Home » » Filem Kami The Movie

Filem Kami The Movie

Kami The Movie arahan pasangan suami isteri yang juga pengarah baru, Fariza Azlina Isahak dan Effendee Mazlan diterbitkan Red Films dan Grand Brilliance Sdn Bhd turut membawa pembaharuan kepada gaya penceritaan dan persembahan sebuah filem remaja untuk tontonan tempatan.

Filem: Kami The Movie
Genre: Remaja, Drama
Pengarah: Effendee Mazlan & Fariza Azlina Isahak
Penulis: Fariza Azlina Isahak
Pelakon: Liyana Jasmay, Syarul Ezani, Nas T, Juliana Evans, Zayanah Ibrahim, Zahiril Adzim, Rozie Rashid, Mustapha Kamal, Norish Karman, Susan Manen, Fathil Dani, Dian P. Ramlee


Pada Hari Raya pertama tahun ini, peminat filem Melayu dapat menyaksikan sebuah filem mengutarakan tema kehidupan golongan remaja yang dikira agak berlainan daripada filem dalam genre serupa pernah dihasilkan sebelum ini.
Dibuat berdasarkan watak daripada siri Kami siaran 8TV, filem yang menggunakan judul serupa ini boleh dianggap filem remaja paling menepati kehidupan golongan itu ketika ini.

Bukan saja permasalahan semasa seperti konflik keluarga, penyalahgunaan dadah, persahabatan dan cinta yang diketengahkan penulis yang juga pengarahnya, Fariza Azlina Isahak, malah dia dan suami yang juga pengarah bersama, Effendee Mazlan, turut memasukkan elemen muzik indie sebagai penguat cerita.

Ditambah lakonan baik hampir kesemua bintang utama, terutama Liyana Jasmay, Nas-T dan Zahiril Adzim, filem terbitan Red Films dan Grand Brilliance Sdn Bhd itu membawa pembaharuan kepada gaya penceritaan dan persembahan sebuah filem remaja.
Mungkin gaya rakaman filem ini agak kurang ‘selesa’ bagi sesetengah penonton, apabila Pengarah Fotografi, Siew Yaw Hoong, turut menggunakan kaedah kamera pegangan tangan (handycam). Kononnya, ia bagi menimbulkan mood yang berbeza untuk filem berkenaan. Tetapi, ia sebenarnya agak menjadi untuk filem sebegini.

Kami The Movie mengikuti kehidupan sekumpulan lima remaja tatkala mereka berseronok dan berdepan pelbagai cabaran dalam perjalanan menuju fasa hidup yang baru, sebagai insan lebih dewasa.

Lynn (Liyana) ialah pelajar tingkatan lima yang membantu ibunya di gerai dan melepak bersama empat rakan iaitu Ali (Ezani), Abu (Nas-T), Sofie (Juliana) dan Adii (Zayanah). Walaupun bersahabat baik, tetapi Lynn menyimpan rahsia silam daripada rakannya.

Lynn dan ibunya berpindah ke kota daripada sebuah pekan bagi memulakan hidup baru, jauh daripada pengedar dadah, Boy (Zahiril Adzim), lelaki yang pernah Lynn bantu untuk mendapatkan duit lebih. Namun, pemuda itu muncul kembali untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

Menambahkan lagi kesulitan, Lynn menulis menggunakan nama samaran untuk sebuah majalah kegilaan remaja, Kami. Dalam edisi terbaru, dia mengulas mengenai kumpulan yang dianggotai Ali, yang kurang disenangi jejaka itu sendiri. Pada ketika Lynn berusaha menyembunyikan kisah silamnya, dia mendapati, rakan yang lain juga punya rahsia mereka sendiri.

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom