betapa susahnya menjadi OKU di Malaysia.

"Rugi kalau sakit semasa usia sudah meningkat. Waktu itulah kita hendak menikmati kehidupan dengan keluarga. Sekarang pula sudah ada yang hidap artritis pada umur semuda 30 tahun," ujar Sheikh Muszaphar yang menekankan penyakit tulang ini lebih berisiko tinggi di kalangan wanita.

Kalau sendi terasa kaku atau sakit, pesan Sheikh Muszaphar, segeralah berjumpa doktor kerana artritis boleh dirawat. Kalau ditangguh, kos pembedahan untuk penyakit ini boleh mencecah sehingga RM18,000 di pusat rawatan swasta dan RM4,000 di pusat rawatan awam iaitu satu angka yang nyata membebankan.

Bagaimanapun katanya, pencegahan merupakan penyelesaian yang terbaik.

"Bersenam sepatutnya dilakukan setiap hari, bukan sekali seminggu. Ia juga perlu konsisten dan berterusan, selain menjaga pemakanan seperti mengelakkan makanan berminyak, terlalu manis atau bersantan," kata Sheikh Muszaphar yang terkilan dengan jawapan 'tidak cukup masa' daripada kebanyakan orang memandangkan beliau masih berkesempatan untuk melakukannya pada penghujung setiap hari.

"Saya pasti semua orang sibuk dengan kerja dan rumah tangga, tetapi kesihatan sepatutnya menjadi keutamaan," ujarnya yang mengamalkan gaya hidup aktif sejak kecil.

Dididik minum susu dan mengambil lebih banyak protein oleh ibunya, Sheikh Muszaphar pernah menjadi perenang negara di samping bermain pelbagai jenis sukan sewaktu di bangku sekolah dan terlibat dalam bidang peragaan. Bukti paling hebat yang pernah dicapai sehingga kini, tentulah menjadi angkasawan negara yang perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu seoptimumnya.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom