Home » » Berhati-hati makan di Aidilfitri

Berhati-hati makan di Aidilfitri

Sepanjang minggu ini, anda masih lagi berada dalam suasana kemeriahan menyambut Aidilfitri.

Sambil meneruskan tradisi saling kunjung-mengunjungi, ketika inilah kesempatan turut diambil untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan tersedia.

Apa pun, kegembiraan menyambut hari raya tidak harus keterlaluan hingga boleh memudaratkan.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan hari raya.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Ini diakui sendiri Pakar Kuman di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak, Dr. Zainordin Md. Noor sambil menegaskan keseronokan menyambut Aidilfitri tidak seharusnya disulami rasa duka akibat kecuaian dan kurang kesedaran untuk menyediakan makanan yang menjamin kesihatan diri.

Menerangkan lebih lanjut mengenai keracunan makanan, selain sakit perut, mengalami cirit-birit, kejang dan loya antara simptom yang dikaitkan dengan keracunan makanan.

Senario cirit-birit dan muntah berterusan itu menyebabkan dehidrasi selain berkemungkinan merosakkan organ penting di dalam tubuh termasuk sel hati, buah pinggang serta tisu lembut serta mengurangkan kecekapan fungsi badan secara normal.

‘‘Walaupun kebanyakan ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga ketika makan di luar, lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang mengamalkan tradisi berkunjung ke rumah saudara serta rakan taulan, ‘pantang larang’ itu seakan dilupakan kerana menganggap hari raya waktu untuk bebas menikmati juadah,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, masalah kekurangan air di dalam badan atau dehidrasi disebabkan cirit-birit dan muntah keterlaluan boleh menyebabkan kekurangan garam galian, menjejaskan fungsi buah pinggang serta ancaman tekanan darah rendah yang membahayakan pesakit.

Jelasnya, jika masalah ini tidak ditangani segera, risiko kepada nyawa begitu besar malah kekurangan garam galian seperti sodium, potasium dan kalsium yang memberikan sumbangan penting kepada badan boleh mengakibatkan gejala sawan selain perubahan denyutan jantung.

Serangan

“Berbanding dewasa, kanak-kanak mempunyai tahap ketahanan rendah terhadap serangan bakteria, virus dan parasit berbahaya. Justeru, pola dan pemilihan makanan tidak boleh diambil mudah tambahan pula sepanjang Syawal,” ujarnya.

Beliau berkata, apa yang perlu diketahui juga lebih daripada 200 jangkitan penyakit disalurkan menerusi makanan.

Oleh kerana itu, sebelum terjadinya sebarang masalah sekali gus menghambarkan Aidilfitri, lebih baik langkah pencegahan dilakukan iaitu berhati-hati tatkala menikmati juadah.

‘‘Jika orang dewasa tidak tahan dengan simptom keracunan makanan, apatah lagi anak kecil,” tegasnya.

Menerangkan mengenai punca berlakunya keracunan makanan, kata Dr. Zainordin, ia dikaitkan dengan kehadiran mikro organisma yang sudah menjadi kes lazim di seluruh dunia selain pencemaran bahan kimia (sama ada secara sengaja atau tidak) dan kehadiran objek asing dalam hidangan seperti rambut, kuku dan besi.

Bagaimana keracunan makanan boleh berlaku katanya, ia disebabkan toksin yang dikeluarkan sejenis bakteria yang dinamakan Staphlyococcus, selain Escherichia coli dan Salmonellae sehingga melumpuhkan fungsi sistem di dalam badan.

Beliau menegaskan, kebanyakan kes keracunan makanan sebenarnya boleh dielak jika pengguna mengamalkan tabiat pengendalian makanan yang selamat, terutama selepas ia dibeli.

Ini termasuk kaedah pengendalian ketika memasak dan penyimpanan bahan mentah atau makanan yang dimasak.

Beliau juga tidak menafikan, keracunan makanan juga boleh terjadi kerana perut yang sensitif dengan makanan diambil terutama apabila terlalu banyak dan juga mungkin makanan yang lama disimpan sehingga menyebabkan jangkitan.

‘‘Tahap keracunan bergantung kepada keadaan pesakit, kadang kala kesannya hanya sedikit dan simptom muntah, pening, sakit perut dan cirit-birit hilang selepas beberapa jam.

‘‘Sesetengah pula mengalaminya berterusan hingga terpaksa dibawa ke hospital. Jika kesihatan pesakit menjadi semakin teruk, mereka akan mengalami demam dan dinasihatkan agar merujuk kepada doktor,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kegagalan mengawal nafsu makan sepanjang Aidilfitri juga turut dikaitkan dengan peningkatan paras kolestrol.

Bagi pesakit diabetes, penyakit mereka mungkin boleh menjadi serius dan sukar dikawal, begitu juga pengumpulan lemak di dalam badan sehingga boleh meningkatkan risiko penyakit koronari dan strok.

Berikutan itu, umat Islam seharusnya mengekalkan amalan yang dilakukan sebelum ini sepanjang Ramadan seperti mengawal nafsu makan untuk memperoleh kesihatan yang lebih baik.

Beliau menegaskan Aidilfitri bukan bulan gelojoh atau balas dendam pada pelbagai jenis makanan selepas sebulan berpuasa.

Sebaliknya, setiap individu seharusnya terus melatih diri tidak makan berlebihan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan perut terperanjat berikutan pengambilan makanan secara keterlaluan dan tidak ada hadnya.

‘‘Bagi pesakit gastrik atau ulser, penyakit itu boleh menjadi lebih teruk manakala pesakit diabetes pula, kandungan gula akan meningkat berikutan pengambilan pelbagai jenis makanan.

‘‘Malah kegemukan dan berat badan juga akan meningkat sehingga sukar dikawal,” ujarnya.

Ini turut mendedahkan individu kepada pelbagai penyakit termasuk sakit lutut dan sendi apabila badan sudah terlalu berat. Tidak terkecuali malas dan mengantuk pula kerana darah tertumpu dalam abdomen.

Beliau menegaskan, amalan makan apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang sebagaimana disarankan oleh Rasulullah SAW wajar dicontohi.

Hari Raya katanya, bukan sahaja membuka peluang kepada kita mengunjungi sanak saudara, pada masa sama harus bijak memilih makanan dan tidak gelojoh apabila melihat pelbagai jenis makanan.

Beliau berkata, perut boleh terperanjat kerana menerima makanan secara bertubi-tubi sedangkan ketika berpuasa, pengambilan makanan tidak aktif selepas 12 atau 13 jam berpuasa.

Individu juga tidak seharusnya terus mengambil makanan selepas kenyang. Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, beliau turut menyenaraikan beberapa panduan yang boleh diikuti.

Penyediaan makanan

~ PASTIKAN peralatan yang digunakan untuk memasak bersih. Air untuk diminum dan digunakan dalam semua masakan perlu dimasak terlebih dulu.

~ Masak makanan dalam jumlah yang sederhana. Sebelum dihidangkan, panaskan makanan pada suhu mencukupi antara lima dan 10 minit untuk membunuh kuman.

Penyimpanan makanan

~ JANGAN simpan makanan lebih daripada empat jam pada suhu bilik. Tempoh lebih dari itu akan menyebabkan makanan hilang khasiatnya dan mungkin rosak hingga tidak selamat lagi dimakan.

~ Makanan yang disediakan lebih awal perlu dipastikan sentiasa panas atau disimpan pada suhu sejuk (di dalam peti sejuk) untuk mengelakkan pembiakan kuman.

Bagaimanapun, semua jenis makanan tidak digalakkan disimpan di dalam peti sejuk lebih dari empat hari.

Sebaik-baiknya, asingkan makanan mentah dan makanan yang dimasak ketika penyimpanan. Jika kekurangan ruang, pastikan makanan yang sudah dimasak disimpan di dalam bekas tertutup.

Penghidangan makanan

~ Juadah seperti laksa, lodeh, ketupat, rendang dan lemang adalah jenis makanan yang mudah dicemari kuman kerana ia memerlukan banyak pengendalian.

Oleh itu, untuk menghidangkan makanan seperti itu, pengguna perlu pastikan makanan yang dihidang sentiasa bertutup.

~ Peralatan seperti pinggan mangkuk, sudu, garpu yang digunakan bersih dan kering.

~ Gunakan penyepit dan peralatan seumpamanya untuk mengambil makanan.

~ Hidang makanan dalam kuantiti yang secukupnya untuk dimakan.

~ Elakkan daripada menghidang makanan terlalu awal.

Oleh ROSLAH OTHMAN



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom