Home » » Pertandingan Cerita Lawak Gua

Pertandingan Cerita Lawak Gua

Rancangan terbaru terbitan gua.com.my iaitu Pertandingan Cerita Lawak Gua akan diadili oleh Din Beramboi dan Harith Iskander.

Pertandingan berbentuk video lucu lakonan dan rakaman hasil kiriman orang ramai itu merupakan salah satu lagi rancangan yang dijangka mampu menarik perhatian peminat untuk terus melayari laman portal tersebut.


Selain memberi tarikan serta bahan melalui laman portal itu, pertandingan itu juga menawarkan peluang untuk pengunjung mengasah bakat dan berpeluang memenangi hadiah utama berjumlah RM2,000.

Pada masa sama, pertandingan yang menyediakan tiga hadiah utama setiap bulan menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dijangka mampu melahirkan pelawak baru di negara ini.

Sementara itu, Harith Iskander menyifatkan Pertandingan Cerita Lawak Gua menjadi medan terbaik bukan sahaja kepada para pembikin filem tetapi juga pelawak untuk mengetengahkan lawak jenaka mereka untuk dinilai oleh khalayak.

"Ini boleh juga dianggap sebagai pertandingan berlawak tetapi penyertaan bahan-bahan lawak dihantar oleh para pesertanya. Saya harap usaha untuk mencungkil bakat pelawak baru ini akan mendapat sambutan ramai," katanya.

Bagi Din Beramboi pula, Pertandingan Cerita Lawak Gua mudah untuk disertai sama ada oleh pelawak amatur atau profesional kerana durasi syarat bahan penyertaan tidak melebihi lima minit.

Tambah Din, pertandingan itu sangat unik kerana skop lawak yang dibenarkan sangat luas asalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan politik selain meliputi hiburan untuk seisi keluarga.

"Syarat penyertaannya mudah, masa untuk menghasilkan video lucu juga mengikut kemampuan serta kreativiti setiap peserta," kata Din lagi.

Din dan Harith akan menonton kesemua video yang dipertandingkan dan memilih video yang paling kelakar serta mudah untuk membuatkan orang ketawa.

Pertandingan Cerita Lawak Gua akan berlangsung dari Mac hingga Mei. Tiga pemenang utama setiap bulan yang dipilih melalui undian SMS para penonton dan pelayar laman sesawang gua.com.my atau secara online akan diumumkan pada Mei.

Setiap bulan tiga pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM500, RM300 dan RM200 mengikut kedudukan tempat pertama hingga ketiga, sementara hadiah utama pula ditentukan oleh Din Beramboi dan Harith Iskander.

Bagi yang berminat sila hantarkan video lawak jenaka anda dengan melayari laman sesawang www.gua.com.my dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Mei ini.



 
Chatroom