Home » » » Penjagaan Bibir : Jangan Biar Bibir Cepat Tua dan Berkedut

Penjagaan Bibir : Jangan Biar Bibir Cepat Tua dan Berkedut

Salah satu punca kita kelihatan lebih tua daripada usia ialah apabila kulit dan epidermis yang semakin nipis. Masalah ini bertambah teruk lagi pada kulit bibir kerana permukaan bibir lebih nipis berbanding lapisan kulit lain.

Bibir hanya mempunyai tiga hingga lapisan berbanding bahagian lain kulit sehingga 16 lapisan. Bibir juga tidak mempunyai sebarang bulu atau rambut halus yang dapat melindunginya dan tiada kelenjar peluh serta kelenjar sebum untuk melembapkan kulit.

Kerana itu, bibir adalah bahagian yang paling cepat kering, paling sensitif dan paling mudah `berumur’ berbanding bahagian lain pada wajah. Seiring peningkatan usia, bibir secara semula jadi akan kehilangan air dan minyak, menjadikan kulit bibir lebih cepat dimamah usia berbanding bahagian lain jika tidak dijaga.

Tidak perlu menunggu lama untuk berhadapan masalah ini. Seawal usia 25 tahun, kesan penuaan pada bibir sudah boleh dilihat. Garis bibir hilang, bibir kurang nyalaan merah dan mula nampak berkedut.

Bibir amat sensitif pada sinar matahari. Pendedahan keterlaluan boleh mempercepatkan lagi penuaan pada bibir, lebih-lebih lagi jika tidak menggunakan sebarang tabir pelindung.

Memburukkan lagi masalah, perawatan bibir sering kali diabaikan kebanyakan wanita menyebabkan bibir mudah mengering dan pecah-pecah. Keadaan itu lebih ketara dilihat apabila wanita memakai gincu yang akan memperlihatkan kesan pecah-pecah pada bibirnya. Bagi wanita yang merokok, penuaan pada bibir dikatakan lebih cepat ditambah lagi jika tidak menjaganya.

Keadaan itu tidak sepatutnya dibiarkan kerana bibir kering akibat kesan penuaan bukan saja akan menimbulkan garis tetapi turut mengurangkan darjah penampilan. Harus diingat, kecantikan seorang wanita juga tidak mengecualikan pesona bibir. Gerakan bibir menawan pada saat berbicara tidak lepas menjadi perhatian lawan bicara.

Justeru, hindarkan penuaan pada bibir dengan menjaga dan menghindarkannya daripada kesan yang boleh ‘mencemarkan’. Antara yang boleh dilakukan ialah mulai berhenti merokok jika anda seorang perokok. Tabiat merokok bukan saja bahaya untuk kesihatan anda dan orang lain tetapi boleh menyebabkan bibir berubah warna menjadi kusam dengan cepat walaupun usia masih muda. Ini berpunca kesan daripada bahan nikotin yang terdapat pada rokok.

Pakar kecantikan turut berpesan, untuk menjaga bibir dengan baik anda hendaklah kenal pasti ‘perosak’ bibir. Sama ada anda sedar atau tidak, gincu atau kosmetik yang dicalitkan konon untuk mencantikkan ulas bibir, sebenarnya boleh juga merosakkan bibir jika ia tidak sesuai digunakan. Antara tandanya ialah muncul kesan menggelupas dan gatal pada bibir.



Bagi mengelakkan itu berlaku, sebaik-baiknya perhatikan kandungan yang terdapat pada kosmetik sebelum membelinya. Lihat tarikh luput kosmetik berkenaan dan jika sudah kelihatan rosak, elok saja ia dibuang. Jaga selalu kebersihan kosmetik supaya tidak menjadi tempat tumbuhnya bakteria dan simpan di tempat yang sepatutnya serta bersihkan bibir sebelum menggunakan gincu supaya kotoran yang ada tidak terus ‘berhimpun’ pada bibir.

Menyapu balsam bibir setiap kali keluar rumah perlu dijadikan amalan kerana ia adalah asas yang paling penting dalam rutin penjagaan bibir.

Pastikan bibir anda tidak basah supaya balsam bibir boleh diaplikasikan dengan sempurna pada bibir, atau bibir yang kering dan merekah akan jadi lebih teruk. Pelembap bibir yang mengandung SFP 15 juga boleh digunakan untuk melindungi bibir dari kesan sinar cahaya matahari.

Sinar ultra lembayung (UV) yang ada pada sinar matahari boleh merosakkan bibir termasuk menjadikannya pecah-pecah, terbakar, bengkak atau timbul bintik-bintik keperangan. Masalah mungkin lebih serius kerana sinar matahari berupaya membuat kolagen yang terdapat pada bibir berkurangan. Akibatnya, muncul kerutan pada bibir.

Meningkat usia, kandungan kolagen pada bibir menurun sehingga bibir tidak lagi terlihat kenyal. Penuaan pada bibir tampak sehingga menyebabkan bahagian itu kasar, berkerut dan ada garis halus.

Rawatan sama ada secara dalaman iaitu dengan pengambilan makanan berkhasiat atau secara luaran, menyapu balsam, boleh melambatkan kesan penuaan pada bibir dan paling penting, membuatkan bibir menyerlahkan kecantikan.

Rahsia bibir sihat

Ambil vitamin B dan C dengan memakan buah-buahan dan sayuran. Pengambilannya sangat baik supaya bibir tampak lebih segar.

Banyakkan minum air putih setiap hari supaya bibir tidak mengering.

Sebelum tidur, buang semua kesan gincu bibir menggunakan penanggal mekap yang lembut. Kemudian ambil kain lembut yang dilembapkan dan gosok dengan perlahan di permukaan bibir. Ini untuk menanggalkan semua sel mati di permukaan bibir. Gosok sehingga bibir berasa lembut dan licin. Sapu nipis produk rawatan bibir atau serum bibir dan biarkan semalaman.

Hentikan tabiat menggigit dan menjilat bibir. Ia adalah penyebab utama bibir menggelupas.

Lakukan urutan pada bibir dengan menggunakan madu, dua kali seminggu sebelum tidur. Amalan itu akan membantu menjadikan bibir lembap dan berseri kemerah-merahan.

Rahsia bibir sihat
Berdiri di hadapan cermin.
Bukalah mulut seperti kita mengucapkan huruf O besar.
Lakukan dengan santai, gerakkan mulut ke depan dan ke bawah.
Tahan gerakan tadi selama 20 saat.
Kemudian hembuskan nafas keluar dan tarik nafas melalui hidung .
Lakukan berulang-ulang.

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Affiliates

 
Chatroom