Perkara Perlu Dititikberatkan Sebelum Bersenam
Kenali keupayaan diri sebelum melakukan senaman. Ini dapat anda lakukan dengan meninjau sejarah perubatan atau penyakit terdahulu.
Dapatkan nasihat doctor atau ahli fisioterapi tentang jenis senaman yang sesuai dengan kebolehan diri anda.
Mempertimbangkan faktor-faktor (dalaman atau luaran) yang mungkin boleh mendatangkan kecederaan seperti kandungan air dalam badan, cuaca atau peralatan sukan yang digunakan.
Jangan sesekali lupa untuk memulakan senaman dengan melakukan pergerakan memanaskan badan dan melenturkan tisu badan dan otot. Malah, selepas mengakhiri senaman, teruskan dengan pergerakan menyejukkan badan dalam tempoh lebih kurang 5 - 10 minit untuk kedua-dua aktiviti pergerakan ini.
Lakukan senaman pilihan sama ada senaman untuk menguatkan otot, meningkatkan ketahanan jantung atau paru-paru dengan aerobik mahupun jenis sukan yang lain seperti badminton. Tempoh masa, bebanan atau kekerapan ulangan melakukan senaman memainkan peranan penting bagi menentukan intensiti senaman. Mulakan dengan intensiti yang rendah di awal Ramadan. Seterusnya boleh ditingkatkan sehingga 10 - 15% senaman setiap minggu mengikut keupayaan dan tujuan anda bersenam.
Anda tahu keupayaan diri sendiri. Jadi, elakkan daripada melakukan senaman jika anda demam, kekurangan cecair dalam badan atau mengalami komplikasi penyakit terdahulu seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.
Persediaan secara psikologi turut memainkan peranan dalam menjayakan senaman. Antaranya mengetahui fisiologi badan semasa bersenam, tenang, minat dan mengetahui tujuan serta aktiviti senaman yang akan dilakukan.