Home » » Panduan mengatasi ketakutan (fobia) memandu kereta

Panduan mengatasi ketakutan (fobia) memandu kereta

Takut (fobia) memandu kereta : Cara Mengatasinya

Ketakutan yang teramat sangat atau tidak berasas, yang juga dikenali sebagai fobia menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan terhadap dirinya sendiri dalam berhadapan dengan cabaran harian misalnya kebimbangan memandu kereta.

Sering kali kita mendengar mengenai seseorang wanita yang mempunyai lesen tetapi tidak berani memandu kerana bimbang akan terbabit dalam kemalangan atau melanggar orang lain.

Ada pula yang memperbaharui lesen memandu mereka setiap tahun memandu biarpun ia hanya disimpan dalam dompet. Mungkin jauh di lubuk hati wanita itu tersimpan hasrat untuk memandu suatu hari nanti atau bimbang lesen berkenaan akan luput kelayakannya sehingga terpaksa mengambil ujian memandu sekali lagi.

Ramai wanita seperti ini memang berharap dapat memandu terutama untuk ke tempat kerja kerana ia bukan saja memudahkan pergerakan, malah lebih selamat untuk golongan hawa berbanding menunggu bas khususnya pada waktu malam atau berjalan di lorong gelap.

Sekiranya memandu sendiri, sekurang-kurangnya risiko wanita itu menjadi mangsa jenayah berkurangan kerana mereka tidak berjalan di kawasan terbuka seorang diri hingga menjadi tumpuan penjenayah yang sentiasa menunggu mangsa.

Bagi wanita yang masih menyimpan harapan untuk memandu tetapi gentar untuk melakukannya tanpa sebab munasabah, di sini disenaraikan panduan yang boleh diambil bagi memberi kekuatan moral supaya dapat meningkatkan keyakinan diri dan berdikari tanpa bergantung kepada orang lain. Percayalah, apabila sudah boleh memandu, langkah anda akan jadi 'lebih panjang'.

 

Panduan mengatasi ketakutan memandu kereta:

1. Cari punca yang menimbulkan perasaan fobia. Ini kerana sekiranya anda seorang ibu dan menunjukkan ketakutan melampau untuk memandu, rasa takut yang negatif itu boleh 'berpindah' kepada anak dan menjejaskannya keyakinannya pada diri sendiri.

Kadangkala tanpa disedari fobia memandu timbul apabila membaca dan melihat kemalangan atau pernah terbabit dalam kemalangan yang dahsyat, atau juga berlaku apabila anda sering dimarahi oleh pemandu lain ketika pertama kali cuba memandu di jalan raya.

Mungkin juga anda pernah menjadi mangsa pembuli jalan raya atau mengalami tekanan akibat pemanduan merbahaya orang lain. Pernah melanggar objek seperti tiang lampu atau haiwan ketika baru belajar memandu juga boleh menimbulkan perasaan fobia. Maka, punca yang menyumbang kepada fobia perlu dikenal pasti supaya ketakutan berkenaan mudah ditangani.

2. Kenali simptom yang ada pada diri anda bagi mengenal pasti apakah ia fobia atau sebaliknya. Misalnya emosi yang bergolak atau rasa seram sejuk apabila memikirkan mengenai memandu.

Antara tanda anda fobia adalah berhenti terus daripada memandu walaupun hanya untuk jarak berdekatan. Tanda lain termasuklah mula berasa mual, berpeluh, sakit kepala, menggigil, panik, jantung berdegup laju, pening atau lemah lutut apabila diminta memandu.

Apabila memandu, anda merasa seperti tidak mampu mengawal kenderaan sebaliknya 'dikawal' orang lain. Lebih merbahaya, anda dikuasai oleh perasaan tidak mampu untuk mengelak kereta daripada bergerak ke arah kereta lain.

Pemanduan juga terganggu kerana merasakan kenderaan tidak stabil sehingga anda sering menekan brek walaupun tidak perlu berbuat demikian.

Tanda fobia yang lain ialah apabila anda sanggup mengambil masa yang terlalu panjang bagi mencari jalan 'terbaik' untuk dilalui untuk mengelak beberapa keadaan yang mungkin dianggap menakutkan anda seperti jalan yang berbukit.

Anda juga cuba mengelak memandu selagi boleh dan apabila ada yang meminta anda menghantarnya ke sesuatu tempat, anda akan bertengkar dengannya kerana bimbang dengan laluan yang akan dilalui.

3. Fobia boleh diatasi dengan meminta bantuan dan nasihat daripada orang lain kerana ketakutan melampau sebenarnya boleh dirawat sekiranya anda bersikap terbuka untuk menerima bantuan orang lain dan tidak membiarkan diri merana tanpa sebab yang munasabah.

Jika keadaan fobia terlalu mencengkam diri, jumpalah ahli terapi bagi mendapatkan nasihat atau minta bantuan ahli keluarga dan rakan yang dapat membantu anda keluar dari masalah ini.

Bercakap dan berbincang mengenai fobia yang anda alami adalah penting kerana ia boleh mengurangkan rasa takut apabila anda mendapat kata-kata semangat atau mendengar kisah orang lain yang pernah mengalami masalah sama tetapi kini boleh memandu dengan baik.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk memandu semula, daftar ke kelas memandu untuk meningkatkan keyakinan diri kerana latihan praktikal setiap hari mampu membuatkan perasaan takut semakin berkurangan, selain mendapat tip memandu daripada tenaga pengajar.

4. Elakkan diri memikirkan perkara yang negatif membabitkan pemanduan seperti kemalangan. Pemikiran yang membawa kepada perasaan takut melampau mungkin berpunca daripada kemalangan ketika cubaan pertama mengendalikan kenderaan.

Selain itu, elakkan daripada mengeluarkan kenyataan seperti 'jalan raya merbahaya' atau ''perjalanan jauh adalah bahaya' kerana ia mengenepikan realiti sebenar pemanduan di jalan raya.

Perlu diketahui dan dibezakan antara dua kenyataan ini iaitu memandu dengan cara yang berhemah mampu mengelak diri daripada terbabit dalam kemalangan dan bukannya memandu akan menyebabkan kemalangan.

5. Belajar mengurangkan rasa tertekan ketika memandu kerana apabila berada di bawah tekanan melampau, pemikiran menjadi cetek dan tidak mampu bertindak pantas. Belajar untuk menarik nafas dan menenangkan diri sebelum membawa kenderaan.

Apabila anda merasakan diri mula berasa tertekan ketika memandu, cuba lapangkan fikiran dan beri fokus pada pemanduan. Lakukan ini setiap kali anda berada tertekan, supaya ia akan menjadi tabiat yang dapat membuatkan anda lebih tenang ketika memandu.

6. Bagi yang sudah lama tidak memandu tetapi ingin mempraktikkan semula kemahiran yang ada, mulakan pemanduan di kawasan yang lapang dan tidak banyak kenderaan. Berlatih semula cara mengawal stereng, brek dan tekanan minyak bagi meningkatkan keyakinan diri.

Jangan terus mencabar diri dengan memandu di kawasan yang sesak kerana dibimbangi keadaan itu akan menyebabkan anda menjadi takut dan terus menangguhkan hasrat memandu.

Ketika duduk di tempat pemandu, ambil masa untuk melihat keadaan dalaman kereta dan laraskan tempat duduk supaya kaki anda dapat menekan pedal brek, klac dan minyak dengan selesa. Laraskan cermin pandang belakang dan cermin sisi supaya ruang penglihatan tidak terlindung ketika anda memandu. Pemeriksaan yang kecil begini sebenarnya boleh membantu menaikkan keyakinan anda.

Mulakan memandu beberapa minit sehari dan tingkatkan tempoh pemanduan sedikit demi sedikit sehingga anda benar-benar yakin untuk berada di jalan yang sibuk.

Buat permulaan, minta rakan atau ahli keluarga yang mahir memandu menemani anda. Lebih baik sekiranya anda boleh mendapatkan bantuan daripada kawan yang banyak memberi galakan berbanding yang mudah panik.

7. Belajar cara meletakkan kenderaan supaya kereta anda berada dalam petak yang disediakan. Ini penting untuk mengelakkan rasa takut jika anda perlu melakukannya sendiri khususnya di tempat yang sesak. Jangan meletak kenderaan sesuka hati kerana perbuatan itu boleh mengundang rasa marah pemandu lain atau mungkin dikenakan saman, yang boleh menimbulkan perasaan muram, sekali gus membuatkan pengalaman memandu anda tidak menyeronokkan.

8. Jika baru hendak berjinak-jinak semula memandu kenderaan, jangan memandu dengan laju sebaliknya memandulah pada kelajuan sederhana di lorong kiri. Jangan memandu terlalu perlahan kerana ia akan mengganggu kelancaran aliran trafik. Pada masa sama usah ambil peduli sekiranya ada yang membunyikan hon meminta anda memandu lebih laju kerana pada peringkat ini anda hanya mahu biasakan diri dan meningkatkan keyakinan di jalan raya.

Asalkan anda membawa kereta dengan selamat, itu sudah cukup. Jadi jangan rasa tertekan dengan sikap pemandu lain yang mengekor dekat dari belakang. Lebih baik, tampal pelekat P pada cermin depan dan belakang kereta anda supaya pemandu lain tahu anda belum benar-benar mahir memandu.

9. Bersikap peka ketika memandu dan beri tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya. Jangan sekali-kali menggunakan telefon bimbit kerana ia boleh mengalih perhatian anda hingga boleh menyebabkan kemalangan, apalagi ketika anda masih terkial-kial memandu.

10. Sebelum memandu, pastikan kenderaan anda dalam keadaan terbaik, sudah diperiksa dan diselenggara supaya ia tidak rosak di tengah jalan sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau anda 'terdampar' di tepi jalan. Pengalaman kurang manis ini boleh menghilangkan semangat anda untuk memandu.

Sekiranya ada masalah pada kereta, cepat-cepat hantar ke bengkel untuk dibaiki supaya anda tidak rasa tertekan untuk memandu atau berada dalam kebimbangan sekiranya kereta rosak secara tiba-tiba.

11. Belajar memandu dalam pelbagai keadaan jalan raya dan juga cuaca. Pada permulaan bawa kereta pada masa jalan kurang sesak dan keadaan cuaca baik. Namun tidak mungkin selama-lamanya anda akan membawa kereta dalam keadaan begitu.

Maka, anda juga perlu mencuba secara perlahan-lahan untuk membawa pula kenderaan dalam keadaan sesak, lorong sempit, hujan lebat dan pada waktu malam supaya keyakinan diri semakin meningkat dan sedar anda boleh memandu dalam apa juga keadaan dan di mana saja.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan



 
Chatroom