Home » » Budaya asal sedap punca kegemukan

Budaya asal sedap punca kegemukan

Ada yang berasa sarapannya tidak lengkap tanpa hidangan nasi lemak.

Ada juga yang hanya terbuka selera apabila roti canai atau roti 'banjir' di depan mata.

Tidak kurang yang berasa hidupnya lebih ceria dengan hanya menjamah burger dan kentang goreng.

Mahu diakui atau tidak, kebanyakan makanan kegemaran rakyat negara ini boleh dikategorikan sebagai makanan yang mempunyai kandungan khasiat tidak seimbang.

Tetapi tidak ramai yang mengendahkan kandungan kalori makanan kegemaran mereka asalkan ia mampu memuaskan keinginan masing-masing atau lebih tepat dipanggil budaya asal sedap.

"Makanan kegemaran ini biasanya mengandungi kandungan kalori dan lemak yang tinggi manakala kandungan serat daripada sayur-sayuran pula sangat kurang.

"Bayangkan sebungkus nasi lemak berserta telur goreng, ikan bilis dan sambal saja sudah mencecah hampir 500 kalori. Itu belum ditambah lauk-pauk lain seperti ayam rendang, ayam goreng, sambal sotong atau sambal udang.

"Timun dalam sajian nasi lemak pula tidak seberapa yang biasanya hanya ada beberapa keping sedangkan satu sajian sayuran disarankan pengambilannya sebanyak satu cawan sayuran segar atau setengah cawan sayuran masak," kata Pakar Pemakanan Kanan Pusat Maklumat Pengurusan Berat Badan (WMIC), Premila Muthukumaran.

Jika tergerak hati untuk bersenam bagi menghapuskan sejumlah 500 kalori itu pula berlari setengah jam pun tidak memadai kerana ia memerlukan seseorang itu untuk berjoging lebih satu jam bagi mengurangkan jumlah kalori berkenaan.

Sekeping roti canai kosong pula sudah menjangkau 300 kalori dengan kandungan 31 peratus lemak. Itu belum roti 'banjir' yang mempunyai kalori lebih tinggi.

"Roti canai memang mengenyangkan apatah lagi ia murah. Untuk penggemar roti pisang, ia juga tidak begitu menyihatkan walaupun rasanya enak.

"Tambahan pisang saja boleh mencecah 80 kalori. Berserta tambahan gula atau susu pekat, sekeping roti pisang boleh menjangkau sehingga 400 kalori. Capati lebih berkhasiat, tetapi apabila membuat pesanan, mintalah capati tanpa sapuan minyak sapi," katanya ketika ditemui di pejabat WMIC di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Lambakan kalori dalam makanan berkenaan mungkin menakutkan namun, menurutnya, pengubahsuaian terhadap makanan boleh dilakukan untuk mengurangkan kandungan kurang menyihatkan terutama bagi mereka yang mementingkan pemakanan seimbang.

Beliau tidak menafikan lebih mudah melakukan pengubahsuaian makanan jika memasak sendiri, tetapi ia tetap boleh dilakukan sewaktu makan di luar.

"Roti canai misalnya, jika biasa makan dua keping, tidak salah jika mengurangkannya kepada sekeping saja. Selain itu, lebih bijak jika kekerapan pengambilan makanan ini dikurangkan dalam diet seharian," katanya.

Makanan segera yang ramai penggemarnya, malah penghantarannya boleh dilakukan ke pejabat atau rumah, juga seakan sudah sebati dengan masyarakat kini.

"Mengehadkan pengambilannya antara cara yang baik di samping beberapa kaedah lain. Contohnya, pilih saiz hidangan kecil (bermakna kurang kalori) berbanding hidangan bersaiz besar dan tidak salah memilih hidangan kanak-kanak yang bersaiz kecil.

"Ada kajian saintifik melaporkan, jika seseorang itu diberi banyak makanan sekalipun, ia tetap habis, tetapi jika diberi kuantiti makanan yang sedikit, ia tetap mencukupi," katanya.

Ayam goreng yang sering menjadi pilihan di restoran makanan segera boleh dimakan dengan membuang kulitnya manakala pilihan ayam yang dipanggang lebih digalakkan.

Hidangan yang mengandungi lebihan keju pula boleh dielakkan, begitu juga dengan minuman berkarbonat yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

"Kentang goreng dan nuget cukup digemari kanak-kanak serta orang dewasa kerana ia dianggap makanan yang begitu ringkas. Ramai juga yang menjadikannya sajian ringan di rumah sedangkan 50 peratus kandungan makanan itu terdiri daripada lemak.

"Memang sukar menghalang pengambilan makanan sebegini kerana rata-rata, tiada siapa menyatakan ia tidak elok untuk kesihatan apatah lagi ia mudah didapati. Tetapi atas kesedaran masing-masing, pengambilannya boleh dikurangkan untuk manfaat kesihatan jangka panjang," katanya.

Santan memang tidak dapat dipisahkan daripada makanan orang Asia, malah ada yang beranggapan makanan jadi hambar jika tidak bersantan.

Apa sekalipun yang diperkatakan mengenai kandungan santan yang kurang menyihatkan, memang sukar untuk mengurangkan apatah lagi menggantikan ramuan ini.

"Santan kelapa perahan pertama yang pekat memang tinggi kalori dengan lemak setinggi 90 peratus. Jika perlu menggunakan santan, pastikan perahan kedua dicairkan dan kemudian dipekatkan semula menggunakan susu rendah lemak.

"Selain itu, lebihkan bahan seperti daun pandan, serai, halia dan bawang untuk meningkatkan bau masakan kerana rata-rata, santan menjadi pilihan kerana aromanya," katanya.

Pilihan susu untuk menggantikan santan termasuk susu penuh krim, separa skim (susu tanpa lemak) atau skim. Susu tanpa lemak antara pilihan sangat sesuai kerana ia rata-rata mengandungi lima peratus lemak berbanding susu penuh krim yang mencapai 35 peratus lemak untuk kandungan serupa.

Untuk mereka yang inginkan nasihat pemakanan lanjut, WMIC menyediakan laman web yang boleh dilayari di www.weightmanagement.org.my.

Berikut antara kandungan kalori dan lemak dalam beberapa makanan kegemaran rakyat Malaysia:

# Nasi lemak (210 gram berserta nasi dengan santan, telur goreng, ikan bilis dan sambal) - 494 kalori

# Roti canai (95 gram) - 301 kalori, 31 peratus lemak

# Mi kari (410 gram) - 529 kalori, 63 peratus lemak

# Laksa lemak (540 gram) - 591 kalori, 54 peratus lemak

# Nasi ayam tanpa lauk (230 gram) - 278 kalori, 10 peratus lemak

# Mi goreng (325 gram) - 598 kalori, 44 peratus lemak

# Kuetiau goreng (170 gram) - 312 kalori, 43 peratus lemak

# Kentang goreng (349 gram) - 1,124 kalori, 50 peratus lemak

# Burger daging (194 gram) - 496 kalori, 32 peratus lemak



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom