Home » » Gaya rambut 2010

Gaya rambut 2010

Gaya minimalis yang mengutamakan kesederhanaan menjadi trend rambut tahun 2010. Walaupun sederhana namun kesan segar dan bergaya tetap diterapkan dan menjadi panduan untuk disesuaikan dalam kegiatan sehari-hari.

Sebenarnya untuk menjadi seorang wanita yang cantik, seseorang itu tidak perlu menerapkan gaya yang berlebihan.

Kini fesyen rambut pendek kembali menjadi pilihan wanita. Bukan kerana wanita ingin nampak seperti lelaki tetapi dengan berambut pendek mereka nampak lebih comel, manis dan mudah diurus.

Pemilik E-Go Salon dan pendandan rambut, Noraini Wahib, menampilkan empat gaya rambut pendek yang boleh diikuti oleh wanita yang masih tercari-cari gaya rambut pendek diidamkan dan sesuai dengan penampilan mereka.

Rambut bob


Gaya rambut pendek bob telah dipopularkan oleh salah seorang anggota Spice Girls yang juga isteri kepada pemain bola sepak Manchester United, David Beckham, iaitu Victoria Beckham atau Posh Beckham.

Pun begitu, nama sebenar gaya rambut ini yang lebih sesuai ialah corn cave. Potongan rambut di bahagian belakang lebih pendek sementara sisi tepi di kiri kanan adalah panjang.

Gaya rambut seperti ini telah wujud dan menjadi ikutan remaja dan wanita muda sejak tahun 70-an dan menjadi popular semula pada penghujung tahun 90-an sehingga kini.



Rambut Beatles

Pada era 60-an, di mana kumpulan The Beatles menjadi kegilaan di seluruh dunia, gaya pakaian dan rambut mereka turut menjadi ikutan.

Jika masih ingat, gaya rambut yang ditiru daripada anggota kumpulan The Beatles ini menampilkan stail rambut pendek yang disikat ke depan dan nampak kemas.

Gaya rambut pendek sebegini lebih sesuai untuk remaja dan golongan muda kerana lebih mudah dijaga. Jika tidak disikat selepas dibasuh pun rambut masih nampak kemas dan tidak kusut.

Jika hendak ke majlis pula, sarungkan cekak berhias kristal berkilauan di tengah-tengah kepala dan sikat rambut menghala ke depan.


Rambut Lady D

Tahun 1980 an menyaksikan baik lelaki atau perempuan menggilai gaya rambut mendiang Puteri Diana (Lady D).

Potongan rambut pendek yang ringkas dan lurus bukannya bertingkat-tingkat membuatkan si pemilik rambut ini tampil kemas dan manis. Bagaimanapun bagi mengekalkan gaya kemas, ia perlu diblow. Pun demikian, jika tidak diblow pun ia masih nampak cantik.

Gaya rambut Lady D ini kini menjadi ikutan semula.

Rambut rock

Siapa yang tidak kenal dengan gaya rambut rock. Budak kecil pun tahu dan dapat mengenal rockers.

Gaya rambut rock yang nampak kusut dan tercacak ini boleh menjadi pilihan remaja atau golongan muda untuk ke parti atau ke disko.

Bagi mendapatkan gaya rambut seperti ini, perlu menggunakan banyak penyembur rambut agar rambut keras dan mudah dibentuk.

Ia sering boleh digayakan bagi mereka yang sukakan gaya rambut yang ranggi dan ingin nampak gila-gila sekali-sekala.

Oleh MERAN ABU BAKAR



 
Chatroom