Home » » Info Kucing: Ibu Kucing Miliki Naluri keibuan Kuat

Info Kucing: Ibu Kucing Miliki Naluri keibuan Kuat

Info Kucing: Ibu Kucing Miliki Naluri keibuan Kuat

Kucing betina tidak memerlukan perhatian khusus ketika hamil atau selepas melahirkan kerana naluri semula jadinya yang mengetahui cara penjagaan anak walaupun baru kali pertama melahirkan.

Seperti manusia, ibu kucing akan melindungi dan menjaga bayinya sebaik mungkin. Deria bau yang kuat membolehkan ibu kucing mengenali anak dan menghidu bau musuh. Pemilik kucing hanya memberikan bantuan sekiranya diperlukan.

Pada peringkat awal, si ibu cuba mencari tempat paling selesa dan selamat untuk membesarkan bayinya. Jangan berasa pelik jika selepas lahir ibu kucing gemar memindahkan bayinya ke beberapa tempat.

Kadangkala ia dilakukan terlalu kerap kerana bimbang ada `penceroboh' menghampiri `sarang' mereka. Jika kucing anda mempunyai tabiat begini, alihkan kotaknya di tempat yang dipilih atau jangan biarkan anak kucing itu kesejukan.

Deria bau kuat

Kucing mempunyai deria bau yang kuat. Pastikan anda tidak memegang atau mengganggu bayi dan tempat tidurnya kerana bau anda mengganggu deria ibu kucing terhadap anaknya.

Selepas melahirkan, selera ibu kucing bertambah mengikut kadar penghasilan susu. Oleh itu, makanan berkhasiat perlu diberikan untuk memberinya tenaga tambahan.

Jika anak kucing kelihatan tidak bermaya dan berbunyi terlalu kerap, ia mungkin disebabkan kekurangan susu ibu. Keadaan yang berterusan boleh menyebabkan si kecil mati. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor haiwan berhubung masalah berkenaan. Sebagai bantuan, dapatkan botol susu khas bagi menyalurkan susu tepung yang dibancuh mengikut sukatan.

Pada peringkat usia tiga minggu, anak kucing sedia menerima makanan tambahan. Apa yang diperlukan hanya tambah sedikit bijirin makanan bayi ke dalam susu, empat kali sehari.

Perhubungan secara langsung antara ibu dengan anak penting bagi mewujudkan kemesraan antara mereka.

Biarpun ia tidak diketahui manusia, bahasa tubuh mereka menggambarkan sesuatu.

Suarakan perasaan menerusi bunyi

Sebenarnya, ibu kucing 'menyuarakan' perasaan mereka menerusi bunyi sama ada marah, memanggil atau memberi amaran. Jika diperhatikan, anak kucing dapat mengenali suara ibu mereka.

Sebaik saja ibu mereka mengeluarkan bunyi, anak kucing akan tertumpu ke arahnya. Sebagai langkah keselamatan, si ibu akan mengawasi ketika anaknya bermain.

Selepas itu, keluarga kucing akan mula menggunakan ekor menerusi isyarat goyangan. Isyarat ini turut membayangkan pelbagai perkara.

Biarpun anak kucing mempelajari banyak perkara menerusi pemerhatian, ada juga perbuatan atau reaksi yang berlangsung secara semula jadi. Contohnya, ia akan memberikan tindak balas jika diganggu walaupun ketika itu baru dilahirkan.

Segala perlakuan si anak sebenarnya mempunyai kaitan dengan pemerhatian terhadap sekeliling, kucing dewasa lain dan didikan ibunya yang membuat perlakuan itu sebagai rutin.

Antara lain, anak kucing akan mendiamkan diri jika didakap lembut seperti yang biasa dilakukan ibunya. Kehangatan tempat tidurnya juga menjadi antara faktor penentu sikapnya.


Sumber: BH
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim



 
Chatroom