Saat ini sudah ada kalangan artis yang melahirkan rasa kurang senang apabila pihak Berita Harian mengadakan analisis setiap minggu mengenai undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009). Ada yang mendakwa adakah ini semua muslihat BH untuk menaikkan undian sesetengah artis atau cara penganjur untuk memikat pembaca dan peminat menghantar undi.
Ada juga yang mendakwa, analisis yang disiarkan setiap Rabu itu sekadar ‘propa’ dan tidak tepat sedangkan undian sebenarnya masih rahsia. Untuk rekod, biarlah dicatatkan bahawa apa yang dipaparkan inilah adalah sekadar analisis berdasarkan pola pengundian yang diterima dan tidak ada elemen ‘propa’ atau sengaja menukar undian sebenar.
Paling tidak pun, analisis ini dapat menjadi garis panduan kepada peminat untuk terus mengundi artis kesayangan mereka. Bukan apa, acap kali peminat bagaikan ‘lalai’ untuk mengundi kerana beranggapan artis favourite berada dalam zon selesa sehinggalah apabila diumumkan pada malam kemuncak, mereka baru perasan bahawa calon mereka tercicir.
Baiklah, minggu ini analisis yang mahu dipaparkan adalah mengenai siapakah artis Top 10 calon Bintang Paling Popular. Mengikut undian yang diterima setakat 1 Mac 2010, mereka yang menduduki senarai ini adalah Aizat, Siti Nurhaliza, Nabil, Black, Aznil Nawawi, Faizal Tahir, Remy Ishak, Fara Fauzana, Tiz Zaqyah dan Mawi. Saingan paling sengit adalah antara Aizat, Faizal Tahir, Siti Nurhaliza dan Remy Ishak.
Artis yang berpotensi untuk menduduki senarai ini berdasarkan undian semasa adalah Stacy, Akim, Yuna, Liyana Jasmay dan Noorkhiriah.
Bagaimanapun, senarai ini boleh berubah bila-bila masa kerana semuanya bergantung kepada undi pembaca dan peminat. Ingatlah, dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian semuanya boleh berlaku kerana undian 100 peratus adalah di tangan mereka dan kuasa penentu bukanlah di tangan penganjur. Jadi gunakanlah, kuasa itu sebaik-baiknya. Jika anda rasa sudah ‘muak’ dengan senarai pemenang sebelum ini, maka gunakanlah hak anda itu untuk mengubahnya.
Acap kali selesai saja pengumuman pemenang, soalan yang sering dilontarkan kepada penganjur adalah mengapakah senarai pemenang tidak banyak berubah. Sukar untuk menjawab soalan ini kerana, penentu siapa paling popular dalam setiap kategori dan juga Bintang Paling Popular adalah hak pembaca.
Meneliti undian setiap kategori pula, bagi Penyanyi Lelaki Popular, minggu ini saingan adalah di antara Faizal Tahir dan Aizat berbanding minggu sebelumnya di mana penyanyi yang lahir daripada program realiti iaitu Akim, Adam dan Mawi menguasainya. Dalam kategori Penyanyi Wanita Popular pula, ia tetap milik Siti Nurhaliza seperti minggu-minggu sebelumnya. Untuk penyanyi duo/kumpulan pula, minggu ini saingan begitu sengit untuk Bunkface dan Meet Uncle Hussain (MUH). Beberapa minggu sebelum ini, Bunkface mendapat tentangan hebat daripada peminat Adam & Stacy.
Jika beberapa minggu sebelum ini, kategori Pelakon Filem Lelaki Popular bagaikan milik Aaron Aziz tetapi minggu ini, peminat Afdlin Shauki bagaikan bangkit daripada lena yang panjang dan mengetepikan aktor kacak itu. Tetapi peminat Que Haidar bagaikan tidak duduk diam dan terus mengundi untuk menyatakan sokongan kepada aktor yang baru saja bergelar bapa ini.
Seperti yang dikatakan minggu lalu, undian terhadap Liyana Jasmay semakin konsisten. Pelakon filem Niyang Rapik yang sedang ligat berputar di pawagam ini, terus mendapat kepercayaan peminat untuk menggenggam trofi itu. Namun, jangan sesekali menidakkan calon lain yang tidak kurang hebatnya terutama Maya Karin yang sedang berdepan dengan soal hati.
Untuk kategori Pelakon Drama Lelaki Popular pula, minggu ini menyaksikan kembali saingan Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Undi untuk Fahrin Ahmad tidak ada peningkatan berbanding ketika dilanda kontroversi dengan Linda Onn. Manakala bagi kategori wanita, undian untuk Scha Alyahya terus konsisten dan jika berterusan sehingga undian tamat pada 19 Mac ini, trofi mungkin menjadi milik pelakon berbakat ini.
Dalam kategori Penyampai TV Lelaki Popular, Ally Iskandar yang mula sibuk dengan Top Host 2010 yang akan bersiaran mulai malam ini, semakin menunjukkan peningkatan. Malah dia semakin menjadi saingan kepada Aznil Nawawi yang beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan tiada tandingannya. Sesuatu yang menarik minggu ini, undian terhadap Cheryl Samad semakin meningkat dan boleh menggugat Sarimah Ibrahim yang sibuk dengan Biggest Looser Asia iaitu sebuah program realiti mengenai peserta gemuk yang mahu menurunkan berat badan.
INFO: Berikut adalah analisis undian terkini beberapa kategori lain:
# Penyampai Radio Lelaki Popular - saingan di antara Faizal Ismail dan Aznil Nawawi.
# Penyampai Radio Wanita Popular - saingan di antara Fara Fauzana dan Linda Onn.
# Artis Komedi Lelaki Popular - saingan di antara Nabil dan Saiful Apek.
# Artis Komedi Wanita Popular - saingan di antara Noorkhiriah dan Kenchana Dewi
# Artis Baru Lelaki Popular - saingan di antara Black dan Akim. Minggu lalu saingan sengit di antara Hafiz dan Black.
# Artis Baru Wanita Popular - saingan di antara Tiz Zaqyah dan Yuna.