Home » » Hindari Makanan Segera - Pilih Makanan Dengan Bijak

Hindari Makanan Segera - Pilih Makanan Dengan Bijak

Makanan segera sememangnya mudah, mengenyangkan serta enak dinikmati terutama bagi yang enggan membebankan diri dengan perkara leceh atau rumit seperti memasak.

Apabila merancang untuk makan di luar, restoran makanan segera selalunya menjadi pilihan paling murah namun malangnya ia bukan pilihan menyihatkan.

Pengambilan satu hidangan makanan segera sudah cukup membekalkan kalori, sodium dan lemak untuk tempoh sehari dan beberapa hari selepas itu.

Mengambilnya secara kerap mengakibatkan berlakunya bermacam masalah kesihatan, tidak kira sama ada fizikal dan psikologi.

Pengambilan sodium dan garam yang berlebihan dalam hidangan seharian boleh menyebabkan punca kepada penyakit kardiovaskular. Persatuan Jantung Amerika Syarikat (AS) menyarankan orang dewasa sepatutnya mengehadkan 1,500 miligram (mg) sodium setiap hari dan jangan melebihi 2,300mg.

Kajian Unit Kesihatan New York mendapati 6,580 hidangan yang dibeli di restoran makanan segera mendapati 57 peratus hidangannya melebihi 1,500mg tahap sodium harian.

Namun, seberapa banyak pun maklumat disebarkan mengenai keburukan makanan segera ini, kita masih tewas dengan godaannya dan mahu atau tidak kaki pasti melangkah laju ke restoran-restoran itu tanpa mempedulikan kesannya pada tubuh untuk jangkamasa panjang.

Ketua Jabatan Pemakanan dan Kesihatan Pusat Penyelidikan Nestle (NRC), Dr Laurent Bernard Fay bagaimanapun merasakan masih ada beberapa kebaikan pada makanan segera dan kita tidak sepatutnya melulu menjadikannya ‘musuh’ terutama apabila masyarakat kini menjalani hidup yang pantas serta mahukan sesuatu yang mudah diperoleh.

“Kunci utama dalam pengambilan makanan segera ialah kebijaksanaan dalam memilih apa yang baik atau sebaliknya untuk tubuh.

“Kita tidak boleh menolak sama sekali pengambilan makanan segera dalam kehidupan seharian kerana kadang-kala kita mengambilnya secara tidak sedar berikutan ia mudah didapati dan tidak perlu menghabiskan masa lama untuk memasak.

“Selain itu, kesederhanaan juga penting. Tidak salah menikmati kentang goreng di restoran segera tapi ia tidak boleh dijadikan perkara rutin dalam kehidupan seharian kerana ia boleh mengakibatkan tubuh kekurangan zat sepatutnya malah menyebabkan masalah kegemukan, darah tinggi, jantung, kencing manis dan sebagainya,” katanya.

Tambah Dr Fay, kekurangan mikronutrien dalam tubuh menjadi punca utama morbiditi dan kematian di seluruh dunia, di mana makanan segera tidak mampu membekalkannya pada tubuh kerana kurang atau langsung tiada dalam setiap hidangannya.

“Ibu moden zaman ini sering membeli makanan segera untuk anak-anak mereka kerana ia digemari kanak-kanak serta mudah mendapatkannya.

“Justeru pengambilan makanan secara kerap boleh menyebabkan kekurangan mikronutrien antaranya iodin, vitamin A, zink dan zat besi yang kekurangannya boleh mengakibatkan anemia di kalangan kanak-kanak prasekolah.

“Apa yang perlu dilakukan ialah memantau jumlah pengambilannya dan gantikan dengan makanan lain yang lebih berkhasiat. Mendapatkan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat di kebanyakan restoran makanan segera memang mencabar, tetapi sentiasa wujud pilihan sihat yang boleh kita ambil daripada makanan itu.

“Membuat pilihan sihat akan lebih mudah jika kita bersiap-sedia dengan panduan nutrien yang terkandung dalam setiap hidangan.

“Kebanyakan restoran makanan segera menyenaraikan label pemakanan dalam laman web atau pembungkusan mereka, jadi kita boleh melakukan pembandingan dan membuat pilihan.

“Jika tiada apa-apa persediaan sebelum ke restoran terbabit, gunakan pertimbangan akal bagi membantu memilih hidangan yang sihat. Contohnya, sayur-sayuran segar yang tampak sihat akan menjadi sebaliknya jika dicampur dengan kuah salad yang tinggi kandungan lemak serta ditambah dengan filet ayam atau daging goreng.

“Jadi pilihlah sayuran segar bersama kuah salad rendah lemak bersama bahan protein yang dipanggang. Kawalan pengambilannya juga penting, di mana majoriti restoran makanan segera menyediakan jumlah makanan yang melebihi keperluan tubuh dalam satu hidangan,” katanya.

Tambah Dr Fay, industri makanan segera kini mula mengorak langkah ke arah penyediaan hidangan yang lebih sihat.

Nestle, misalnya, melakukan beberapa siri kajian membabitkan makanan segera seperti mi Maggi yang sering dilabel makanan tidak berkhasiat berikutan kandungan garam dan perasa tambahan monosodium glutamat (MSG) yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

“Produk keluaran Nestle kini kebanyakannya sudah dikurangkan kandungan garam, gula dan asid lemak trans serta MSG bagi memastikan pengguna tidak lagi berkompromi daripada segi pemakanan seimbang.

“Produk yang lebih berkhasiat ini dirumus khas bagi pengguna terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan. Selama ini, makanan berkhasiat tinggi agak mahal di pasaran dan Nestle menggunakan pendekatan ini agar pengguna kurang berkemampuan mendapat nutrisi makanan yang diperlukan pada harga berpatutan.

“Nestle juga giat melakukan inovasi untuk menggantikan MSG dengan sejenis molekul yang digelar J+. Molekul yang dikenal pasti ini dapat menggantikan MSG untuk memberikan perasa reseptor terhadap deria rasa manusia.

“Molekul ini mempunyai kapasiti tinggi bagi menggantikan MSG dan nukleotida yang mempunyai peranan penting dalam metabolisme dan pengisyaratan.

“Malah molekul J+ juga boleh menyeimbangkan kuantiti garam dalam makanan. Penemuan terbaru ini boleh dikatakan penyelesaian sihat bagi meningkatkan rasa walaupun penggunaan MSG dikurangkan.

Justeru, Fay menyifatkan pengguna boleh menikmati mi segera edisi baru, antaranya Maggi Tastylite, ini tanpa rasa gusar mengenai kesannya pada tubuh untuk jangkamasa panjang serta ia kurang lemak sehingga 78 peratus berbanding mi segera biasa.



 
Chatroom