Home » » Amalan puasa pembuka pintu syurga

Amalan puasa pembuka pintu syurga

Puasa bukanlah suatu amalan yang baru, sebaliknya ibadat dilakukan generasi soleh sejak dahulu lagi.

Hakikat ini dapat kita hayati dalam beberapa nas, antaranya dalam ayat 183 daripada surah al-Baqarah, bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."

Ibadat puasa kita hanyalah untuk Allah. Kita berpuasa kerana mentaati perintah-Nya dengan penuh keimanan.

Sebagai balasannya kita akan diberikan ganjaran yang besar, antaranya:


* Dimasukkan ke syurga dan dijauhkan daripada neraka Daripada Sahl bin Saad RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang disebut ar-Rayyan, pintu masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat.

Tidak seorang pun daripada yang lain memasukinya. Dikatakan kelak: Di manakah orang yang berpuasa? Maka berdirilah mereka, namun tidak seorang pun selain mereka yang masuk. Apabila mereka masuk, pintu itu pun dikunci sehingga tidak seorang pun yang memasukinya lagi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang hamba yang berpuasa di jalan Allah, melainkan Allah menjauhkan mukanya dari neraka sejauh 70 tahun." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibadat puasa memang memiliki pelbagai kelebihan yang tidak didapati pada ibadat lain. Allah menjadikan puasa sebagai benteng kukuh bagi wali-Nya, juga sebagai anak kunci yang dengannya dibuka pintu syurga, sebagaimana diterangkan dalam kitab Nashaihul Ibad.

* Mendapat seperempat iman

Dalam kitab berkenaan juga diterangkan hal ini. Ia disimpulkan daripada sabda Nabi SAW, mafhumnya: "Puasa adalah separuh daripada sabar." (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Baginda SAW pernah juga bersabda: "Sabar adalah separuh daripada iman."

Dengan demikian seandainya diamati dan dikira, ibadat puasa adalah seperempat daripada iman.

* Pahala langsung daripada Allah

Disebut dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: "Setiap perbuatan kebaikan memperoleh pahala 10 kali ganda sampai 700 kali kecuali puasa. Ia adalah milik-Ku dan Akulah yang menentukan besar pahalanya."

Firman-Nya dalam surah az-Zumar iaitu pada ayat 10 bermaksud: "...sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."

* Bau mulut lebih harum daripada kasturi.

Sabda Nabi SAW, mafhumnya: "Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya bau mulut seseorang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah daripada harumnya misk (kasturi)." (Hadis muttafaq alaih)

* Mendapat dua kegembiraan

Sabda Nabi SAW, mafhumnya: "Seorang yang berpuasa akan merasai dua kegembiraan. Sekali pada saat berbuka dan sekali lagi ketika melihat Tuhannya kelak." (Hadis ini disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim)

* Pintu ibadat

Puasa adalah pintu seluruh ibadat. Hal ini seperti disampaikan Rasulullah SAW, mafhumnya: "Segala sesuatu mempunyai pintu dan pintu ibadat adalah puasa." (Dipetik daripada Nashaihul Ibad)

* Tidur orang berpuasa sebagai ibadat

Hukum asal tidur adalah harus. Namun, jika seorang tidur dengan disertai niat berehat agar hilang segala keletihan sehingga kekuatan pulih kembali dan dapat menjalankan ketaatan dengan selesa, tidurnya dikira ibadat yakni mendapat pahala.

Demikian pula seorang yang tidur dalam keadaan dirinya berpuasa, tidurnya disifatkan ibadat juga. Ini kelebihan ibadat puasa itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: "Tidurnya orang yang sedang berpuasa adalah ibadat."

* Doa orang berpuasa tidak ditolak

Daripada Abu Hurairah, dia berkata sabda Rasulullah SAW: "Ada tiga orang yang tidak akan ditolak doanya; imam (pemimpin) yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang teraniaya.

Allah akan mengangkatnya di bawah naungan awan pada hari kiamat, pintu langit akan dibukakan untuknya, lalu berfirman (maksudnya): Demi keagungan-Ku, sungguh Aku akan menolongmu walaupun selepas beberapa ketika.'" (Riwayat Ibnu Majah)

Ternyata puasa mengandungi keistimewaan yang begitu banyak, sama ada kita sedar ataupun tidak.

Perkara lebih penting ialah puasa kita diterima dan diredai-Nya.

Oleh itu, beribadatlah dengan penuh rasa keimanan dan jangan culas melazimi pengisiannya hingga ke penghujung Ramadan.

Oleh Idris Musa
Penulis Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro




 
Chatroom