Home » » Doa qunut hanya sunat

Doa qunut hanya sunat

Saya keliru tentang pelaksanaan bacaan qunut pada solat subuh. Sebabnya di Mekah, imam tidak membaca qunut semasa solat subuh. Jadi, apa hukumnya membaca doa qunut dan bagaimana jika imam tidak membacanya?

JAWAPAN

Perintah solat telah diwajibkan oleh Allah SWT secara umum ke atas seluruh umat Islam melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.

Segala perincian tuntutan kewajipan solat ini telah diwartakan oleh baginda SAW melalui hadis (untaian sabda baginda mencakupi perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda). Perlakuan sifat solat baginda di terjemah dan disampaikan kepada umat Islam melalui lidah-lidah para sahabat r.a dan begitulah seterusnya sehingga era tabien dan sesudah mereka.

Para perawi yang meriwayatkan suatu hadis berkenaan sifat solat baginda juga berbeza dari tingkat periwayatan perawinya dan hadis berkenaan sifat solat baginda turut berbeza dari aspek kehujahannya sama ada sahih, hasan dan daif.

Justeru bukanlah suatu yang mustahil berlaku perbezaan dalam hal yang melibatkan perlakuan dalam ibadah solat. Apa yang paling penting perbezaan yang berlaku masih tidak menafikan rukun-rukun utama dalam solat.

Dalam persoalan seperti yang dikemukakan di atas jika diukur dengan neraca mazhab Syafie sememangnya kita akan melihat perbezaan keempat-empat imam mazhab mempunyai pandangan yang tidak sama dalam persoalan-persoalan fiqh.

Islam adalah agama yang unik dan sesuai dengan fitrah manusia. Tidak ada sebarang percanggahan dalam Islam yang melibatkan persoalan utama (usul). Perbezaan pendapat kalangan mereka adalah dalam permasalahan -permasalahan cabang (furu') dan bukan dalam persoalan persoalan utama (usul).

Hal ini disebabkan perbezaan cara pemahaman sesuatu nas sama ada nas itu di ambil dari al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau pernyataan para sahabat. Maka pandangan yang berbeza ini dinamakan khilaf ulama dalam persoalan-persoalan furu' dalam fiqh. Ia merupakan bukti kehebatan dan kepakaran mereka dalam menghasilkan hukum hakam berkaitan fiqh ibadah.

Wujudnya perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh ini memberikan peluang dan membantu kaum muslimin untuk merealisasikan sabda baginda SAW yang bermaksud, "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat-Ku solat".

Maksud perkataan 'melihat-Ku' dapat diketahui dengan merujuk kepada hadis baginda seperti yang diriwayatkan oleh para sahabat sewaktu mereka hidup bersama baginda dan melalui pendapat dan huraian para ulama mengenainya.

Para sahabat dan ulama terdahulu telah mencapai kematangan dalam memahami Islam, memperkenal dan memperkukuhkan ajaran Islam, sentiasa meningkatkan kefahaman mereka berkenaan persoalan fiqh dan ilmu-ilmu lain dalam Islam. Ia demi kepentingan ummah sehingga berjaya menghasilkan tamadun yang cukup dinamik dan dibanggakan oleh umat islam seluruhnya.

Wajib bagi umat Islam untuk mengambil dan mengikuti dalil-dalil yang sahih dari sifat solat baginda SAW dan tidak fanatik dan obses kepada mazhab tertentu.

Rasulullah SAW juga memberi alternatif kepada umatnya ketika mereka berselisih pendapat dalam permasalahan agama. Sabda baginda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmidzi, (hadis hasan sahih) yang bermaksud:

"Sesungguhnya, sesiapa di antara kamu yang masih hidup akan melihat perselisihan yang banyak, maka menjadi kewajipan kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Raasyidin yang diberi petunjuk, gigit (peganglah) sunnah itu dengan gigi geraham kamu dan jauhilah segala perkara baru (dalam urusan agama) kerana setiap bidaah itu adalah kesesatan".

Persoalan doa qunut subuh adalah satu perkara khilafiah yang telah lama diperbincangkan. Sebagai muslim kita mestilah mengetahui, meraikan dan menghormati mazhab yang dipegang dan diamalkan oleh majoriti umat Islam di suatu tempat atau negara dalam perkara agama seperti yang diputuskan oleh mufti dan majlis agama.

Di negara kita Malaysia yang mengamalkan mazhab Syafie, membaca qunut dalam setiap solat subuh hukumnya sunat. Jika tertinggal maka perlu melakukan sujud sahwi. Namun begitu Imam Syafie tidak menegaskan bahawa apa yang dikatakannya menjadi satu amalan dan tuntutan yang wajib ke atas pengikutnya dan mestilah mengabaikan mazhab-mazhab selainnya.

Suatu ketika sewaktu imam Syafie pergi ke kawasan Imam Hanafi dan menjadi imam, imam Syafie tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa, imam Syafie lantas menjawab beliau menghormati tuan tempat ini (Imam Hanafi).

Imam Syafie turut berkata apabila sahih hadis itu maka ia adalah mazhabku dan sekiranya hadis sahih berlaku khilaf dengan kata-kataku, maka hadis Rasulullah lebih utama dari kata-kataku.

Kesimpulannya persoalan qunut ini merupakan persoalan cabang dan tidak perlu diperbesar dan dimusykilkan. Ia hanya akan mengakibatkan keresahan dan kesukaran kepada saudara Islam yang baru untuk lebih mengenali ajaran Islam sehingga menganggap agama Islam itu sebagai sebuah agama yang menyusahkan.

Pertikaian dalam perkara furu' akan mengakibatkan muncul pengikut yang fanatik mazhab secara membabi buta tanpa menghalusi dan memahami kehendak dan perintah Allah SWT serta baginda SAW.

Jika seorang makmum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka dia hendaklah qunut bersama imam. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah makmum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan makmun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan.

Pergerakan dan perlakuan anggota sewaktu solat juga merupakan perkara cabang dalam permasalahan fiqh. Makmum hendaklah mengikut perlakuan imam yang mengimami suatu solat tanpa berlaku sebarang perbezaan antara mereka.

Dalam hal ini baginda Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Justeru janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca sami' Allahu liman hamidah maka katalah rabbana laka al-hamd. Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (berjemaah). (riwayat al-Bukhari).

Sebagai seorang muslim kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang bermaksud, Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul. (an-Nisa': 59).

Selain itu tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama lain dalam permasalahan ijtihaadiyyah. Kita dilarang menghina atau merendahkan pandangan mana-mana pinak selagi ia masih berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syarak iaitu perkara-perkara cabang atau yang tidak muktamad.

Seorang muslim perlu menghormati pandangan ulama yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah cabang dan mengambil pandangan yang kuat dan menjauhi sifat taksub (fanatik).

Setiap manusia kadangkala boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad, kerana hanya baginda yang maksum dan terhindar dari kesilapan.

Sebagai penutup memetik ungkapan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwatul Islamiah berkata, "Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jemaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin.

"Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setaraf dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan.

" Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah".



2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

okey

Tanpa Nama berkata...

okey

Catat Ulasan

 
Chatroom