Home » » ‘Selebriti gemuk’ yang dilupakan

‘Selebriti gemuk’ yang dilupakan

Empat tahun berlalu namun tidak banyak perubahan berlaku ke atas Mohd. Said Ibrahim yang pernah menjadi ‘selebriti’ kerana masalah berat badan melampau.

Simpati masyarakat kepada remaja gemuk berusia 19 tahun ketika itu dengan berat badan 250 kilogram dan ukuran pinggang 1.5 meter yang beria-ia mahu menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) datang mencurah-curah.

Tetapi simpati tinggal simpati. Dalam beberapa tahun ini tiada siapa yang menghubungi Mohd. Said untuk mengambil tahu perkembangan dirinya atau membantunya.

Yang jelas ternampak, dia masih berupaya mengekalkan berat badan 148 kilogram hasil program khas Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika itu.

Lelaki berusia 23 tahun ini belum mempunyai pekerjaan tetap. Malah kasut khas bersaiz 14 tidak lagi diterimanya sebagaimana dijanjikan.

Menurut Mohd. Said yang ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini, dia hanya menerima tiga pasang kasut sahaja yang kini semuanya sudah pecah dan tidak boleh dipakai lagi.

Dia yang lebih mesra dipanggil Id kini lebih selesa berkongsi selipar dengan bapanya. Impiannya untuk mengikuti kursus membaiki kereta juga belum kesampaian.

“Begitulah kehidupan saya. Kalau ada orang mahu khidmat memasang khemah untuk majlis perkahwinan, adalah duit untuk saya.

“Jika tidak, saya akan membantu mak dan ayah berniaga di pasar malam. Selebihnya, duduk di rumah sehingga kadang-kadang rasa bosan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Korok, Lahar Yooi dekat sini.

Mengenai masalah kegemukan yang dihadapinya, Mohd. Said yang mengaku belum mempunyai teman wanita berkata, dia sentiasa berusaha menurunkan berat badannya yang kini 148 kilogram dengan ukuran pinggang 1.2 meter.

“Terus terang saya katakan bahawa saya tidak menimbang berat badan tetapi rasanya macam sama sahaja iaitu kira-kira 148 kilogram,” ujarnya.

Oleh HASNURUL MOHAMED



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Mohd Said sudah meninggal petang tadi...Al-fatihah buat arwah...

Catat Ulasan

 
Chatroom