Home » Larian sihat

Larian sihat

Hasrat mereka sekadar mahu menurunkan berat badan namun lama-kelamaan ia membuatkan mereka ketagih - ketagih berlari.

Luqzan Ariff Mustafa Kamal, 26, akui aktiviti larian yang kini menjadi sebahagian rutin sehariannya bermula dengan sasaran untuk menurunkan berat badannya yang ketika itu sekitar 86 kilogram (kg).

Sejak mengambil keputusan untuk rajin berlari mulai 2007, berat badannya sudah menyusut dan kini beratnya antara 78 kg hingga 80 kg. Malah dalam tempoh dua tahun ini juga, dia sudah menyertai kira-kira tujuh pertandingan larian.

“Ia tidaklah begitu mudah kerana pada awalnya, saya memaksa diri kira-kira enam bulan untuk berlari sebelum saya benar-benar menyukai dan menikmati larian. Kini, jika tidak berlari, rasa seperti ada sesuatu yang kurang,” kata jurutera kimia syarikat swasta yang mengakui tidak begitu aktif bersukan sebelum ini.

Ditemui bersama isterinya, Sarah Kamarudin, 26, ketika menyertai kelas larian dikendalikan pelari maraton, Mark Williams, di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Luqzan lazimnya memulakan rutin lariannya selepas jam enam petang dengan larian lebih daripada 12 kilometer (km) setiap minggu.

Taman Tasik Perdana antara lokasi digemarinya bersama isteri untuk berlari apatah lagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga Disember lalu itu kini aktif menyertai pelbagai pertandingan larian diadakan sekitar ibu kota.

“Saya turut berlari di beberapa tempat lain seperti trek di tempat kerja yang biasanya saya manfaatkan selepas waktu pejabat,” kata lulusan Universiti Queensland, Australia ini.

Kini membuat persiapan untuk menyertai pertandingan Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered pada akhir Jun ini, Luqzan mahu menguji diri dalam acara separa maraton iaitu larian sejauh 21 km biarpun setakat ini, jarak larian paling jauh pernah dilakukannya adalah 15 km.

Sarah yang juga jurutera kimia daripada universiti sama, tidak begitu sukar untuk mendekati bidang larian kerana dulu aktif mewakili sekolah dalam acara berkenaan.

“Ketika itu saya lebih tertumpu kepada acara tiga dan lima km tetapi kini saya mahu mencabar diri untuk jarak larian yang lebih jauh,” katanya yang memilih penyertaan acara 10 km dalam pertandingan maraton berkenaan.

Keaktifannya dalam bidang sukan selama ini dan kini turut bermain bola jaring di tempat kerja, difikirkan mungkin tidak menyukarkannya untuk mencuba acara itu.

Wanita bujang berusia lingkungan 30-an ini pula memang gemar makan lantas dia menjadikan larian sebagai rutin wajibnya yang dilakukan tiga kali seminggu. Boey Yin Yin yang berasal dari Kuala Lumpur, sedar aktiviti berkenaan nyata banyak membantu dirinya untuk mengawal berat badan biarpun hanya mula rajin berlari selepas tamat persekolahan.

“Jika tidak kerana berlari, tentu sukar untuk saya mengekalkan berat badan kini pada tahap ideal.

“Sebelum ini, saya juga sering sakit malah setiap bulan selalu ambil cuti sakit kerana demam dan selesema. Namun, aktiviti berlari banyak membantu diri saya untuk meningkatkan tahap kesihatan diri,” kata Pengurus Kanan Komunikasi Korporat di syarikat perhubungan awam ini.

Yin Yin akui tidak aktif dalam bidang sukan sewaktu zaman persekolahannya namun ketika masih menuntut di kolej, ibunya mengajak dia menyertai acara berjalan kaki dan sejak itu, dia membiasakan diri berjalan kaki.

“Dari situ, saya mula berjinak-jinak dengan larian dan menyertai pelbagai pertandingan larian tetapi pada 2002, saya tidak begitu aktif menyertai pertandingan kerana sibuk dengan kerja. Cuma, tahun lalu, saya menyertai pertandingan semula menerusi Larian Oren 2008,” katanya yang juga bakal menyertai Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered menerusi acara 21 km.

Lazimnya, dia berlari sejauh lima km untuk satu-satu sesi larian pada hari biasa manakala larian pada Ahad pula lebih panjang iaitu sejauh 10 km yang disudahkan dalam tempoh satu setengah jam.

“Larian saya memang tidak begitu laju tetapi sudah cukup untuk membuat saya begitu teruja terutama ketika menyertai satu-satu pertandingan,” katanya yang turut mengakui, aktiviti berkenaan memberi ruang untuknya mengeratkan ikatan kekeluargaan bersama ibu dan mendiang ayahnya yang turut gemar berlari.

Nadarajah Sivalingam, 35, menjadikan penyertaannya dalam pertandingan larian sebagai faktor mendorongnya untuk rajin berlari.

“Apabila saya sedar perlu membuat persediaan untuk pertandingan, ia merangsang saya untuk banyak berlari. Biasanya saya berlari tiga kali seminggu pada waktu petang dan jika boleh, saya mahu menghabiskan larian lima km dalam masa 35 minit,” katanya.

Larian, menurutnya, bukan saja membantu dirinya untuk mengurangkan berat badan malah membuatkannya berasa lebih bertenaga.

Oleh Rahayu Mohd Salleh



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom