Home » » Solat untuk kesihatan

Solat untuk kesihatan

SUJUD DENGAN SEMPURNA....kajian membuktikan apabila seseorang sujud rongga dada akan bertambah besar dan paru-paru akan berkembang dengan baik bagi menghirup udara bersih selain melancarkan pengaliran darah.

Jangan terkejut amalan solat yang dilakukan setiap hari adalah terapi paling berkesan merawat pelbagai penyakit berbahaya.

Kajian saintifik membuktikan kesahihan perkara itu. Penyakit berpunca daripada makanan kita makan setiap hari dan tabiat buruk yang diamalkan. Dalam soal pemakanan, Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang amat teliti dan bijak mengatur pola makanan seharian.

Nabi Muhammad turut menekankan ibadah yang pintar bermula dengan wuduk yang menyimpan 1001 rahsia.

Melalui wuduk, kesihatan bertambah baik, wajah berseri-seri dan tampak awet muda jika dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah karya Dr Mohammad Ali Toha, Prof Dr Syahathah dari Fakulti Perubatan, Universiti Alexandria, Mesir membuat kajian bahawa 'istinsyaq' atau memasukkan air melalui hidung ketika berwuduk membersihkan hidung daripada kuman.

Cara melakukannya ialah dengan memasukkan air seperti menarik nafas dengan kekuatan sederhana kemudian mengeluarkan air itu dengan hembusan yang kuat.

Kaedah itu jika dilakukan dengan sempurna mampu mencegah 17 penyakit berbahaya, antaranya mata, telinga kulit, radang kerongkong, batuk dan penyakit paru-paru dan penyakit mental. Percayalah, jika Allah memerintahkan sesuatu ibadah itu, pasti ada hikmah dan manfaat kepada manusia.

Apakah kesan langsung dalam setiap pergerakan yang dilakukan ketika kita menunaikan solat lima waktu? Di dalam sebuah kitab fiqh ada menyentuh mengenai solat iaitu Muniyatul Musalli. Ia menggambarkan solat adalah persembahan terbaik kepada Khaliq (Allah). Solat yang tidak khusyuk ibarat persembahan hadiah yang tidak bernilai. Justeru, setiap Muslim perlu mempunyai hati yang bersih bagi khusyuk dalam solat. Pernahkah kita berfikir mengapa perintah bersolat lebih awal dari ibadat puasa atau amalan lain? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah memberikan perintah bersolat kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara terus tanpa perantaraan sesiapa di Sidratul Muntaha. Kelebihan bersolat dibuktikan sendiri Rasulullah, apabila ditimpa kesukaran dan kesedihan, Baginda akan berkata kepada Bilal: "Tenteramkanlah hatiku, wahai Bilal." Maka Bilal pun mengalunkan azan. Kemudian mereka mengerjakan solat secara berjemaah.

Pakar perubatan mengakui solat yang khusyuk adalah amalan meditasi yang ideal. Bacaan dalam solat menyebabkan manusia berada dalam keadaan antara jaga dan tidur.

Cuba praktikan kepada diri sendiri, apabila menghadapi masalah, kerjakan solat sunat dua rakaat dan lihat hasilnya.

Malah, pergerakan dalam solat mempunyai maksud penghambaan kepada Allah apabila dilakukan dengan fokus dan toma'ninah.

Ia lebih mujarab jika kita memahami setiap bacaan dalam solat. Memang bukan mudah untuk khusyuk dalam solat kerana syaitan sering mengganggu dan melalaikan manusia.

Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita jangan tidur selepas makan, tetapi berzikir dan bersolat.

Diceritakan, suatu hari Abu Hurairah sakit perut lalu Nabi berkata: "Bangkit dan bersolatlah kerana sesungguhnya ada perubatan dalam solat." Menurut kajian penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya (UM) solat boleh merawat pelbagai penyakit kronik.

Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata setiap gerakan solat mempunyai manfaat besar yang mampu meningkatkan kesihatan manusia secara optimum. "Hasil kajian membuktikan gerakan dalam solat seperti berdiri betul, takbiratul ihram, iktidal, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat menyamai senaman ringan.

"Solat yang lengkap lima kali sehari semalam, memahami makna bacaan, rukuk dengan betul serta melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir akan mendapat komposisi tubuh yang baik.

"Berbeza dengan mereka yang tidak melakukan perkara berkenaan komposisi tubuh mereka kurang baik," katanya.

"Keputusan kajian juga mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, melakukan rukuk pada kedudukan 90 darjah, sakit pinggang berkurangan," katanya. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Jika kamu rukuk, letaklah kedua-dua tanganmu pada kedua-dua lututmu, kemudian renggangkanlah jari-jarimu, kemudian tenanglah sampai ruas tulang belakangmu mantap di tempatnya." (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban) Selain itu, pergerakan sujud pula membuatkan seseorang bukan saja menjadikan otot besar dan kuat, tetapi saluran darah seperti arteri, vena serta urat limfa akan terurus.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan mengamalkan jari kaki membengkok ketika gerakan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir mendapati ia mampu membakar lemak dalam badan selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

Fatimah berkata setiap pergerakan dalam solat iaitu bermula dari berdiri tegak sehingga selesai memberi salam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. "Memberi salam ke kanan dan ke kiri adalah amalan baik bagi menyelesaikan masalah kerapuhan tulang tengkuk," katanya. Bagi Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, solat yang dilaksanakan lima kali sehari cukup dijadikan asas senaman rutin. "Solat boleh dianggap senaman fizikal yang istimewa kerana di dalamnya mengandungi pergerakan yang menyamai senaman regangan otot.

"Ia memberi kesan positif terhadap psikologi, tulang otot dan serebral. Semasa bersolat, otot dan sendi turut bergerak," katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik, Ng Siew Cheok menyifatkan ibadah solat yang dilakukan seorang Muslim menghasilkan keadaan otak yang tenang.

"Keadaan itu dicapai sebelum seorang itu bergerak untuk sujud. Selain itu, solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang. "Ketika toma'ninah (berhenti seketika) di dalam solat adalah waktu seseorang itu dijangkakan akan berada dalam keadaan tenang. Justeru, setiap perbuatan dalam solat perlu dilakukan dengan teratur dan tidak tergesa-gesa," katanya.

Kesimpulan, solat menyimpan 1001 rahsia yang perlu dikaji dan dipelajari kerana jika perintah itu datang dari Allah, pasti ia mempunyai kebaikan untuk manusia.

Oleh Mohd Fadly Samsudin



 
Chatroom