Home » » Langsing segera binasa badan

Langsing segera binasa badan

ZALYA Ahmad langsung tidak memikirkan pro dan kontra keputusannya kala mengeluarkan wang hampir RM20,000 semata-mata untuk menurunkan berat badan.
Pegawai eksekutif di sebuah syarikat pemasaran itu amat terpengaruh dengan janji pusat pelangsingan badan popular yang menawarkan pakej paling menarik pernah disuakan kepadanya - hilang sekurang-kurangnya tiga ke empat kilogram dalam sebulan tanpa perlu berdiet.

Kisah yang menyakitkan hatinya mula berlaku sejurus Zalya mendaftarkan diri. Sudahlah perlu membayar yuran pendaftaran mencecah ribuan ringgit, ujian mudah seperti menimbang berat badan juga perlu dibayar.

Lebih memeritkan apabila wanita berusia 27 tahun itu disuruh mengamalkan diet mendadak dengan hanya mengambil sup sayur-sayuran selama dua hingga tiga minggu dan rawatan menggunakan mesin hanya dilakukan dua kali seminggu. Biarpun marah dan kecewa kerana proses pelangsingan itu tidak seperti yang terpampang pada iklan promosi, Zalya terpaksa akur memandangkan sudah membelanjakan wang yang banyak sebelum mengambil keputusan menghentikan sesi itu selepas dua bulan kerana berat badannya sekadar susut satu kilogram.

Rentetan kejadian yang menimpa Zalya bukanlah perkara luar biasa yang berlaku kepada kebanyakan wanita terutama dengan wujudnya bermacam pusat pelangsingan badan di negara ini.

Dalam usaha untuk tampil lebih cantik, kurus dan menarik, majoriti wanita sanggup bergolok-gadai dengan menabur ribuan wang kepada pengusaha pusat pelangsingan tanpa memikirkan bahawa ada alternatif lain untuk menurunkan berat badan.

Menurut Profesor Madya Zulkifli Abdul Kadir, tiada jalan singkat untuk mencapai sasaran, menguruskan badan misalnya kerana ia perlu didorong ilmu pengetahuan, usaha dan semangat.

"Wanita sengaja mencari masalah apabila mengunjungi pusat pelangsingan. Ia dikatakan jalan mudah untuk langsing tapi sebenarnya lebih banyak komplikasi dan kesan negatif berbanding sebaliknya.

"Malah, teknik dan proses pelangsingan yang dijalankan di pusat itu turut mendatangkan banyak persoalan kerana ia tidak menepati keperluan sebenar tubuh.

"Sudahnya, tubuh diasak dengan getaran mesin yang dikatakan mampu memecahkan lemak, malah wanita terpaksa berdiet hingga ke tahap ekstrem bagi memastikan proses itu benar-benar berhasil.

"Setiap diet perlu mengandungi kombinasi protein, karbohidrat, vitamin dan mineral. Setiap penurunan berat badan juga perlu dipantau dan ia tidak sepatutnya susut antara tiga ke empat kilogram sebulan.

"Tapi kebanyakan pusat pelangsingan meletakkan sasaran penyusutan sebanyak itu dalam sebulan, lalu boleh mendatangkan kesan kepada tubuh terutama organ dalaman. "Sesi pelangsingan seperti ini juga bertindak sementara dan langsung tiada nilai kesihatan. Ia tidak membantu memperbaiki tahap kesihatan diri wanita, malah boleh menyebabkan masalah lain seperti kurang zat makanan dan kolesterol.


"Justeru, cara tradisional iaitu senaman dan mengambil makanan seimbang adalah pilihan tepat untuk kesihatan dalaman dan luaran tubuh," katanya.


Tambah Pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara itu, wanita yang sanggup berlapar semata-mata untuk kurus juga boleh disifatkan kufur nikmat.


"Tidak salah menikmati makanan yang digemari tapi pada kadar berpatutan. Rasulullah s.a.w sendiri mengajar tata susila ketika makan yang bila diperhalusi semula ternyata ia sama dengan kajian saintifik, di mana kita mesti berhenti sebelum kenyang dan jangan makan dalam tempoh empat jam sebelum tidur," katanya.

Click Here

Ujarnya, semua segi perlu diambil kira untuk tampil cantik dan tidak semata-mata tertumpu kepada aspek luaran. Bahagian dalaman juga perlu diberi perhatian supaya dapat berfungsi dengan baik, lalu kecantikan dari dalam itu pasti terpancar di luar.


"Selain senaman dan menjaga diet, kita perlu berehat dengan cukup serta mengelakkan tekanan andai ingin benar-benar kelihatan cantik dan sihat. Apalah gunanya kurus langsing tapi wajah pucat lesi dan tidak berseri. "Bagi saya, wanita yang taksub untuk tampak langsing hingga sanggup berhabis duit ini hanya membahayakan dirinya. Sudahlah duit habis, hasilnya pula tidak seberapa," katanya.

Zulkifli tidak ketinggalan menyarankan wanita yang memilih senaman supaya merancang jenis senaman yang ingin dilakukan dan tidak tertumpu kepada satu-satu bahagian.

"Ia perlu dilakukan secara holistik berbanding menumpukan satu-satu bahagian kerana ia membantu menjana kesihatan secara menyeluruh. Apa yang penting ia dilakukan demi kesihatan fizikal dan mental, bukannya hanya semata-mata untuk kecantikan sementara," ujarnya.



 
Chatroom