Home » » » Tahap kecerdasan IQ dan prestasi kognitif kanak-kanak dipengaruhi status pemakanan (Kajian)

Tahap kecerdasan IQ dan prestasi kognitif kanak-kanak dipengaruhi status pemakanan (Kajian)

Salah satu penemuan penting daripada kumpulan Penyelidikan Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts) yang menjalankan kajian kesihatan dan pemakanan kanak-kanak di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia menunjukkan tahap kecerdasan IQ dan prestasi kognitif kanak-kanak dipengaruhi status pemakanan mereka.

Di Malaysia, hasil kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidak cukup nutrisi akan berhadapan dengan masalah kekurangan berat badan, tubuh kurus dan ketinggian terbantut manakala mereka berlebihan nutrisi pula akan ada masalah sebaliknya seperti obesiti dan mempunyai kebarangkalian lebih tinggi berada pada tahap IQ yang rendah.

Hasil kajian pakar dalam bidang psikologi, pemakanan dan pediatrik mencetuskan kebimbangan mengenai tahap pengetahuan ibu bapa dalam menyediakan makanan berkhasiat untuk anak mereka.

Mereka menasihati ibu bapa di Malaysia supaya menyediakan pemakanan seimbang sesuai keperluan peringkat tumbesaran kognitif anak bukan saja untuk fizikal tetapi mental yang sihat.

Turut menyokong pandangan ini ialah Profesor Madya di Jabatan Psikologi Universiti Sunway, Dr Ng Lai Oon, Ketua Program Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Poh Bee Koon dan Penasihat Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil.

Satu perkongsian
Mereka bertiga bakal bergabung idea sebagai penceramah bengkel Tahap Kebijaksanaan-Kebaikan Nutrisi untuk Perkembangan Bijak Si Manja yang akan diadakan pada Januari 2015 nanti.

Menurut Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anja Henze, bengkel ini diadakan sebagai satu perkongsian ibu bapa mengenai perkembangan fizikal dan mental anak, perkembangan dan pencapaian mereka serta menyediakan nutrisi sesuai bagi setiap peringkat tumbesaran.

Prof Poh, selaku Penyelidik Utama Seanuts Malaysia merumuskan pemakanan adalah faktor penting yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan berterusan mengikut peringkat umur kanak-kanak.

Kekurangan makanan sihat boleh mengakibatkan pertumbuhan fizikal terbantut, perkembangan otak perlahan serta mengurangkan sistem imunisasi badan. Ini disahkan menerusi kajian prestasi kognitif Seanuts yang menunjukkan kesan pemakanan terhadap pembangunan mental dan kepintaran kanak-kanak.

Proses maklumat

Dr Ng turut memberikan pandangan yang sama mengenai pembangunan mental kanak-kanak. Pembangunan kognitif merujuk kepada bagaimana kanak-kanak mengumpul, mengasingkan dan memproses maklumat di sekeliling mereka serta menggunakan maklumat itu untuk melihat, memahami serta belajar mengenai dunia. Dalam erti kata lain, kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran ketika mental mereka berkembang.

"Untuk mengenalpasti sama ada kanak-kanak membesar secara normal atau sebaliknya, ibu bapa dan penjaga perlu melihat kepada pencapaian perkembangan atau keupayaan yang dicapai pada peringkat umur berbeza.

"Tidak seperti pencapaian fizikal, sebagai contoh kali pertama kanak-kanak mula berjalan, berlari atau melompat yang boleh dilihat dengan jelas, pencapaian kognitif atau kemajuan mental ini tidak ketara.

"Keupayaan untuk menemukan barang permainan yang dilitupi kain dan memadankan bentuk serta warna, mungkin adalah langkah fizikal namun kanak-kanak memerlukan proses mental dan kebijaksanaan bagi membolehkan mereka melakukannya," katanya.

Menambah kepada penjelasan itu, Dr Yong Junina berkata ada beberapa pencapaian penting yang ibu bapa harus perhatikan, termasuklah pencapaian mental, fizikal, emosi dan sosial. Aspek pembangunan dan pencapaian kanak-kanak seperti ini membolehkan ibu bapa mengawasi perkembangan dan tumbesaran anak secara keseluruhan.

"Dari usia satu sehingga dua tahun, kanak-kanak memiliki daya penglihatan yang lebih baik, keupayaan untuk berjalan dan bergerak sendiri. Ini membolehkan kanak-kanak itu melihat, menyentuh dan merasa lebih banyak benda dan orang di sekeliling mereka. Pada peringkat ini sifat ingin tahu semakin meningkat dan membuatkan mereka meneroka dunia dengan lebih luas.

"Pada usia dua hingga empat tahun pula, kemahiran motor mereka akan menjadi lebih baik. Kemahiran lisan mereka juga akan lebih jelas dan tentu saja penerokaan menjadi semakin baik," jelasnya.

Otak kanak-kanak ibarat lebuh raya

Apabila diajukan bagaimana khasiat nutrisi boleh membantu menyokong perkembangan mental kanak-kanak, Dr Ng memberi contoh mengenai otak si kecil yang dibayangkan seperti lebuh raya.

"Khasiat nutrisi yang diberikan akan memastikan permukaan jalan raya licin tanpa lubang dan aktiviti yang anda lakukan untuk merangsang otaknya, seperti bermain dan berinteraksi, adalah kereta yang bergerak di atas lebuh raya. Khasiat yang betul membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu mengembangkan sifat ingin tahu, meneroka, kreativiti dan pembelajaran," katanya.

Prof Poh juga menegaskan khasiat yang berbeza diperlukan pada pelbagai peringkat perkembangan untuk otak yang sihat dan aktif. Terdapat pelbagai khasiat penting yang boleh menyokong perkembangan otak dan proses tumbesaran mereka seperti protein, asid amino, DHA, magnesium, vitamin B dan kalsium.

"Khasiat ini memainkan peranan penting dalam menyokong proses perkembangan mental kerana ia juga berkait rapat dengan prestasi tingkah laku. Sebagai contoh magnesium memainkan peranan dalam proses pembelajaran dan daya ingatan serta penting untuk tenaga bagi otak.

"Ini dapat membantu kanak-kanak berusia empat tahun ke atas belajar cara mengadaptasikan apa yang dipelajari melalui proses kreatif. Selain membantu pertumbuhan tulang dan melancarkan fungsi otot, vitamin D sebenarnya melindungi mata dan daya penglihatan kanak-kanak, iaitu alat penting untuk sifat ingin tahunya," terangnya.

~ HM



 
Chatroom