Jika dihitung, kini cuma tinggal empat tahun lagi sebelum Johnny Depp menutup buku lakonannya. Agak sukar diterima akal John Christopher 'Johnny' Depp II akan berhenti mengemudi watak pada usia 50 tahun seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.
"Sampai usia 50 tahun, saya akan bersara kerana rupa saya akan tua," katanya yang sudah berumur 46 tahun.
Dia kini menghantui minda peminat dengan menjiwai watak Mad Hatter untuk filem yang ditunggu-tunggu, Alice In Wonderland arahan teman baiknya, Tim Burton.
Belum ditayangkan, dia sudah mengisi watak Frank Taylor bagi filem The Tourist bersama si jelita Angelina Jolie.
Bersiap sedia untuk meneruskan legasi Jack Sparrow dalam Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides dan khabarnya dilamar untuk filem Sin City 3 untuk watak Wallace.
Johnny seakan-akan sedang bermain dengan karakter dan bakal meninggalkan kita dengan legenda besar dalam sejarah seninya.
Lakonan sendiri
Anak seorang jurutera ini membawa dirinya secara semula jadi, tidak berlebihan dan pesona uniknya bukan sekadar membawa karakter sebegitu di layar kaca.
Impian awalnya adalah untuk menjadi bintang rock, hampir sama sahaja dengan antusias anak-anak muda yang mahukan glamor, digilai wanita dan dilimpahi wang.
Johnny berhenti sekolah pada usia 15 tahun untuk menjadi gitaris grup The Kids.
Namun benang takdir hidupnya disulam menjadikan dia raja layar perak yang tidak dapat disamakan dengan individu lain.
Johnny sempat berjenaka sambil ketawa kecil dalam program David Letterman bahawa dia lebih gemar berada dalam produksi filem dan merealisasikan watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Turn up the style with Dell â„¢Inspironâ„¢ 580 desktop!
Katanya, dia tidak menonton hasil akhir kerjanya dan meletakkan tugas itu kepada penonton.
"Anak-anak saya menonton filem saya lebih daripada saya sendiri," ketawa dia mengingatkan ratu dan raja hatinya.
Gigi Vanessa
Malah untuk merealisasikan watak Willy Wonka untuk filem Charlie and the Chocolate Factory, anak-anak adalah penanda aras dan juri untuk latihannya sebelum menghadap kamera.
Suri hatinya, Vanessa Paradis pula menjadi cermin bagi hidup Johnny.
Begitu wanita berdarah Perancis ini sangat dicemburui oleh kaum Hawa di luar sana.
Ujar tulus si suri, dia terasa Johnny seakan meniru karakter dan gayanya untuk membawakan watak Mad Hatter.
"Orang Perancis memanggil jarak gigi di tengah itu sebagai 'les dents de bonheur' yang membawa maksud gigi yang membawa kebahagiaan.
"Saya sudah terlalu biasa dengan gigi Vanessa dan saya rasakan ia sangat manis dan segalanya buat saya," ulas lelaki yang lahir tanggal 6 September ini sekali gus membuat hati para wanita terbakar cemburu melihatkan limpahan cinta yang diberikan kepada model jelita tersebut.
Jujurnya tidak dibuat-buat kerana jejaka kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat ini bukan penggila glamor seperti kebanyakan selebriti yang tidak kisah dikelilingi paparazi dan menjual cerita murahan.
Ironinya, dia ialah selebriti yang paling murah dengan senyuman dan mudah memberikan tandatangan untuk peminat setianya.
Transformasi seorang Johnny Depp berjalan lancar mengikut aras pengalaman dan usianya. Dahulu dia dilihat punya aura bad boy semasa muncul dalam filem dan televisyen.
Masih membawa aura tersebut, tinggal lagi figura kebapaannya terserlah setelah Lili Rose Melody, 10, dan Jack, 7, lahir dan membesar di Perancis.
Eksentrik
CURAHAN unik dan kejujuran lakonannya membuatkan Johnny Depp tampil sebagai epitome yang melekap dalam minda dan jiwa peminat setianya.
"Duit tidak dapat membeli kebahagiaan.
"Tetapi dengan duit, anda dapat membeli sebuah bahtera menuju arah itu," ujar Johnny membawa sikap realistik terhadap kehendak wang dalam kehidupan kini.
Diiktiraf sebagai pelakon termahal abad ini dengan bayaran AS$38 juta (RM129 juta) untuk sebuah filem, mana mungkin seorang pelakon eksentrik seperti ini tidak menggunakannya bagi tujuan keselesaan dan kesempurnaan hidup.
Sudahnya, dia memiliki tanah seluas 16 hektar di selatan Perancis dan sebuah pulau di Bahamas yang dinamakan Little Hall's Bond Cay sebagai aset masa depan bersama anak-anak dan wanita pujaannya, Vanessa.
"Ada masanya saya tidak berbuat apa-apa dan tinggal di situ selama tiga bulan.
"Saya bangun tidur kemudian terus keluar memeriksa taman dan melihat tanaman saya membesar.
"Tidak ada percakapan tentang filem atau kerja. Malah tidak ada bunyi dering telefon. Itu adalah keindahan," ujarnya yang sudah puas bergelumang dengan cahaya glamor.
Apa pun, tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk khalayak menatap Johnny Depp dalam roh karakter yang berlainan.
Pejam celik kita bakal merindui insan yang menganggap dirinya normal tetapi sempurna di mata umum. Hakikatnya, dunia belum puas untuk dia 'pergi'.