Home » » Pakej Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) sajian kualiti ,harga minimum

Pakej Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) sajian kualiti ,harga minimum

Pakej Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) yang diperkenalkan di 1,004 restoran di seluruh negara barubaru ini ternyata mampu meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk menikmati makanan pada kadar minimum khususnya di kawasan bandar.

MR1M yang menawarkan set sarapan pagi pada harga RM2 dan RM4 bagi set makan tengah hari, turut menyediakan pelbagai pilihan lauk dengan masakan berasaskan daging, ikan, ayam dan telur.

Bagi set sarapan pagi, hidangan roti canai, nasi lemak dan beraneka jenis kuih berserta minuman panas dapat memenuhi cita rasa orang ramai, di samping kualiti makanan yang terjamin.

Tinjauan di beberapa restoran yang menawarkan menu itu di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan pelanggan berpuashati dengan menu yang ditawarkan kerana ia memenuhi diet yang lengkap dalam satu-satu set hidangan.

Penuntut institut pengajian tinggi swasta, Ushalini Gopal, 19, berkata MR1M dapat mengurangkan perbelanjaan hariannya untuk keperluan makanan dan minuman kerana beliau hanya bergantung kepada wang biasiswa untuk pengajian di universiti.

"Apapun, restoran yang menawarkan MR1M perlu diperbanyakkan khususnya di kawasan tumpuan pelajar universiti seperti di Shah Alam dan Bangi supaya lebih ramai golongan pelajar mendapat manafaat daripada MR1M ini," katanya.

Bagi pemandu teksi, Nik Zuhairi Nik Mansor, 46, MR1M yang diperkenalkan itu dapat menjimatkan perbelanjaan hariannya kerana hampir setiap hari beliau terpaksa makan di luar memandangkan waktu kerja yang tidak menentu.

"Kualiti makanan yang ditawarkan memang memuaskan kerana restoran yang menyediakan MR1M adalah daripada kategori restoran terpilih yang memang sudah menjadi tumpuan ramai sejak dulu," katanya.

Pekerja syarikat swasta Mohd Azmi Abdul Salam, 21, berkata pakej MR1M yang diperkenalkan di restoran sekitar bandar dan bandar raya dapat meringankan beban masyarakat berpendapatan rendah dari luar bandar yang sesekali melancong atau berkunjung ke bandar.

"Bagaimanapun, pengusaha restoran perlulah sentiasa menukarkan menu lauk dan sayuran MR1M yang ditawarkan supaya tidak hanya menawarkan set yang sama setiap hari," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Nasir Noryakin berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan di semua premis yang menyajikan MR1M di seluruh negara.

"Pengusaha sentiasa dipastikan mematuhi kadar harga dan kualiti makanan yang disajikan di samping faktor kebersihan premis mereka supaya menu yang ditawarkan bukan saja murah tetapi berkhasiat," katanya.

"Orang ramai boleh membuat aduan terus ke pejabat PDNKK negeri atau melalui talian hotline KPDNKK sekiranya terdapat mana-mana pengusaha restoran yang menyajikan MR1M tapi tidak mematuhi syarat ditetapkan," katanya.



 
Chatroom