Home » » Fakta Ikan Selayang (Ikan Sardin)

Fakta Ikan Selayang (Ikan Sardin)

Ikan selayang

Ikan Selayang (decapterus maruadsi) atau turut dikenali sebagai ikan curut adalah spesies ikan pelagik. Spesies ini mendiami bahagian permukaan air. Bagi penduduk Sabah, ia di kenali sebagai ikan basung selain memanggilnya ikan sardin.

1. Sifat: Berbadan bulat bersisik penuh di seluruh badan dengan bentuk larus yang memberi kelebihan kepadanya untuk bergerak bebas terutama menyelamatkan diri dari pemangsa kecuali pukat nelayan.

Bahagian ekor terdapat sisik keras bergerigis halus berfungsi sebagai perisai.

Di bahagian batang ekor terdapat satu anak sirip di belakang sirip dorsal kedua dan satu anak sirip di belakang sirip anal .

Bahagian bawah badannya terdapat sepasang duri sirip yang terletak di bahagian sirip anal manakala sirip pektoralnya pendek hanya sampai ke hujung sirip dorsal pertama saja.

Memiliki sepasang mata besar bulat dengan kornia jernih dan mencapai saiz lazim sekitar 15 - 25 sentimeter.

2. Pemakanan: Makanan utama ialah anak ikan kecil dan plankton justeru, tidak hairanlah ia menjadikan unjam atau payau sebagai lokasi tumpuan mencari makan.

3. Habitat: Ikan selayang mendiami kawasan berair cetek dengan kedalaman sekitar 80 meter dan ia bergerak secara berkumpulan dan gemar berhijrah dari suatu tempat ke tempat lain untuk mencari makanan.

4. Kaedah Penangkapan: Boleh ditangkap menggunakan pukat jerut, pukat tunda, tangkul dan pancing, oleh kerana saiznya kecil serta bergerak berkumpulan, nelayan akan menyediakan unjam atau payau yang dibuat dari daun kepala sebagai perumah. Kumpulan ikan ini akan berlindung di situ.

Setelah mendapati banyak ikan mendiami unjam berkenaan, bot pukat jerut akan melabuhkan pukat sekitar unjam berkenaan sebelum ditarik perlahan keluar dengan memastikan tali jerut bahagian bawah pukat (kajar) dijerut kemas.


Kemudian, barulah bahagian atas pukat diangkat naik ke dalam bot ketika inilah selayang yang terperangkap akan disauk ke dalam petak bot yang dipenuhi ais.

Selain itu, nelayan pancing juga menggunakan unjam berkenaan juga sebagai medan memancing menggunakan teknik apollo.

5. Nilai Ekonomi: Tidak dikategorikan dalam ikan bernilai tinggi. Harga borongnya sekitar RM3 - RM5 sekilogram namun turun naik harga ikan ini banyak bergantung kepada musim.

Jika menjelang musim tengkujuh, harganya mampu mencecah sehingga RM10 sekilogram. Ia tetap mempunyai nilai produk hiliran yang tinggi jika diproses dengan sempurna terutama jika dijadikan serbuk isi ikan dan juga ikan masin.

6. Resipi Pilihan: Isi ikan selayang memang tersohor dengan produk hiliran, khususnya keropok. Isinya yang lembut dan kurang berlemak menjadikan keropok lebih lembut, kenyal serta manis dan kembang ketika digoreng.

Di Pantai Timur, gulai lemak kuning ikan selayang begitu digemari manakala selayang goreng mendapat permintaan ramai khusus dimakan bersama nasi panas.

Oleh Mat Semail
BH



 
Chatroom