Home » » Buah-buahan wajib diambil setiap hari

Buah-buahan wajib diambil setiap hari

Buah-buahan wajib diambil setiap hari  

Tidak sukar memulakan tabiat pengambilan makanan seimbang, tapi tidak mudah pula untuk mengekalkannya.

Bagi sesetengah individu, sasaran kekal langsing menjadi tanda arasnya meskipun majoriti yang kecundang di tengah jalan akibat diet yang terlalu ekstrem.

Ambillah apa jua makanan segar dan supplemen, tapi tiada kesan menyeluruh jika tidak disertai perubahan gaya hidup sihat.

Berdasarkan piramid makanan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, sayuran dan buah-buahan diletakkan di aras kedua paling utama iaitu disyorkan pengambilannya pada kadar berlebihan sekurang-kurangnya tiga sajian sehari.

Kita sedia maklum dua jenis makanan ini adalah sumber terbaik untuk pengambilan serat, vitamin, mineral dan fitokimia yang membantu menguatkan ketahanan terhadap penyakit (imuniti).

Menikmati banyak buah-buahan dan sayuran setiap hari juga memberi manfaat kepada kesihatan keseluruhannya terutama dalam mencegah penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan beberapa jenis kanser.

Berbanding sayuran, kita cenderung mengambil buah-buahan dalam bentuk jus kerana disifatkan lebih mudah.

Bagaimanapun, jus buah tidak boleh menggantikan lebih daripada satu sajian buah-buahan, malah kadangkala kebanyakan vitamin pada buah-buahan terbabit hilang ketika proses pemerahan jus.

Seperti apa yang diamalkan masyarakat Korea Selatan, menikmati buah-buahan dalam bentuk sedia ada menjadi perkara wajib dalam hidangan mereka setiap hari.

Jelas Presiden Morning Farm Co Ltd, IB Lee yang mana syarikat terbabit salah satu pengeksport terbesar produk agro di Korea Selatan, setiap keluarga di negara Hallyu itu menyifatkan makanan ibarat ubat dan mereka percaya apa yang dimakan.

"Kami percaya makanan penting kepada kestabilan fizikal dan emosi. Selain itu, kami percaya kepada konsep harmoni iaitu kepelbagaian ramuan apabila digabungkan perlulah seimbang dari aspek yin dan yang.

"Justeru, buah-buahan mesti ada dalam setiap hidangan kami tidak kiralah dimakan begitu saja atau dicampurkan dalam hidangan terutama buah pir," katanya.

Lee yang memperkenalkan produk buah-buahan dari bandar Jinju di wilayah selatan Gyeongsang, tidak ketinggalan menekankan pengambilan strawberi Maehyang yang menjadi pilihan penduduk di negara itu.

Selain strawberi, Jinju turut popular dengan penghasilan pisang kaki Fuyu, pir Shingo, tembikai wangi (muskmelon) dan cendawan Eryngii yang kini boleh didapati di pasaraya Giant seluruh negara.

Bagi kalangan pelancong, Jinju diiktiraf sebagai bandar budaya dan sejarah di Korea Selatan-seakan-akan sama tarafnya dengan negeri Melaka bagi kalangan penduduk tempatan. Ia juga dikenali dengan pemandangan indah dan hab kehidupan tradisional Korea.

Menurut Datuk Bandarnya, Lee Chang-Hee, usaha pertama bandar itu untuk mengeksport hasil tani ke Malaysia hadir tepat pada masanya.

"Dengan keharmonian Sungai Namgang yang mengalir melalui tanah terlindung oleh gunung dan angin laut dari persisiran pantai berhampiran, bandar Jinju berupaya menghasilkan antara produk buah-buahah terbaik di rantau ini.

"Ditambah dengan teknologi terkini dan aspek lestari serta kaedah mesra alam digunakan pada setiap produk, kami mahu buah-buahan dari Jinju ini dinikmati di seluruh dunia.

"Lagipun, buah-buahan di kawasan ini pernah menjadi pembekal utama kepada hidangan diraja lebih 500 tahun lalu," katanya.

Menariknya, buah-buahan dari Jinju khususnya strawberi Maehyang tidak terlalu manis rasanya berbanding strawberi jenis lain. ~ Metro








 
Chatroom