Home » » Pilih makanan sihat ketika BERAYA / Hari Raya

Pilih makanan sihat ketika BERAYA / Hari Raya

Pilih makanan sihat ketika BERAYA / Hari Raya

Antara juadah popular ketika musim raya tentulah pelbagai kuih raya dan kek yang disediakan untuk tetamu yang berkunjung.

Antara bahan digunakan dalam pelbagai kuih raya dan kek adalah mentega atau majerin. Dari sudut kesihatan, yang manakah lebih baik untuk kesihatan kita?

Ramai tidak menyedari perbezaan antara kedua-duanya kerana rupanya sama. Majerin diproses dan dihasilkan daripada minyak masak seperti minyak kelapa sawit, minyak kacang soya, minyak bunga matahari, minyak safflower dan sebagainya.

Ia menjadi keras dan pejal apabila diproses melalui kaedah 'hidrogenasi' untuk menjadikannya seperti majerin yang kita kenal. Proses hidrogenasi menjadikan lemak dalam majerin bertukar kepada jenis 'asid lemak trans'.

Majerin boleh dianggap sebagai 'makanan proses' kerana ia tidak wujud secara asli. Kajian menunjukkan asid lemak trans adalah berisiko tinggi untuk kesihatan.

Bukan hanya majerin tetapi makanan seperti makanan segera, mi segera, donut, biskut, makanan bergoreng dan makanan proses mengandungi kandungan asid lemak trans yang tinggi.

Ada juga jenis majerin dilabel sebagai 'bebas asid lemak trans' (trans fat free) di pasaran sekarang kerana ia mengandungi asid lemak trans kurang daripada 0.5 gram setiap hidangan.

Kajian dilaporkan dalam New England Medical Journal pada 1990 menunjukkan, pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL.

Berdasarkan satu lagi laporan dalam jurnal perubatan sama pada 1997, pengambilan asid lemak trans meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.

Kajian juga menunjukkan asid lemak trans menyebabkan masalah 'keradangan mikro' dalam saluran darah yang menjadikan punca terbentuknya plak kolesterol dalam dinding saluran darah yang akan menyebabkan saluran darah tersumbat, terutama saluran darah koronari di jantung.

Ada juga kajian menunjukkan pengambilan asid lemak trans berkaitan dengan pelbagai penyakit lain seperti kanser, penyakit Alzheimer, kegemukan, diabetes, kerosakan hati, masalah kesuburan dalam kalangan wanita, masalah kelakuan cepat marah dan agresif serta masalah kemurungan.

Kajian ini dilaporkan dalam pelbagai jurnal perubatan di seluruh dunia. Oleh itu, pada 2002, National Academy of Sciences dalam laporan bertajuk "Dietary Reference Intake for Energy, Carbohydrate, Fibre, Fat, Fatty Acids, Cholesterol, Protein and Amino Acids" memberi saranan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada untuk mewajibkan polisi pelabelan makanan dan produk dengan label asid lemak trans atau 'hydrogenated vegetable oils'.

Malaysia juga mempunyai undang-undang sama di bawah Kementerian Kesihatan. Oleh itu penting bagi kita untuk membaca label ditulis pada makanan dibeli untuk mengurangkan atau mengelak mengambil asid lemak trans.

Mentega pula dihasilkan daripada lemak susu dari jenis 'lemak tepu'. Sekarang ada juga mentega dihasilkan dari susu lembu yang diberi hanya makan rumput secara 'ternakan organik' dan mentega jenis ini mengandungi kandungan vitamin K, butyrate, CLA dan Omega-3 yang tinggi. Ia pilihan lebih baik untuk kesihatan tetapi harganya lebih tinggi.

Ahli sains dan pakar pemakanan sebelum ini berpendapat, 'lemak tepu' menjadi punca kepada masalah kolesterol tinggi dan sakit jantung. Sekarang, ada pelbagai kajian yang menunjukkan fakta sebaliknya.

Kajian dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada 2010 yang membuat analisis 21 kajian 'prospective cohort' yang membabitkan 347,747 peserta kajian.

Rumusan dari mata analisis ini, didapati tiada kaitan antara pengambilan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan kolesterol tinggi.

Kajian lain dilaporkan dalam Journal of Clinical Epidemiology pada 1998 bertajuk "The Questionable Role of Saturated and Polyunsaturated Fatty Acids in Cardiovascular Disease" juga merumuskan, tepu tidak menyebabkan masalah kolesterol tinggi dan meningkatkan risiko sakit jantung.

Banyak lagi kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan merubah pendapat ahli perubatan mengenai punca sebenar masalah penyakit jantung dan kaitannya dengan pemakanan lemak tepu.

Oleh kerana itu, ramai pakar pemakanan mula menyatakan, mentega lebih baik daripada majerin walaupun mentega mempunyai kandungan lemak tepu. Tiada kajian menunjukkan asid lemak trans mempunyai apa-apa faedah kesihatan sehingga kini.

Bagaimanapun, kita patut berpada-pada dalam pengambilan makanan berlemak tepu dan tidak melampau. Kita patut meninggalkan pengambilan makanan yang mempunyai asid lemak trans dan memilih alternatif lebih sihat.

Dalam konteks kek dan kuih raya, berdasarkan rumusan kajian terkini, penggunaan mentega adalah lebih sihat kepada kesihatan.

Wallahualam.

Oleh Dr Norman Mohd Norawi

FAKTA

Kajian dilaporkan dalam New England Medical Journal pada 1990 menunjukkan, pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL.



 
Chatroom